Monday, December 24, 2012

Presiden FAM Sila Letak Jawatan -Bahagian 22-

Assalamu'alaikum,

Sempena Liga Malaysia yang akan bermula dalam tempoh  15 hari sahaja lagi(saingan liga bukan Piala Sumbangsih), saja aku nak kongsi-kongsi pendapat pasal "SUPPORT LOCAL FOOTBALL".

Bila sebut pasal "local football", ramai yang menganggap ianya adalah pasukan kebangsaan atau lebih dikenali dengan nama Harimau Malaya. Mereka seolah-olah lupa yang kita sebenarnya ada liga domestik, kita ada pasukan tempatan yang bersaing dalam kancah Liga Malaysia dan kita sebenarnya ada pasukan bolasepak lain selain Harimau Malaya & Harimau Muda. Kita ada liga kita sendiri weyh!! ;-)

Rata-rata yang bercakap perihal "local football" ini akan bercerita mengenai pasukan Harimau Malaya. Kalau kita cakap "jom pegi stadium sokong bolasepak tempatan", mereka akan ingat yang mereka dah pergi stadium waktu Piala AFF 2012 tempoh hari.

Bercerita mengenai "Support Local Football" nih sebenarnya isu yang kalau kita cakap ramai yang akan terasa dan ramai yang akan datang dengan bermacam-macam bentuk pendapat mengenai cara sokongan, tetapi semuanya akan bertumpu pada Harimau Malaya, susah nak cari yang bila sebut "Support Local Football", orang itu bercakap pasal Melaka, Perlis, Kedah ke atau Pahang, T-Team ke, jarang sekali kerana mereka pasti akan tertumpu pada nama Harimau Malaya.

Satu lagi cabang topik yang menyentuh hati di bawah topik "Support Local Football" ialah bila kita berbicara mengenai sokongan terhadap bolasepak Eropah dan pasukan luar. Bab nih memang ramai yang akan terasa dan tersentuh hati. Kalau letak 10 orang, 10 orang tu akan terasa, kalau letak 20 orang mungkin 18 orang akan terasa, begitulah statistiknya secara kasar.

Aku sebenarnya pelik dengan situasi sokongan di Malaysia, di mana restoran dianggap seumpama stadium atas alasan ingin bersama pasukan kesayangan masing-masing dari Eropah walhal di Malaysia sendiri ada stadium dan pasukan tempatan. Jadi rasa pelik aku ini aku terjemahkan dalam satu status aku di Facebook;

menang lah 20 berbalas kosong sekalipun...tapi kalau bersorak depan "idiotbox" kata orang putih, berlari keliling restoran, bernyanyi sekuat mana pun tapi kalau yang dengar tu hanya mamak-mamak atau pelayan kedai atau jiran-jiran bukannya pemain-pemain kesayangan anda...itu style menyokong yang macam mana tuh?? cuba pegi bukak kamus check balik istilah dan makna menyokong..hehe..bukan dengki..cuma biar nampak logik sikit duduk kat negara maju nih..tengok boleh jek layan..cuma bila hang kata hang sokong tu yang datang pelik dan tak terjangkau dek akal fikiran..lebih baik salurkan tenaga sokongan dan kreativiti sokongan anda pada local football di stadium..baru real brader!! ;-) 

Aku letak status begitu sebab memang aku pernah saksikan sendiri kelibat orang-orang kita yang berada di restoran-restoran tapi lagak serta gaya mereka memberikan sokongan memang sebijik macam di stadium. Setiap minggu, apa yang dilakukan oleh penyokong di Eropah, mereka lakukan di sini, cuma bezanya di Eropah mereka terjemahkannya di stadium untuk pasukan tempatan mereka tetapi di Malaysia mereka terjemahkannya di restoran untuk pasukan luar walhal kita ada liga kita sendiri, kita ada pasukan tempatan kita sendiri, kita ada stadium kita sendiri.

Ada yang mengatakan di mana jua kita ada aura atau "viral" sorakan itu akan sampai dan melangkaui stadium, betul aku tahu pasal aura nih sebab tu lah kena ke stadium, bukankah lebih sampai aura itu pada pasukan jika stadium penuh berbanding 200-300 orang je yang pergi stadium(aku cakap berdasarkan statistik pasukan tempatan aku, Selangor). Kan lebih sampai auranya jika lebih dekat berbanding berjuta batu dan kilometer jauhnya.

Ada juga mengatakan lebih mudah untuk menguruskan urusan harian jika tengok bola di rumah, contoh kalau mereka yang ada bayi yang masih kecil dan sebagainya, dah kalau kau ada bayi kecil tak payah lah pegi stadium, tak kan bolasepak nih kejam sangat sampai ada hal-hal mustahak pun nak kena pergi stadium. Tapi tak kan lah tiap-tiap minggu hanya 200-300 orang je yang takde urusan harian dan anak-anak kecil(berdasarkan statistik Stadium Shah Alam). Maksud aku ialah kalau kau boleh pergi ke restoran setiap minggu untuk sokong pasukan jauh beribu kilometer dari tempat kau berdiri kenapa tidak kau turun ke stadium untuk sokong orang kau sendiri, pasukan tempatan kau. Kalau cakap pasal komitmen, kenapa kau boleh bagi komitmen setiap minggu untuk pasukan luar tetapi tidak pada pasukan tempatan yang majoriti mereka anak tempatan kau yang main. Apa beza kau luangkan masa ke restoran atau ke stadium?? walhal kedua-duanya pun pasal bola jugak.

Ada juga yang mengatakan mereka tengok bola di restoran dan menyokong pasukan luar itu kerana hiburan, lepak dengan kawan-kawan dan sebagainya. Apa pegi stadium support local team tak boleh berhibur?? Apa pegi stadium tengok Liga Malaysia tak boleh lepak ngan kawan-kawan kat stadium??

Ada pula kata lain orang lain cara, lain orang lain mentaliti. Betul, itu aku memang setuju, tapi kenapa kau sibuk suruh pemain ikut cara permainan Jepun lah, Barcelona lah. Kau suruh FAM tiru format liga Jepun lah, liga di Eropah lah. Kau cerita pasal kemajuan liga orang tapi kau sendiri tak nak tiru macam mana diaorang sokong liga tempatan diaorang. Diaorang pun ada anak kecil yang menyusu, ada juga urusan harian mereka di sana, tapi stadium penuh saban minggu walaupun untuk pasukan yang lemau dan bawahan. Itu korang semua tak tengok ke? tak nak ikut? tak nak contohi? 

Bila kita sebut pasal tu, mereka akan masuk pula bab kualiti permainan, katanya mereka sokong pasukan luar sebab kualiti permainan pasukan itu. Kalau nak ikut sokong sebab kualiti permainan, maka majoriti penduduk dunia akan menyokong Barcelona sebab main cantik, abis kosong lah stadium Persija, kosonglah stadium Persib, kosonglah stadium Galatasary, kosonglah stadium Urawa Reds, kosonglah stadium Sydney FC, kosonglah stadium Muangthong United, kosonglah stadium Chonburi FC, kosonglah stadium Boca Juniors, kosonglah stadium Corinthians, kosonglah stadium West Ham, kosonglah stadium Queens Park Rangers, kosonglah stadium Palermo kalau dah semua nak sokong sebab pasukan tu main cun katanya. Tapi peliknya bagaimana semua stadium yang aku sebut tu boleh penuh bagi setiap perlawanan dalam saingan liga tempatan mereka?? Pasukan mereka tak main cun macam Barcelona, macam Real Madrid tapi kenapa penuh?? Apa diaorang takde komitmen lain ke? apa diaorang tak faham maksud penyampaian aura atau viral sokongan ke? apa mereka takde TV 42" ke kat negara mereka??

Ada pulak yang kata mereka sokong sebab sokong dari kecik, yang nih paling buat aku jem. Sokong dari kecik????? kau kecik-kecik pun duduk mana dik non oii..?? ini semua tak lain tak bukan adalah trending, cuba tengok Johor sebagai contoh, bertahun-tahun main stadium kosong tapi bila TMJ jadikan bolasepak sebagai trending di sana, friendly pun penuh, hujan pun masih duduk tengok bola. Jadi sekarang nak cakap pergi stadium sebab kualiti permainan?? sebab takde anak kecik?? sebab urusan harian semua dah selesai?? ini bukan nak kutuk orang Johor tapi nak bagi contoh dan syabas warga Johor kerana telah kembali menyokong pasukan tempatan anda. ;-)

Ada pulak yang cakap, kita tak boleh cakap yang tengok bola kat restoran dan TV tu semua tak pegi stadium, mana tahu mereka lah yang memenuhi stadium masa Malaysia main. Kalau macam tu baguslah, syabas, tapi aku nak cakap bukan pasal pegi stadium masa Malaysia main sahaja, ini soal liga domestik kita, liga tempatan. Kita ada liga sendiri tau tak, tapi stadium jarang penuh, kesian kat pemain yang rata-rata orang kita nih terpaksa bersaing dengan orang Eropah untuk menambat hati orang sendiri.

Ada jugak yang cakap, aku tak kahwin lagi boleh lah pergi tengok bola setiap game, aku takde anak kecik jadi aku tak faham apa erti komitmen. Keliru kejap, berkecamuk otak memikirkan. Habis yang kat Eropah tu semua bujang-bujang ke tengok bola?? Yang tiap-tiap minggu penuhkan Stadium Sultan Muhammad ke-IV tu semua hok "buje-buje belako?" habis kenapa Stadium Shah Alam tak ramai datang adakah sebab ramai rakyat Selangor nih dah berkahwin dan ada anak kecik?? maknanya dalam seluruh negeri Selangor nih hanya ada dalam lingkungan 200-300 orang sahaja yang masih bujang dan tiada anak kecil?? sebab itu je ramainya setiap minggu.

Ada juga falsafah sokongannya begini, disebabkan syarikat Malaysia ada yang menaja pasukan di BPL contoh, Queens Park Rangers dan Cardiff City yang membawa nama Malaysia di jersi mereka jadi mereka kata mereka sokong sebab ada kena mengena dengan Malaysia. Aku pun pelik, apa yang Liga Malaysia tu takde nama Malaysia ke? Takde kena mengena dengan Malaysia?? Apa yang main dalam saingan liga tempatan nih semua takde kena mengena dengan Malaysia ke? semua orang luar ke yang main? ini kalau nak cakap pasal ada kena mengena dengan Malaysia lah kan kan kan.

Ada pula yang cakap itu pilihan masing-masing nak sokong mana nak sokong macam mana nak sokong depan TV ke nak sokong pasukan luar ke itu hak mereka, betul aku setuju, jadi nanti kita tak perlu lah bising-bising kalau coach pilih pemain yang dia suka sebab ikut suka dia lah hak dia. Ikut suka pemain lah nak passing ke laut ke, nak tahan bola sebatu ke, itu hak dia, ikut suka dia lah. Tapi itu jarang berlaku, sebab mesti ramai yang akan suruh pemain yang ada dalam liga tempatan nih ikut suka mereka, nak kena tahan bola cara yang mereka suka, nak kena passing ikut gameplay yang mereka tentukan tapi mereka tak pernah nak fikir apa yang pemain suka, apa yang jurulatih suka, pemain suka stadium penuh ada pernah kau fikir? jurulatih gembira dapat aura sokongan dari stadium yang penuh ada pernah kau fikir? Tapi bila borak, liga kita kena tiru liga Jepun lah, liga kita kena swastakan lah, kena itu lah ini lah. Dia sendiri pun tak berubah lagi suruh orang lain berubah.

Sebenarnya kalau tak nak sokong "local football" nih macam-macam alasan diciptakan demi untuk membela diri sendiri. Kita kata begini dia keluar alasan nih, kita kata begitu dia keluar alasan tu, sudahnya sampai bila pun stadium kita tak penuh dalam saingan liga tempatan kecuali perlawanan akhir Piala Malaysia atau Piala FA, maka muncul penyokong setia yang selama ini sembunyi kat mana tak tahu tapi tiba-tiba jadi setia.  

Aku kat sini bukan nak jatuhkan hukuman, nak cakap itu salah ini betul, tidak, cuma pokoknya di sini ialah kita sokong bolasepak tempatan kita, pasukan tempatan kita, pemain yang main pun orang tempatan kita(campur 1-2 import). Senang, "Support Local Footbal" bukan bererti membenci liga-liga lain di seluruh dunia, cumanya "Support your local teams, your local football scene, your local players".

Korang yang support pasukan luar nih pasukan eropah semua bagus-bagus, idea ada, cara sokongan menarik, semangat tu tinggi, cuma apa kata kalau korang cuma lencongkan semua tu kepada pasukan tempatan anda di stadium-stadium pasukan tempatan anda. Itu je, mudah je bukan aku suruh kau pegi benci pasukan eropah atau bakar semua jersi pasukan eropah yang kau dah beli selama nih, cuma aku ajak korang lontarkan tenaga sokongan korang dan kreativiti sokongan korang pada liga tempatan untuk pasukan tempatan anda. Ingat pasukan tempatan bukan pasukan Harimau Malaya ya.

Tapi kalau dah tak nak jugak tak boleh buat apa lah, cakap macam mana pun pasti akan ada alasan makanya terpaksa je lah pemain-pemain dan pasukan tempatan mengadap stadium kosong dan penuh di satu-satu masa dan situasi perlawanan sahaja.    

Akhir kata "Support Local Football" dan Presiden FAM Sila Letak Jawatan(tambah lauk sikit bagi cukup rasa) hehe.

Sekadar tulisan dan pendapat.       

Friday, November 16, 2012

Presiden FAM Sila Letak Jawatan -Bahagian 21-

Assalamu'alaikum,

Penyokong bukan jurulatih, penyokong juga bukan pemain, penyokong tidak makan gaji dengan sesiapa, penyokong adalah kerja sukarelawan di atas dasar minat yang mendalam terhadap sesuatu subjek.

Penyokong boleh terdiri daripada jurulatih, pemain dan orang yang makan gaji atau yang tidak bergaji. Tetapi bolehkah penyokong menjadi jurulatih atau menjadi pemain atau menjadi penyokong yang bergaji??

Itu semua bukan apa yang aku nak kongsikan. Cuma aku nak mengimbau situasi yang aku saksikan sendiri pada tahun 2010. Peristiwa itu berlaku di tanah Jakarta, di kawasan Senayan atau lebih tepat di alamat Stadion Gelora Bung Karno pada tanggal 29hb Disember 2010. 

Semua sedia maklum pada tanggal 26hb Disember 2010 pasukan Indonesia telah ditewaskan 3-0 dalam perlawanan akhir Piala AFF 2012 yang pertama dan perlawanan akhir ke-2 akan dilangsungkan 3 hari kemudian di Jakarta di mana juara akan ditentukan dengan jumlah jaringan dalam kedua-dua perlawanan tersebut. Indonesia menewaskan Malaysia di stadium keramat mereka 2-1 namun Malaysia juara dengan jaringan 4-2.

Bermulalah apa yang hendak aku kongsikan, walaupun mereka tahu mereka telah tewas teruk 3 gol berbalas kosong namun itu tidak langsung melunturkan semangat penyokong mereka untuk tetap turun ke stadium dan memenuhi setiap ruang di dalam juga di luar stadium untuk berdiri dibelakang pasukan kesayangan mereka. Warna merah tidak lekang dari pakaian mereka, itu kebanggaan mereka walaupun sudah dititik 3 gol di Bukit Jalil. Mereka sudah berada di stadium seawal jam 11 pagi lagi menunggu pintu dibuka dan seawal 4 petang hampir 70% stadium sudah dipenuhi tentera merah mereka. Mereka menyanyi, bersorak untuk pasukan Garuda kesayangan mereka yang sudah patah separuh sayapnya dan kebarangkalian untuk bangkit terbang kembali sangat tipis. Namun mereka tetap berdiri dibelakang pasukan mereka, pemain mereka, jurulatih mereka sehingga wisel penamat. Sah Piala AFF 2010 milik Malaysia, namun Gelora Bung Karno masih penuh hampir 50% menunggu pemain mereka naik ke podium menerima hadiah naib juara di ulangi NAIB JUARA bukan JUARA. Tujuan mereka menunggu juga ada mungkin ingin memberikan sorakan "boooo" kepada Presiden PSSI ketika itu iaitu Nurdin Khalid kerana menurut mereka presiden itu korup dan menjahanamkan bolasepak Indonesia yang mempunyai liga gred B dan pasukannya layak untuk bermain dalam AFC Champions League. Itu menurut mereka masih lagi tidak cukup berjaya. Terpegun juga aku melihat gelagat mereka ini dan terus mengelamun aku mengenai penyokong-penyokong di Malaysia.

Di negara kita berbeza pula, skuad Harimau Malaya kita selaku juara bertahan dan Bukit Jalil akan menjadi tuah rumah untuk Piala AFF 2012 namun belum pun bermula sepak mula kejohanan, majoriti rakyat bolasepak Malaysia sudah seakan-akan hilang harapan dengan pasukan kebangsaan hanya gara-gara mereka tewas dalam beberapa siri perlawanan persahabatan. Sudah kedengaran ada yang tidak mahu turun stadium, ada yang tidak memberikan harapan langsung untuk kita melepasi peringkat kumpulan sebaliknya lebih kuat kedengaran kata-kata kurang enak yang membunuh semangat pemain dan pasukan mereka sendiri. Mereka mengatakan yang sebab mereka sayang lah mereka memberi teguran, aku?? hanya mampu tergelak terbahak-bahak dengan kata-kata mereka itu. Sayangkan bolasepak Malaysia konon, tapi orang yang menjahanamkan bolasepak Malaysia selama 28 tahun tidak berani pula nak tegur, sebaliknya jurulatih dan pemain sering jadi mangsa, sayang apa namanya begitu??? 

Rakyat bolasepak Malaysia sudah kelam kelibut walaupun kejohanan sebenar belum bermula, baru tewas dalam siri perlawanan persahabatan sudah mula ingin memalingkan muka dari pasukan kesayangan. Sayang apa namanya begitu??? Mereka yang tewas 3-0 dalam kejohanan sebenar, sudahlah perlawanan akhir pula masih tidak memalingkan muka mereka tetapi tetap terus memberi kepercayaan kepada pemain mereka dan tetap berharap yang pasukan mereka boleh bangkit sekaligus muncul juara Piala AFF 2010. Bayangkan sudah 3 gol berbalas kosong, kalau di Malaysia sudah pasti stadium akan kosong dan sepi sesepinya. Tidak cukup dengan itu, ianya akan diiringi kata-kata cacian, makian terhadap pemain, jurulatih dan pasukan. Habis dicaci bagai tiada esok lagi.

Setelah tewas 3-0 di Bukit Jalil, pemain kita yang gentar untuk bermain di sana dan penyokong mereka serta media berjaya memberikan rasa gentar dan takut dalam diri pasukan Malaysia walhal kita yang sedang mendahului dengan selesa, 3 gol tetapi kita yang merasai lebih tekanan itu yang sepatutnya dirasai oleh pasukan Indonesia. Lihat betapa kuatnya semangat mereka terhadap pasukan mereka, itu dah kena bedal 3-0. Kalau di Malaysia berlaku situasi sedemikian, bagaimana?? Sudah aku terangkan di atas tadi. Itulah mentaliti penyokong kita. Jadi jangan kita tanya kenapa bolasepak kita tidak maju, kerana kita sering menyuarakan supaya pemain diubah, jurulatih diubah tetapi kita sendiri tidak mahu berubah untuk pasukan kita. Sikap apa itu???

Harapan aku agar semua rakyat bolasepak Malaysia berdiri dibelakang pasukan pada 25hb Nov, 28hb Nov & 1hb Dis ini nanti. Penuhkan stadium kita, beri pemain semangat, tunjukkan pada mereka yang kita yakin dan kita mahukan kemenangan dari mereka.

Siap sedia dengan cuti dan rancang jadual anda sebaik mungkin supaya kita boleh ke stadium menjadi pemain ke-12. Tunjukkan semangat kita supaya pemain dan jurulatih lebih semangat untuk mempertahankan kejuaraan. Jangan asyik mengeluh pemain tidak bersemangat walhal kita sendiri pun tiada semangat. Itu orang panggil "cakap tak serupa bikin". Cukuplah pasukan kita berdepan dengan tekanan dari penyokong lawan, tak kan jadi tuan rumah pun nak berdepan dengan tekanan penyokong sendiri??? Kalah menang itu nanti kita cerita, yang penting jangan kita kalah dulu sebelum wisel permulaan ditiupkan.

Ingat ini milik kita, kebanggaan kita, wajah kita, hanya 2 tahun sekali melibatkan pasukan kita, anak-anak kita, rakan-rakan kita, saudara-saudara kita, jiran kita, bendera kita, pendek kata semuanya ada kena mengena dengan kita 

Sekadar tulisan dan pendapat. 
 

Wednesday, November 14, 2012

Presiden FAM Sila Letak Jawatan -Bahagian 20-

Assalamu'alaikum,

Sambungan sedikit dari bahagian 19 berkenaan dengan KPI jurulatih dan pemain. Semua sudah sedia maklum yang Timbalan Presiden FAM telah pun bersuara di mana dia mahukan kemenangan untuk baki 2 lagi perlawanan persahabatan menentang Hong Kong dan Bangladesh(kalau tak silap). Objektif dan KPI baru itu disuarakan dengan nada yang kononnya nasihat dan cabaran kepada K.Rajagobal walaupun kita tahu itu sebenarnya adalah arahan. Ketua jurulatih Harimau Malaya pula menyambut cabaran Timbalan Presiden itu dengan mengatakan yang pasukan negara akan cuba menang baki 2 perlawanan itu nanti.

Jadi K.Rajagobal dan pegawai pasukan yang lain serta pemain-pemain semua kini mempunyai KPI baru iaitu memenangi perlawanan persahabatan yang selama ini tidak menjadi kepentingan dan bukan pengukur KPI mereka. 

Maka dengan itu percayalah bahawa kita akan menang baki 2 perlawanan persahabatan itu nanti. Kenapa?? Tak percaya ke?? Percayalah kerana itu adalah periuk nasi mereka, bila bos dah keluarkan arahan kerja maka pekerja semua haruslah memenuhi tugasan dan arahan yang diberikan untuk menjamin KPI mereka sekaligus memastikan periuk nasi mereka terbela. Tak percaya lagi?? Kita lihat sahaja nanti keputusannya.

Tapi nanti bila dah menang ada pula yang akan kata, "ala Hong Kong boleh lah" atau "seb baik menang ngan Bangladesh". Itu sememangnya sikap rakyat bolasepak Malaysia, walaupun tidak semua tapi ada yang begitu. Sayangnya pasukan bolasepak kebangsaan kita harus berperang dengan penyokong sendiri dan juga penyokong pihak lawan.

Dah lah, nak cerita panjang pun bukan boleh berubah sebab nak ubah sikap turun temurun memang susah, jadi dari banyak bunyi pung pang sana pung pang sini taktikal itu taktikal ini, pemain itu pemain ini, lebih baik kita turun penuhkan stadium malam ini. Cakap pasal kerja orang lain pun tak guna kalau kerja sendiri terabai. Kepada yang suka sibuk-sibuk dengan kerja jurulatih dan pemain tuh harap anda tak lupa tugasan anda untuk datang ke stadium memberi sokongan kepada Harimau Malaya.

Piala AFF 2012 tinggal 11 hari lagi dan kita akan jadi tuan rumah bersama dengan Thailand. Siap sedia semua askar-askar hitam kuning.

Ingat ini milik kita, kebanggaan kita, wajah kita, hanya 2 tahun sekali melibatkan pasukan kita, anak-anak kita, rakan-rakan kita, saudara-saudara kita, jiran kita, bendera kita, pendek kata semuanya ada kena mengena dengan kita.      

Sekadar tulisan dan pendapat. 

Friday, November 09, 2012

Presiden FAM Sila Letak Jawatan -Bahagian 19-

Assalamu'alaikum,

Kali ini aku rasa nak kongsi pendapat aku mengenai kisah jurulatih pasukan bolasepak negara Dato' K.Rajagobal. Aku rasa memang antara kisah hangat yang jadi perbualan sehangat dengan kisah-kisah politik serta kisah artis-artis tempatan.

Ramai yang memberikan dan mengeluarkan pendapat mengenai kerja-kerja yang telah dilakukan oleh jurulatih ini terutama dari segi taktikal dan pemilihan pemain. Begitu banyak komen-komen dari pengulas bertauliah hinggalah kepada mereka yang sekadar tahu pasal bolasepak ini kerana rumput padangnya warna hijau, kalau main di atas rumput warna oren barangkali mereka akan kata "permainan apa tu??"

Ramai yang mengatakan Rajagobal ego, tidak pandai taktikal, memilih pemain tidak mengikut prestasi semasa dsbnya.

Pada aku senang sahaja, Rajagobal bekerja dengan majikannya iaitu FAM, jadi sebagai pekerja sudah pasti ada tugasan-tugasan yang telah ditetapkan oleh majikan untuk dilaksanakan untuk menentukan KPI mereka kelak. Macam kerani, ada tugasannya dan KPI-nya akan bergantung pada tugasan-tugasan yang telah dilakukan adakah mengikut ketetapan dan spesifikasi yang telah ditetapkan atau tidak. Begitu juga jurutera, guru, akauntan dan yang lain-lain.

KPI K.Rajagobal pula telah ditetapkan oleh FAM iaitu majikan jurulatih itu yang mana kita tahu ialah layak ke Piala Asia 2015. Itu yang paling utama dan Piala AFF adalah selitan-selitan skop kerja yang perlu dipenuhi oleh K.Rajagobal. Seperti yang kita sedia maklum bahawa majikan jurulatih ini menyatakan secara terang-terangan bahawasanya perlawanan persahabatan bagi menaikkan ranking itu tidak penting dan ranking itu sendiri tidak penting. Jadi mengapa perlu pekerja-pekerja di bawah FAM bekerja untuk menaikkan ranking yang mana sudah pasti bukan untuk KPI mereka. Jadi begitulah Rajagobal, sekarang ini dia bekerja mengikut objektif yang telah ditetapkan oleh majikannya.

Pada aku, K.Rajagobal cemerlang dalam memenuhi KPI yang telah ditetapkan. Pingat Emas Sukan SEA 2009 tercapai, Piala AFF 2012 tercapai, layak ke pusingan ke-2 Kelayakan Piala Dunia tercapai dan KPI seterusnya ialah Piala AFF 2012, 2014 dan layak ke Piala Asia 2015. Harus di ingat objektif utama FAM ialah untuk layak ke Piala Asia 2015, jadi yang lain tidak termasuk dalam objektif mereka. Ingat itu!!

Ada pula suara-suara yang membandingkan K.Rajagobal dengan Ong Kim Swee dengan mengatakan Ong Kim Swee lebih bagus taktikal nya..bla..bla..bla..bla..macam-macam lagi lah. Aku nak terangkan di sini bahawa adalah kurang bijak untuk membanding mereka berdua ini kerana masing-masing mempunyai objektif yang berbeza, ibarat korang membandingkan kerja jururawat dengan doktor, tak ke lain objektif kerja mereka maka dengan itu aku kata adalah sangat FAM untuk membandingkan kedua-dua jurulatih ini dari segi kerja mereka dan pencapaian mereka.

Kalau ikut KPI Kim Swee perlu menyediakan pemain-pemain untuk pasukan senior selain dari KPI mempertahankan pingat emas Sukan SEA. Kita mungkin lihat Ong Kim Swee lebih berjaya mungkin kerana apa yang kita dengar ialah Harimau Muda A sering menang tapi harus diingat Kim Swee tidak menepati KPI-nya apabila gagal ke Sukan Olimpik dan Piala Asia B-22. Tapi kita semua terlepas pandang semua itu kerana waktu gagal ke Sukan Olimpik kita di saji dengan kemenangan Pingat Emas satu temasya yang atas sikit dari SUKMA dan waktu gagal ke Piala Asia B-22 kita dikaburi dengan kes Myanmar memainkan pemain lebih umur. 

Aku bukan nak mengatakan yang Ong Kim Swee tak bagus dan K.Rajagobal hebat, tidak. Aku cuma nak kongsi dengan korang supaya buka sikit minda dan lihat bolasepak nih bukan sekadar padangnya hijau, jurulatih nya si polan dan pemainnya si polan dan si polan.

Secara logiknya, KPI yang ditetapkan oleh FAM dan KPI yang ditetapkan oleh penyokong berbeza, dan mengapa perlu jurulatih mengikut KPI penyokong sedangkan yang menentukan masa depannya ialah majikannya FAM?

Secara logik akalnya mengapa pemain dan jurulatih yang dicaci, dimaki kalau yang menetapkan polisi dan objektif bukan mereka dan mereka hanya bermain dan berlatih mengikut kehendak pembuat polisi iaitu majikan mereka FAM. Kenapa tak dimakinya FAM atau disalahkan Presiden FAM?? kenapa?? anda takut periuk nasi anda terjejas ke kalau salahkan dan tegur Presiden FAM?? takut kena buang kerja ekkkkkkkkkkk?? kalau anda takut kena buang kerja begitu juga Rajagobal, dia juga takut dibuang kerja jika tidak menepati KPI majikannya, jadi kalau majikannya kata ranking tidak penting dia kena ikut lah, ranking tidak penting, kalau majikan dia kata ranking lebih penting dari Piala AFF maka dia akan bekerja ke arah menaikkan ranking. Faham?? Jadi kenapa salahkan jurulatih dan pemain?? kenapa tidak salahkan FAM atau Presiden FAM?? takut ekkkkkkkkkkkkkkkkkk???

Kenapa tidak disalahkan FAM si pembuat polisi dan Presiden FAM yang meluluskan polisi???? cuba kita fikir....

Aku pun sebenarnya pelik jugak dengan K.Rajagobal nih, pilihan pemain dia, taktikal dia dan sebenarnya KPI aku untuk pasukan negara berbeza dengan KPI yang telah ditetapkan FAM. Pada aku ranking, perlawanan kelas A dan piala itu sama penting namun apa kan daya, ini Malaysia FAM lebih berkuasa kerana majoriti penyokong hanya sekadar pandai pung pang sahaja. Aku selalu juga berbincang berborak dengan rakan-rakan mengenai hal itu tapi sekadar sampai situ sahaja, tidak lah sampai nak kata yang taktik si polan nih itu ini, pemain ini tak pandai nih tak pandai tu seolah-olah kita lah yang hebat dari jurulatih dan pemain semua. Dia "coach" dia tahu lah apa dia buat. Pada aku dia satu-satunya jurulatih yang telah memberikan piala pertama yang diiktiraf FIFA untuk seluruh rakyat bolasepak Malaysia. Dia kata tunggu AFF, kita tunggu. Dia kata tengok Piala Asia 2015, kita tengok. Kalau 22hb Disember nih Harimau Malaya tak naik podium, kita pergi inai rambut dia ramai-ramai warna merah.

Secara keseluruhannya kita dah tahu FAM itu ****** tapi kita sebagai penyokong tak perlu lah ikut dan jadi FAM juga. Biarlah kita nih nampak berakal sikit dari FAM. Kalau dah FAM ****** dan penyokong pun sama ****** sifat dan akalnya, ke mana hala tuju bolasepak kita?? Cukup lah yang tak cerdik tu di Kelana Jaya sahaja, tak perlulah wabak penyakit itu disebarkan ke seluruh negara.

Sebelum tutup, kita nih sibuk-sibuk pasal kerja jurulatih dan pemain, kerja kita sebagai penyokong macam mana?? dah bersedia ke persiapan semua?? dah minta cuti, dah kumpul duit, dah tahu nak pegi naik apa dengan siapa, siapa nak "runner" tiket, nak buat apa kat stadium, nak pakai baju apa, semua dah siap?? jangan sebab kita sibuk dengan kerja orang lain kerja kita terabai. Kita pun ada KPI jugak cuma takde majikan, kita semua kerja sendiri jadi KPI tetapkan sendiri..hahaha.

Ingat ini milik kita, kebanggaan kita, wajah kita, hanya 2 tahun sekali melibatkan pasukan kita, anak-anak kita, rakan-rakan kita, saudara-saudara kita, jiran kita, bendera kita, pendek kata semuanya ada kena mengena dengan kita. 

Sekadar tulisan dan pendapat.   

Friday, November 02, 2012

Presiden FAM Sila Letak Jawatan -Bahagian 18-

Assalamu'alaikum,

Saat aku menaip ini tinggal 23 hari lagi sebelum bermulanya perlawanan pertama pasukan bolasepak negara dalam kejohanan Piala AFF 2012.

Tapi seolah-olah kejohanan ini telah dibatalkan kerana tiada hebahan atau kekecohan yang ditimbulkan oleh media elektronik mahupun cetak di Malaysia ini. Amat berbeza sekali suasana pada sekitar bulan 5 yang lalu di mana heboh satu Malaya bahawa pada bulan 6 nanti akan berlangsung satu kejohanan EURO 2012 yang tidak membabitkan pasukan negara sama sekali.

Di mana promosinya? Di mana propagandanya? Di mana ceritanya?

Tidak dinafikan ada pihak-pihak media yang masih lagi cuba sedaya upaya dengan sumber yang ada untuk mempromosikan, menghebahkan, menceritakan mengenai kejohanan yang akan berlangsung tidak lama lagi itu namum majoriti media seolah-olah tidak mengambil peduli langsung.

Aku bercakap atas dasar promosi. Ya, memang berita mengenai skuad Harimau Malaya ada keluar di suratkhabar dan berita-berita sukan, namun itu bukan di panggil promosi. Itu adalah laporan berita walaupun secara tidak langsung ianya adalah promosi namun masih tidak dikategorikan sebagai promosi yang betul-betul promosi.

Maksud aku ialah tiada iklan, tiada promo, tiada billboard, tiada bunting, tiada banner, tiada rancangan khas untuk kejohanan itu sahaja, tiada teaser, tiada countdown, tiada highlight mengenai sejarah kejohanan yang lepas-lepas, tiada acara-acara promosi di pusat beli belah dsbnya.

Betul, memang semua di atas memerlukan duit untuk direalisasikan, tetapi bukankah anda orang-orang media ini semuanya kreatif dan sudah pasti anda boleh mencari penyelesaian bagaimana hendak mempromosikan kejohanan ini dengan kos yang paling minimal.

Adakah dengan membuat "simple" promo di TV/Radio memakan belanja yang besar?? Adakah dengan menyelitkan countdown di TV/Suratkhabar/Laman web memakan belanja yang besar? Adakah dengan membuat simple teaser untuk TV/Radio memakan belanja yang besar? Mungkin billboard, banner, bunting, rancangan khas serta highlight memerlukan kos yang agak tinggi, namun promosi yang "simple" dan tidak memerlukan kos pun tak kan tak terfikir nak buat?? Kalau EURO tu cepat jek, sebulan sebelum dah naik teaser, promo bagai dan suratkhabar pun dah penuh dengan iklan-iklan EURO.

Aku faham, EURO kejohanan yang besar dan banyak syarikat korporat ingin melabur demi mempromosikan produk masing-masing, tetapi seperti yang aku cakap, bukankah orang-orang media ini kreatif, aku percaya pasti mereka boleh menghasilkan sesuatu idea yang memerlukan kos yang minima.

Aku nak tanya, berapa banyak proposal yang keluar dari stesen TV/Radio/Suratkhabar/Interaktif/Majalah untuk dijual kepada "client" sempena Piala AFF 2012 nih?? Berapa ramai orang TV/Radio/Suratkhabar/Interaktif/Majalah yang keluar dan cuba untuk jual Piala AFF 2012 ini kepada "client" masing-masing?? Cuba orang-orang TV/Radio/Suratkhabar/Interaktif/Majalah semak semula berapa banyak proposal yang dah keluar dan berapa banyak percubaan telah dilakukan untuk meyakinkan "client" masing-masing supaya membeli airtime di TV/Radio atau iklan mukasurat di suratkhabar/majalah atau hyperlink, promo text link, billboard, super banner dsbnya di laman web masing-masing bersempena dengan Piala AFF 2012. Cuba semak kembali.

Bukan tak boleh buat duit dengan Piala AFF nih walaupun aku akui ia tidak setaraf dengan EURO atau Piala Dunia, tapi perlu diingat dalam Piala AFF, negara kita Malaysia ada terlibat manakala dalam kejohanan EURO sampai kiamat pun memang Malaysia tak akan dapat main cuma kita sahaja yang tidak mahu.

Media adalah medium yang sangat penting dan boleh menjadi alat bagi menaikkan semangat seluruh rakyat Malaysia sempena kejohanan Piala AFF 2012 nanti. Kalau kena caranya, kena propagandanya, kena promosinya, pasti kemeriahan, kehangatan dan ketaksuban yang luar biasa akan terhasil. Cuma kita perlu tanya, kita mahu atau tidak mahu melakukannya, itu sahaja.

Ini Malaysia main lah, Malaysia tuan rumah lah, jangan kasi malu lah. Kalau yang beribu-ribu kilometer kita boleh buat ibarat kita yang menganjurkan, apatah lagi ini bermain di tanah tumpah darah kita sendiri, di Bukit Jalil, di MALAYSIA sekali lagi diulangi di MALAYSIA. Bangunlah, bangkitlah, sampai bila kita nak berbangga dengan sesuatu yang bukan milik kita?? 

Ini milik kita, kebanggaan kita, wajah kita, hanya 2 tahun sekali melibatkan pasukan kita, anak-anak kita, rakan-rakan kita, saudara-saudara kita, jiran kita, bendera kita, pendek kata semuanya ada kena mengena dengan kita jadi mengapa tidak kita buat sehabis baik?? 

Ayuh semua!! Kita sama-sama memainkan peranan membakar semangat seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan warna hitam kuning, kita penuhkan Stadium Nasional, penuhkan warung-warung, restoran-restoran, segala pub segala bar untuk bersama Harimau Malaya kita.

KOSONGKAN KALENDAR ANDA, PENUHKAN STADIUM ANDA!! 

THIS IS THE REAL FOOTBALL, THE REAL FANS!!

p/s :- Presiden FAM jangan lupa hadir ke setiap perlawanan Malaysia ye.. ;-)

Sekadar tulisan dan pendapat.    

       
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...