Friday, November 16, 2012

Presiden FAM Sila Letak Jawatan -Bahagian 21-

Assalamu'alaikum,

Penyokong bukan jurulatih, penyokong juga bukan pemain, penyokong tidak makan gaji dengan sesiapa, penyokong adalah kerja sukarelawan di atas dasar minat yang mendalam terhadap sesuatu subjek.

Penyokong boleh terdiri daripada jurulatih, pemain dan orang yang makan gaji atau yang tidak bergaji. Tetapi bolehkah penyokong menjadi jurulatih atau menjadi pemain atau menjadi penyokong yang bergaji??

Itu semua bukan apa yang aku nak kongsikan. Cuma aku nak mengimbau situasi yang aku saksikan sendiri pada tahun 2010. Peristiwa itu berlaku di tanah Jakarta, di kawasan Senayan atau lebih tepat di alamat Stadion Gelora Bung Karno pada tanggal 29hb Disember 2010. 

Semua sedia maklum pada tanggal 26hb Disember 2010 pasukan Indonesia telah ditewaskan 3-0 dalam perlawanan akhir Piala AFF 2012 yang pertama dan perlawanan akhir ke-2 akan dilangsungkan 3 hari kemudian di Jakarta di mana juara akan ditentukan dengan jumlah jaringan dalam kedua-dua perlawanan tersebut. Indonesia menewaskan Malaysia di stadium keramat mereka 2-1 namun Malaysia juara dengan jaringan 4-2.

Bermulalah apa yang hendak aku kongsikan, walaupun mereka tahu mereka telah tewas teruk 3 gol berbalas kosong namun itu tidak langsung melunturkan semangat penyokong mereka untuk tetap turun ke stadium dan memenuhi setiap ruang di dalam juga di luar stadium untuk berdiri dibelakang pasukan kesayangan mereka. Warna merah tidak lekang dari pakaian mereka, itu kebanggaan mereka walaupun sudah dititik 3 gol di Bukit Jalil. Mereka sudah berada di stadium seawal jam 11 pagi lagi menunggu pintu dibuka dan seawal 4 petang hampir 70% stadium sudah dipenuhi tentera merah mereka. Mereka menyanyi, bersorak untuk pasukan Garuda kesayangan mereka yang sudah patah separuh sayapnya dan kebarangkalian untuk bangkit terbang kembali sangat tipis. Namun mereka tetap berdiri dibelakang pasukan mereka, pemain mereka, jurulatih mereka sehingga wisel penamat. Sah Piala AFF 2010 milik Malaysia, namun Gelora Bung Karno masih penuh hampir 50% menunggu pemain mereka naik ke podium menerima hadiah naib juara di ulangi NAIB JUARA bukan JUARA. Tujuan mereka menunggu juga ada mungkin ingin memberikan sorakan "boooo" kepada Presiden PSSI ketika itu iaitu Nurdin Khalid kerana menurut mereka presiden itu korup dan menjahanamkan bolasepak Indonesia yang mempunyai liga gred B dan pasukannya layak untuk bermain dalam AFC Champions League. Itu menurut mereka masih lagi tidak cukup berjaya. Terpegun juga aku melihat gelagat mereka ini dan terus mengelamun aku mengenai penyokong-penyokong di Malaysia.

Di negara kita berbeza pula, skuad Harimau Malaya kita selaku juara bertahan dan Bukit Jalil akan menjadi tuah rumah untuk Piala AFF 2012 namun belum pun bermula sepak mula kejohanan, majoriti rakyat bolasepak Malaysia sudah seakan-akan hilang harapan dengan pasukan kebangsaan hanya gara-gara mereka tewas dalam beberapa siri perlawanan persahabatan. Sudah kedengaran ada yang tidak mahu turun stadium, ada yang tidak memberikan harapan langsung untuk kita melepasi peringkat kumpulan sebaliknya lebih kuat kedengaran kata-kata kurang enak yang membunuh semangat pemain dan pasukan mereka sendiri. Mereka mengatakan yang sebab mereka sayang lah mereka memberi teguran, aku?? hanya mampu tergelak terbahak-bahak dengan kata-kata mereka itu. Sayangkan bolasepak Malaysia konon, tapi orang yang menjahanamkan bolasepak Malaysia selama 28 tahun tidak berani pula nak tegur, sebaliknya jurulatih dan pemain sering jadi mangsa, sayang apa namanya begitu??? 

Rakyat bolasepak Malaysia sudah kelam kelibut walaupun kejohanan sebenar belum bermula, baru tewas dalam siri perlawanan persahabatan sudah mula ingin memalingkan muka dari pasukan kesayangan. Sayang apa namanya begitu??? Mereka yang tewas 3-0 dalam kejohanan sebenar, sudahlah perlawanan akhir pula masih tidak memalingkan muka mereka tetapi tetap terus memberi kepercayaan kepada pemain mereka dan tetap berharap yang pasukan mereka boleh bangkit sekaligus muncul juara Piala AFF 2010. Bayangkan sudah 3 gol berbalas kosong, kalau di Malaysia sudah pasti stadium akan kosong dan sepi sesepinya. Tidak cukup dengan itu, ianya akan diiringi kata-kata cacian, makian terhadap pemain, jurulatih dan pasukan. Habis dicaci bagai tiada esok lagi.

Setelah tewas 3-0 di Bukit Jalil, pemain kita yang gentar untuk bermain di sana dan penyokong mereka serta media berjaya memberikan rasa gentar dan takut dalam diri pasukan Malaysia walhal kita yang sedang mendahului dengan selesa, 3 gol tetapi kita yang merasai lebih tekanan itu yang sepatutnya dirasai oleh pasukan Indonesia. Lihat betapa kuatnya semangat mereka terhadap pasukan mereka, itu dah kena bedal 3-0. Kalau di Malaysia berlaku situasi sedemikian, bagaimana?? Sudah aku terangkan di atas tadi. Itulah mentaliti penyokong kita. Jadi jangan kita tanya kenapa bolasepak kita tidak maju, kerana kita sering menyuarakan supaya pemain diubah, jurulatih diubah tetapi kita sendiri tidak mahu berubah untuk pasukan kita. Sikap apa itu???

Harapan aku agar semua rakyat bolasepak Malaysia berdiri dibelakang pasukan pada 25hb Nov, 28hb Nov & 1hb Dis ini nanti. Penuhkan stadium kita, beri pemain semangat, tunjukkan pada mereka yang kita yakin dan kita mahukan kemenangan dari mereka.

Siap sedia dengan cuti dan rancang jadual anda sebaik mungkin supaya kita boleh ke stadium menjadi pemain ke-12. Tunjukkan semangat kita supaya pemain dan jurulatih lebih semangat untuk mempertahankan kejuaraan. Jangan asyik mengeluh pemain tidak bersemangat walhal kita sendiri pun tiada semangat. Itu orang panggil "cakap tak serupa bikin". Cukuplah pasukan kita berdepan dengan tekanan dari penyokong lawan, tak kan jadi tuan rumah pun nak berdepan dengan tekanan penyokong sendiri??? Kalah menang itu nanti kita cerita, yang penting jangan kita kalah dulu sebelum wisel permulaan ditiupkan.

Ingat ini milik kita, kebanggaan kita, wajah kita, hanya 2 tahun sekali melibatkan pasukan kita, anak-anak kita, rakan-rakan kita, saudara-saudara kita, jiran kita, bendera kita, pendek kata semuanya ada kena mengena dengan kita 

Sekadar tulisan dan pendapat. 
 

Wednesday, November 14, 2012

Presiden FAM Sila Letak Jawatan -Bahagian 20-

Assalamu'alaikum,

Sambungan sedikit dari bahagian 19 berkenaan dengan KPI jurulatih dan pemain. Semua sudah sedia maklum yang Timbalan Presiden FAM telah pun bersuara di mana dia mahukan kemenangan untuk baki 2 lagi perlawanan persahabatan menentang Hong Kong dan Bangladesh(kalau tak silap). Objektif dan KPI baru itu disuarakan dengan nada yang kononnya nasihat dan cabaran kepada K.Rajagobal walaupun kita tahu itu sebenarnya adalah arahan. Ketua jurulatih Harimau Malaya pula menyambut cabaran Timbalan Presiden itu dengan mengatakan yang pasukan negara akan cuba menang baki 2 perlawanan itu nanti.

Jadi K.Rajagobal dan pegawai pasukan yang lain serta pemain-pemain semua kini mempunyai KPI baru iaitu memenangi perlawanan persahabatan yang selama ini tidak menjadi kepentingan dan bukan pengukur KPI mereka. 

Maka dengan itu percayalah bahawa kita akan menang baki 2 perlawanan persahabatan itu nanti. Kenapa?? Tak percaya ke?? Percayalah kerana itu adalah periuk nasi mereka, bila bos dah keluarkan arahan kerja maka pekerja semua haruslah memenuhi tugasan dan arahan yang diberikan untuk menjamin KPI mereka sekaligus memastikan periuk nasi mereka terbela. Tak percaya lagi?? Kita lihat sahaja nanti keputusannya.

Tapi nanti bila dah menang ada pula yang akan kata, "ala Hong Kong boleh lah" atau "seb baik menang ngan Bangladesh". Itu sememangnya sikap rakyat bolasepak Malaysia, walaupun tidak semua tapi ada yang begitu. Sayangnya pasukan bolasepak kebangsaan kita harus berperang dengan penyokong sendiri dan juga penyokong pihak lawan.

Dah lah, nak cerita panjang pun bukan boleh berubah sebab nak ubah sikap turun temurun memang susah, jadi dari banyak bunyi pung pang sana pung pang sini taktikal itu taktikal ini, pemain itu pemain ini, lebih baik kita turun penuhkan stadium malam ini. Cakap pasal kerja orang lain pun tak guna kalau kerja sendiri terabai. Kepada yang suka sibuk-sibuk dengan kerja jurulatih dan pemain tuh harap anda tak lupa tugasan anda untuk datang ke stadium memberi sokongan kepada Harimau Malaya.

Piala AFF 2012 tinggal 11 hari lagi dan kita akan jadi tuan rumah bersama dengan Thailand. Siap sedia semua askar-askar hitam kuning.

Ingat ini milik kita, kebanggaan kita, wajah kita, hanya 2 tahun sekali melibatkan pasukan kita, anak-anak kita, rakan-rakan kita, saudara-saudara kita, jiran kita, bendera kita, pendek kata semuanya ada kena mengena dengan kita.      

Sekadar tulisan dan pendapat. 

Friday, November 09, 2012

Presiden FAM Sila Letak Jawatan -Bahagian 19-

Assalamu'alaikum,

Kali ini aku rasa nak kongsi pendapat aku mengenai kisah jurulatih pasukan bolasepak negara Dato' K.Rajagobal. Aku rasa memang antara kisah hangat yang jadi perbualan sehangat dengan kisah-kisah politik serta kisah artis-artis tempatan.

Ramai yang memberikan dan mengeluarkan pendapat mengenai kerja-kerja yang telah dilakukan oleh jurulatih ini terutama dari segi taktikal dan pemilihan pemain. Begitu banyak komen-komen dari pengulas bertauliah hinggalah kepada mereka yang sekadar tahu pasal bolasepak ini kerana rumput padangnya warna hijau, kalau main di atas rumput warna oren barangkali mereka akan kata "permainan apa tu??"

Ramai yang mengatakan Rajagobal ego, tidak pandai taktikal, memilih pemain tidak mengikut prestasi semasa dsbnya.

Pada aku senang sahaja, Rajagobal bekerja dengan majikannya iaitu FAM, jadi sebagai pekerja sudah pasti ada tugasan-tugasan yang telah ditetapkan oleh majikan untuk dilaksanakan untuk menentukan KPI mereka kelak. Macam kerani, ada tugasannya dan KPI-nya akan bergantung pada tugasan-tugasan yang telah dilakukan adakah mengikut ketetapan dan spesifikasi yang telah ditetapkan atau tidak. Begitu juga jurutera, guru, akauntan dan yang lain-lain.

KPI K.Rajagobal pula telah ditetapkan oleh FAM iaitu majikan jurulatih itu yang mana kita tahu ialah layak ke Piala Asia 2015. Itu yang paling utama dan Piala AFF adalah selitan-selitan skop kerja yang perlu dipenuhi oleh K.Rajagobal. Seperti yang kita sedia maklum bahawa majikan jurulatih ini menyatakan secara terang-terangan bahawasanya perlawanan persahabatan bagi menaikkan ranking itu tidak penting dan ranking itu sendiri tidak penting. Jadi mengapa perlu pekerja-pekerja di bawah FAM bekerja untuk menaikkan ranking yang mana sudah pasti bukan untuk KPI mereka. Jadi begitulah Rajagobal, sekarang ini dia bekerja mengikut objektif yang telah ditetapkan oleh majikannya.

Pada aku, K.Rajagobal cemerlang dalam memenuhi KPI yang telah ditetapkan. Pingat Emas Sukan SEA 2009 tercapai, Piala AFF 2012 tercapai, layak ke pusingan ke-2 Kelayakan Piala Dunia tercapai dan KPI seterusnya ialah Piala AFF 2012, 2014 dan layak ke Piala Asia 2015. Harus di ingat objektif utama FAM ialah untuk layak ke Piala Asia 2015, jadi yang lain tidak termasuk dalam objektif mereka. Ingat itu!!

Ada pula suara-suara yang membandingkan K.Rajagobal dengan Ong Kim Swee dengan mengatakan Ong Kim Swee lebih bagus taktikal nya..bla..bla..bla..bla..macam-macam lagi lah. Aku nak terangkan di sini bahawa adalah kurang bijak untuk membanding mereka berdua ini kerana masing-masing mempunyai objektif yang berbeza, ibarat korang membandingkan kerja jururawat dengan doktor, tak ke lain objektif kerja mereka maka dengan itu aku kata adalah sangat FAM untuk membandingkan kedua-dua jurulatih ini dari segi kerja mereka dan pencapaian mereka.

Kalau ikut KPI Kim Swee perlu menyediakan pemain-pemain untuk pasukan senior selain dari KPI mempertahankan pingat emas Sukan SEA. Kita mungkin lihat Ong Kim Swee lebih berjaya mungkin kerana apa yang kita dengar ialah Harimau Muda A sering menang tapi harus diingat Kim Swee tidak menepati KPI-nya apabila gagal ke Sukan Olimpik dan Piala Asia B-22. Tapi kita semua terlepas pandang semua itu kerana waktu gagal ke Sukan Olimpik kita di saji dengan kemenangan Pingat Emas satu temasya yang atas sikit dari SUKMA dan waktu gagal ke Piala Asia B-22 kita dikaburi dengan kes Myanmar memainkan pemain lebih umur. 

Aku bukan nak mengatakan yang Ong Kim Swee tak bagus dan K.Rajagobal hebat, tidak. Aku cuma nak kongsi dengan korang supaya buka sikit minda dan lihat bolasepak nih bukan sekadar padangnya hijau, jurulatih nya si polan dan pemainnya si polan dan si polan.

Secara logiknya, KPI yang ditetapkan oleh FAM dan KPI yang ditetapkan oleh penyokong berbeza, dan mengapa perlu jurulatih mengikut KPI penyokong sedangkan yang menentukan masa depannya ialah majikannya FAM?

Secara logik akalnya mengapa pemain dan jurulatih yang dicaci, dimaki kalau yang menetapkan polisi dan objektif bukan mereka dan mereka hanya bermain dan berlatih mengikut kehendak pembuat polisi iaitu majikan mereka FAM. Kenapa tak dimakinya FAM atau disalahkan Presiden FAM?? kenapa?? anda takut periuk nasi anda terjejas ke kalau salahkan dan tegur Presiden FAM?? takut kena buang kerja ekkkkkkkkkkk?? kalau anda takut kena buang kerja begitu juga Rajagobal, dia juga takut dibuang kerja jika tidak menepati KPI majikannya, jadi kalau majikannya kata ranking tidak penting dia kena ikut lah, ranking tidak penting, kalau majikan dia kata ranking lebih penting dari Piala AFF maka dia akan bekerja ke arah menaikkan ranking. Faham?? Jadi kenapa salahkan jurulatih dan pemain?? kenapa tidak salahkan FAM atau Presiden FAM?? takut ekkkkkkkkkkkkkkkkkk???

Kenapa tidak disalahkan FAM si pembuat polisi dan Presiden FAM yang meluluskan polisi???? cuba kita fikir....

Aku pun sebenarnya pelik jugak dengan K.Rajagobal nih, pilihan pemain dia, taktikal dia dan sebenarnya KPI aku untuk pasukan negara berbeza dengan KPI yang telah ditetapkan FAM. Pada aku ranking, perlawanan kelas A dan piala itu sama penting namun apa kan daya, ini Malaysia FAM lebih berkuasa kerana majoriti penyokong hanya sekadar pandai pung pang sahaja. Aku selalu juga berbincang berborak dengan rakan-rakan mengenai hal itu tapi sekadar sampai situ sahaja, tidak lah sampai nak kata yang taktik si polan nih itu ini, pemain ini tak pandai nih tak pandai tu seolah-olah kita lah yang hebat dari jurulatih dan pemain semua. Dia "coach" dia tahu lah apa dia buat. Pada aku dia satu-satunya jurulatih yang telah memberikan piala pertama yang diiktiraf FIFA untuk seluruh rakyat bolasepak Malaysia. Dia kata tunggu AFF, kita tunggu. Dia kata tengok Piala Asia 2015, kita tengok. Kalau 22hb Disember nih Harimau Malaya tak naik podium, kita pergi inai rambut dia ramai-ramai warna merah.

Secara keseluruhannya kita dah tahu FAM itu ****** tapi kita sebagai penyokong tak perlu lah ikut dan jadi FAM juga. Biarlah kita nih nampak berakal sikit dari FAM. Kalau dah FAM ****** dan penyokong pun sama ****** sifat dan akalnya, ke mana hala tuju bolasepak kita?? Cukup lah yang tak cerdik tu di Kelana Jaya sahaja, tak perlulah wabak penyakit itu disebarkan ke seluruh negara.

Sebelum tutup, kita nih sibuk-sibuk pasal kerja jurulatih dan pemain, kerja kita sebagai penyokong macam mana?? dah bersedia ke persiapan semua?? dah minta cuti, dah kumpul duit, dah tahu nak pegi naik apa dengan siapa, siapa nak "runner" tiket, nak buat apa kat stadium, nak pakai baju apa, semua dah siap?? jangan sebab kita sibuk dengan kerja orang lain kerja kita terabai. Kita pun ada KPI jugak cuma takde majikan, kita semua kerja sendiri jadi KPI tetapkan sendiri..hahaha.

Ingat ini milik kita, kebanggaan kita, wajah kita, hanya 2 tahun sekali melibatkan pasukan kita, anak-anak kita, rakan-rakan kita, saudara-saudara kita, jiran kita, bendera kita, pendek kata semuanya ada kena mengena dengan kita. 

Sekadar tulisan dan pendapat.   

Friday, November 02, 2012

Presiden FAM Sila Letak Jawatan -Bahagian 18-

Assalamu'alaikum,

Saat aku menaip ini tinggal 23 hari lagi sebelum bermulanya perlawanan pertama pasukan bolasepak negara dalam kejohanan Piala AFF 2012.

Tapi seolah-olah kejohanan ini telah dibatalkan kerana tiada hebahan atau kekecohan yang ditimbulkan oleh media elektronik mahupun cetak di Malaysia ini. Amat berbeza sekali suasana pada sekitar bulan 5 yang lalu di mana heboh satu Malaya bahawa pada bulan 6 nanti akan berlangsung satu kejohanan EURO 2012 yang tidak membabitkan pasukan negara sama sekali.

Di mana promosinya? Di mana propagandanya? Di mana ceritanya?

Tidak dinafikan ada pihak-pihak media yang masih lagi cuba sedaya upaya dengan sumber yang ada untuk mempromosikan, menghebahkan, menceritakan mengenai kejohanan yang akan berlangsung tidak lama lagi itu namum majoriti media seolah-olah tidak mengambil peduli langsung.

Aku bercakap atas dasar promosi. Ya, memang berita mengenai skuad Harimau Malaya ada keluar di suratkhabar dan berita-berita sukan, namun itu bukan di panggil promosi. Itu adalah laporan berita walaupun secara tidak langsung ianya adalah promosi namun masih tidak dikategorikan sebagai promosi yang betul-betul promosi.

Maksud aku ialah tiada iklan, tiada promo, tiada billboard, tiada bunting, tiada banner, tiada rancangan khas untuk kejohanan itu sahaja, tiada teaser, tiada countdown, tiada highlight mengenai sejarah kejohanan yang lepas-lepas, tiada acara-acara promosi di pusat beli belah dsbnya.

Betul, memang semua di atas memerlukan duit untuk direalisasikan, tetapi bukankah anda orang-orang media ini semuanya kreatif dan sudah pasti anda boleh mencari penyelesaian bagaimana hendak mempromosikan kejohanan ini dengan kos yang paling minimal.

Adakah dengan membuat "simple" promo di TV/Radio memakan belanja yang besar?? Adakah dengan menyelitkan countdown di TV/Suratkhabar/Laman web memakan belanja yang besar? Adakah dengan membuat simple teaser untuk TV/Radio memakan belanja yang besar? Mungkin billboard, banner, bunting, rancangan khas serta highlight memerlukan kos yang agak tinggi, namun promosi yang "simple" dan tidak memerlukan kos pun tak kan tak terfikir nak buat?? Kalau EURO tu cepat jek, sebulan sebelum dah naik teaser, promo bagai dan suratkhabar pun dah penuh dengan iklan-iklan EURO.

Aku faham, EURO kejohanan yang besar dan banyak syarikat korporat ingin melabur demi mempromosikan produk masing-masing, tetapi seperti yang aku cakap, bukankah orang-orang media ini kreatif, aku percaya pasti mereka boleh menghasilkan sesuatu idea yang memerlukan kos yang minima.

Aku nak tanya, berapa banyak proposal yang keluar dari stesen TV/Radio/Suratkhabar/Interaktif/Majalah untuk dijual kepada "client" sempena Piala AFF 2012 nih?? Berapa ramai orang TV/Radio/Suratkhabar/Interaktif/Majalah yang keluar dan cuba untuk jual Piala AFF 2012 ini kepada "client" masing-masing?? Cuba orang-orang TV/Radio/Suratkhabar/Interaktif/Majalah semak semula berapa banyak proposal yang dah keluar dan berapa banyak percubaan telah dilakukan untuk meyakinkan "client" masing-masing supaya membeli airtime di TV/Radio atau iklan mukasurat di suratkhabar/majalah atau hyperlink, promo text link, billboard, super banner dsbnya di laman web masing-masing bersempena dengan Piala AFF 2012. Cuba semak kembali.

Bukan tak boleh buat duit dengan Piala AFF nih walaupun aku akui ia tidak setaraf dengan EURO atau Piala Dunia, tapi perlu diingat dalam Piala AFF, negara kita Malaysia ada terlibat manakala dalam kejohanan EURO sampai kiamat pun memang Malaysia tak akan dapat main cuma kita sahaja yang tidak mahu.

Media adalah medium yang sangat penting dan boleh menjadi alat bagi menaikkan semangat seluruh rakyat Malaysia sempena kejohanan Piala AFF 2012 nanti. Kalau kena caranya, kena propagandanya, kena promosinya, pasti kemeriahan, kehangatan dan ketaksuban yang luar biasa akan terhasil. Cuma kita perlu tanya, kita mahu atau tidak mahu melakukannya, itu sahaja.

Ini Malaysia main lah, Malaysia tuan rumah lah, jangan kasi malu lah. Kalau yang beribu-ribu kilometer kita boleh buat ibarat kita yang menganjurkan, apatah lagi ini bermain di tanah tumpah darah kita sendiri, di Bukit Jalil, di MALAYSIA sekali lagi diulangi di MALAYSIA. Bangunlah, bangkitlah, sampai bila kita nak berbangga dengan sesuatu yang bukan milik kita?? 

Ini milik kita, kebanggaan kita, wajah kita, hanya 2 tahun sekali melibatkan pasukan kita, anak-anak kita, rakan-rakan kita, saudara-saudara kita, jiran kita, bendera kita, pendek kata semuanya ada kena mengena dengan kita jadi mengapa tidak kita buat sehabis baik?? 

Ayuh semua!! Kita sama-sama memainkan peranan membakar semangat seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan warna hitam kuning, kita penuhkan Stadium Nasional, penuhkan warung-warung, restoran-restoran, segala pub segala bar untuk bersama Harimau Malaya kita.

KOSONGKAN KALENDAR ANDA, PENUHKAN STADIUM ANDA!! 

THIS IS THE REAL FOOTBALL, THE REAL FANS!!

p/s :- Presiden FAM jangan lupa hadir ke setiap perlawanan Malaysia ye.. ;-)

Sekadar tulisan dan pendapat.    

       
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...