Assalamu'alaikum,
Anda lihat dan baca sahaja topik itu pasti anda sudah tahu atau mungkin pernah terdengar mengenai tempat ini. Untuk yang tidak tahu ini adalah sebuah tempat yang dipanggil stadium untuk perlawanan bolasepak yang melibatkan pasukan negeri Kelantan Darul Naim. Stadium keramat bagi Pasukan Kijang dan penyokong mereka. Tempat ini bagi aku sangat gah walaupun struktur dan kemudahannya tidak seperti stadium-stadium lain yang nampak gah di Malaysia ini.
Kenapa aku kata stadium mereka gah? Kerana stadium ini adalah nyawa dan jiwa bagi penyokong-penyokong Kelantan, mereka akan menjaga stadium mereka, mereka akan memenuhkan setiap ruang di dalamnya bagi menjaga maruah pasukan kesayangan mereka. Jika anda terus membaca anda akan mengerti mengapa aku mengklasifikasikan stadium yang tidak canggih dan moden ini sebagai hebat dan gah.
Aku berkesempatan ke sana pada tanggal 22 Jamadilawal 1432(bersamaan 26hb April 2011) bersama-sama dengan rombongan UltraSel untuk menyaksikan perlawanan Liga Super antara Kelantan dan Selangor. Aku tidak mahu berkongsi dengan anda semua tentang perjalanan kami dan juga tentang perlawanan kerana itu semua anda sudah tahu, tapi aku nak berkongsi dengan anda semua tentang sesuatu yang anda tidak tahu iaitu pengalaman merasai atmosfera yang menaikkan bulu roma di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
sebelum masuk ke dalam, singgah ke The Red Warrior Cafe |
Keadaan jam lebih kurang jam 6:45pm |
belatar belakang The Red Warriors |
Kami masuk dari Pintu I dan duduk di bahagian atas sekali supaya tidak mengganggu penyokong-penyokong lain bila hendak bersorak nanti. Dari saat kami masuk, semua penyokong Kelantan seolah-olah pelik dan terpegun mungkin kerana mereka tidak menyangka bahawa akan ada penyokong Selangor datang pada hari itu. Kami hanya menanti detik sepak mula dengan bergambar dan menikmati suasana dan keadaan sekeliling yang pada aku adalah sesuatu yang anda tidak akan dapat di mana-mana kecuali di SSM-IV sahaja.
PENUH!!! |
PENUH!!! |
PENUH!!! |
Gambar di atas diambil sejurus sebelum sepak mula. Memang penuh dan gamat stadium itu dipenuhi anggaran sejumlah 20,000 orang. Setahu aku rekod kedatangan penyokong Kelantan jarang-jarang mengecewakan walaupun harga tiket tempat duduk biasa berharga RM12 dan pada aku harga tersebut agak tinggi untuk sebuah negeri yang dikategorikan sebagai mundur, tidak maju dan paling ramai penduduk miskin tetapi apalah gunanya jika ada stadium berkapasiti 80,000 orang ditengah bandaraya yang rakyatnya semua moden, berpendidikan tinggi, berpangkat, bergaji besar namun tiada jiwa. ;-)
Ultras Kelantan The Red Mania & UltraSel |
Panji Merah Putih & Merah Kuning megah berdiri bersama-sama |
Sewaktu wisel penamat dibunyikan kami dihujani dengan air minuman dan segala objek lain sama seperti ketika Norshahrul Idlan Talaha menanduk masuk gol kemenangan Kelantan. Apa kan daya, terima sahaja dengan hati terbuka kerana itu adalah sebahagian daripada pakej yang ditawarkan jika anda membeli tiket ke SSM-IV. Yang penting majoriti penyokong lain dikeliling kami marah kepada segelintir mereka yang melemparkan objek menunjukkan bukan semua penyokong Kelantan bersikap demikian, namun apakan daya, di dalam setandan pisang pasti ada sebiji dua yang busuk. Itu adalah lumrah kehidupan. Selesai perlawanan dan acara melontar objek, UKTRM dan UltraSel bergabung tenaga bersorak sambil diperhatikan oleh penyokong-penyokong yang lain. Ada yang mengambil gambar, ada yang merakam video dan sebagainya. Kami dari Selangor bersalaman dengan penyokong Kelantan tanda persahabatan.
Keadaan di Pintu Masuk Utama selepas bas pemain Selangor beredar |
Bergambar bersama |
Selangor Kelantan sama saja..apa ada hal |
Sering kali kita baca, dengar dan lihat berita mengenai keganasan penyokong-penyokong Kelantan samaada ditempat sendiri mahupun di tempat lawan. Memang tidak dapat dinafikan ada segelintir mereka yang begitu namun apa yang aku dapat katakan hanyalah "Tak Kenal Maka Tak Cinta" jadi kenal dulu apa yang boleh mencetus kemarahan mereka, maka jangan dijolok kerana kita bertandang ke tempat mereka, begitu juga mereka apabila bertandang ke tempat orang. Yang penting pelawat hormati tuan rumah dan tuan rumah harus menghormati kehadiran pelawat meskipun memberikan layanan yang dingin. Apa-apa perkara yang berlaku jika boleh dielakkan dari berlarutan menjadi pertempuran kita elakkan. Gunakan sedikit akal fikiran untuk mengawal hati dan perasaan. Aku faham masing-masing mahu tunjukkan kecintaan terhadap pasukan masing-masing namun apa gunanya bertelagah sesama sendiri kerana aku dengan kau sama-sama memegang kad pengenalan warna biru, jadi apa ada hal??
Alhamdulillah kehadiran kami ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV diterima baik oleh penyokong Kelantan dan tiada insiden yang tidak diingini berlaku. Mungkin ada yang akan kata "Alah..Kelantan menang boleh lah, cuba kalah mesti gaduh" dan apa yang aku boleh kata "Tak Cuba Maka Tak Tahu". Bukan hendak mendabik dada bahawa aku telah ke SSM-IV dengan selamat, tidak, cuma apalah gunanya jika kita asyik mengata dan berpandangan negatif terhadap orang, sampai bila nak bersatu dan aman.
Pengalaman tempoh hari adalah pengalaman yang amat menarik sekali untuk aku namun aku percaya Stadium Sultan Muhammad Ke-IV sukar diramal. Hari ini mungkin begini, esok lusa tiada siapa yang tahu. Itulah kehebatan stadium keramat "The Red Warriors" dan stadium yang paling gah di Malaysia buat masa ini walaupun struktur binaan dan kemudahannya tidak canggih dan moden. Apabila ingin ke sana ingatlah bila masuk kandang kambing kita mengembek, masuk kandang harimau kita mengaum "AuuUUmmMM!!" dan bila masuk kandang kijang, "sendiri mau ingat lah".
Kepada semua penyokong Kelantan, "Sek-sek demo meme kemah-kemah dan hebak-hebak belako" dan kepada Ultras Kelantan The Red Mania terima kasih tidak terhingga kerana memudahkan urusan kami di sana. InsyaALLAH bertemu kita lagi.. :-)
Sekadar tulisan dan pendapat.