Monday, August 19, 2013

Presiden FAM Sila Letak Jawatan -Bahagian 30-

Assalamu'alaikum,


NILAI..bukan berhajat untuk menulis berkenaan Nilai 3, Bandar Nilai atau Bandar Baru Nilai tetapi ingin menulis mengenai NILAI BOLASEPAK.

Kita semua sedia maklum setiap benda dalam dunia ini ada nilainya yang tersendiri, seperti kalau kita beli kereta, rumah ada nilai yang telah ditetapkan mengikut klasifikasi dan kriteria tertentu. Kalau kita beli bahan mentah, baju, kasut, semuanya ada nilai yang telah ditetapkan. Begitu juga dalam bolasepak ada nilainya, seperti harga tiket, harga pemain, harga sebuah kelab, harga sebuah liga, semua itu ada nilainya yang tersendiri. Namun nilai tidak semestinya diterjemahkan dalam wang ringgit. Ada juga nilai yang ditetapkan bukan dengan wang ringgit seperti maruah, nilai sebuah maruah, harapan, nilai sebuah harapan. Contoh maruah seorang wanita nilainya bukan wang ringgit, harapan ibubapa kepada anak-anak, nilainya melebih nilai wang ringgit, kasih sayang, nilai kasih sayang tu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit atau angka. Itu cerita serba sedikit mengenai NILAI.

Sekarang kita fokus pada NILAI BOLASEPAK sahaja. Seperti yang telah diterangkan di atas tadi, harga tiket, harga pemain, harga sebuah kelab, harga liga, itu semua termasuk dalam nilai bolasepak yang boleh diterjemahkan dengan wang ringgit atau angka. Namun dalam bolasepak juga ada maruah, harapan dan kasih sayang yang nilainya juga tidak mampu untuk dinilai dengan wang ringgit atau angka. Nilai inilah yang ramai peminat bolasepak tidak tahu akan kewujudannya kerana mungkin pada mereka bolasepak hanya sekadar bolasepak dan tidak ada nilai selain dari bayar tiket tengok bola, tengok pemain kacak, tengok pemain termahal, tengok kelab terkaya, tengok liga jutaan ringgit dan pada mereka nilai maruah dalam bolasepak itu tiada, nilai harapan dalam bolasepak itu tidak perlu dan nilai kasih sayang dalam bolasepak itu tidak wujud. Tidak ramai yang dikatakan GILA BOLA atau FANATIK BOLA yang dapat memahami atau nampak nilai yang tidak boleh diterjemahkan dengan wang ringgit atau angka ini.

Selepas apa yang berlaku dalam bolasepak Malaysia beberapa bulan yang lepas sehinggalah 10hb Ogos yang lepas, kita dapat lihat NILAI BOLASEPAK di Malaysia ini diletakkan pada tahap apa. Bila nilai bolasepak negara telah direndahkan martabatnya ke taraf kelab biasa di situ NILAI MARUAH bolasepak negara sudah jatuh. Bila harapan penyokong-penyokong bolasepak Malaysia inginkan kemajuan dalam bolasepak Malaysia tidak diambil peduli dan tidak diendahkan makanya di situ NILAI HARAPAN itu sudah tiada. Bila ramai yang bising-bising mengenai nilai maruah dan nilai harapan kemudian hampir semua membisu apabila kepentingan diri untuk melihat dan menonton kelab ternama, pemain terhebat makanya di situ NILAI KASIH SAYANG itu telah hilang dan lenyap.

Bagi aku, kenapa aku sungguh-sungguh menentang perlawanan pertunjukan atau aku panggil sarkis adalah kerana NILAI MARUAH, NILAI HARAPAN dan NILAI KASIH SAYANG itu. Maruah pasukan kebangsaan aku, Malaysia, jersi pasukan kebangsaan aku, bendera yang dilekatkan megah di dada jersi setiap pemain itu dihenyak habis-habisan oleh segelintir individu yang mahu mengaut keuntungan. Harapan aku untuk melihat bolasepak Malaysia maju telah dipijak oleh mereka yang inginkan keuntungan dengan menganjurkan perlawanan yang tidak memberikan kemajuan untuk bolasepak Malaysia sebaliknya hanya memenuhkan poket segelintir individu sahaja dan aku bising-bising adalah kerana aku sayang benda tu dan maruah benda yang kita sayang tu dihenyak dan harapan aku untuk benda yang aku sayang itu dipijak jadi sebab ada NILAI KASIH SAYANG di situ, sebab itulah aku bising-bising macam orang gila. Ibaratnya seorang ibu dan seorang bapa yang marah dan bising apabila maruah anak daranya diragut dan segala harapan terhadap masa depan anak dara mereka itu musnah dan kerana mereka kasih dan sayang terhadap anak dara mereka itu maka mereka pastinya akan bising-bising macam orang gila mempertahankan maruah anak dara mereka yang telah dirobek. Begitulah perumpamaannya untuk bagi yang sedang membaca faham perasaan aku.

Pasti ada yang berkata "ahhh, itu lain, ini bola je kot". Itulah dia yang aku katakan tadi, tidak semua akan faham akan nilai ini. Hanya yang mengerti akan kewujudan nilai ini sahaja yang akan faham. Jika peminat bolasepak di Malaysia bersetuju dengan nilai bolasepak negara itu sama nilainya dengan bolasepak kelab maka perlukah lagi kita berbicara soal kemajuan dalam bolasepak Malaysia?? Jika fanatik bola di Malaysia beranggapan satu perlawanan NEGARA menentang KELAB TERNAMA itu sama nilainya dengan perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia maka perlukah lagi kita berbicara soal bagaimana hendak ke Piala Dunia? Jika penyokong bolasepak Malaysia sudah menganggap pencapaian beraksi dalam perlawanan sarkis sebagai satu pencapaian yang sama nilainya dengan pencapaian beraksi dalam satu perlawanan Piala Dunia maka perlukah lagi kita berbicara soal bila agaknya Malaysia nak layak ke Piala Dunia? Jika mereka yang gila bola menganggap hadir ke perlawanan pertunjukan adalah lebih penting dan tinggi nilainya dari menghadirkan diri dalam perlawanan Liga Malaysia maka perlukah lagi kita untuk teruskan liga kebangsaan??

Bukan kah lebih baik kita wujudkan LIGA SARKIS supaya stadium penuh setiap kali perlawanan. Liga Sarkis boleh dianjurkan dari bulan Jun hingga Julai setiap tahun. Boleh mendatangkan keuntungan yang besar. Tidak perlu berhabis duit untuk program akar umbi untuk melahirkan pemain bertaraf dunia kerana jemput sahaja mana-mana kelab ternama dan secara otomatik kita akan dapat pemain yang bertaraf dunia pencapaiannya apatah lagi kalau dapat menjaringkan gol dalam perlawanan itu sudah boleh masuk dalam senarai "100 Pemain Terbaik Malaysia Sepanjang Zaman". Tidak perlu bersusah payah letak objektif untuk layak ke Piala Dunia atau Piala Asia kerana dengan menganjurkan perlawanan dengan kelab-kelab ternama dari Eropah kita secara otomatik sudah dapat beraksi dalam pusingan akhir Piala Dunia dan Piala Asia.

Sedih untuk menerima hakikat ini berlaku dalam bolasepak Malaysia, namun itulah yang kita perlu terima sekarang ini. Bisinglah macam mana pun dekat FAM, caci macam mana pun dekat FAM, bincanglah taktikal macam mana pun di kedai mamak atau di page-page sukan di FB, berbual sampai berbuih mengenai apa yang perlu dibuat untuk menaikkan bolasepak Malaysia tetapi bila dibawa masuk kelab ternama dari Eropah, di bawa pemain terbaik dunia, nak tengok pemain kesukaan dari jarak dekat, semua lupa, semua lupa bahawa yang datang itu KELAB dan yang MALAYSIA itu sebuah NEGARA, semua lupa walaupun 5 minit sebelum itu dialah orang yang paling bising kerana FAM suruh Harimau Malaya dia lawan dengan kelab. Hakikat yang perlu kita semua terima INILAH NILAI BOLASEPAK MALAYSIA.

Jadi perlukah lagi kita berbicara soal untuk layak ke Piala Dunia dan Piala Asia bila kita sendiri telah meletakkan INILAH NILAI BOLASEPAK MALAYSIA??

Sekadar tulisan dan pendapat
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...