Assalamu'alaikum,
Sempena dengan sambutan hari guru pada 16hb Mei setiap tahun maka aku nak berkongsi sedikit apa yang terlintas di fikiran aku. Silakan...
G.U.R.U. mengikut kamus Dewan Bahasa & Pustaka membawa maksud orang yang menyampaikan dan mendidik ilmu terutama di sekolah. Di sini aku ingin berkongsi mengenai asal usul perkataan guru ini. Mengikut apa yang aku telah selidik dan rujuk, perkataan “GURU” itu berasal dari bahasa Sanskrit yang membawa maksud;
GU = bermaksud kejahilan ilmu yang manusia sedang alami
RU = bermaksud pengetahuan ilmu yang menghilangkan kejahilan ilmu
Jadi di sini apabila “GU” dan “RU” digabungkan ianya membawa maksud lebih kurang begini “seseorang yang menghilangkan kejahilan ilmu yang dialami oleh manusia dengan memberikan ilmu pengetahuan”. Jika dilihat dari maksud itu memang sesuailah seperti maksud “GURU” dalam kamus Dewan Bahasa & Pustaka. Jika dilihat dari sejarah kita juga Bahasa Malaysia ini sebahagian asalnya adalah dari Bahasa Sanskrit dan jika dilihat dari fakta-fakta sejarah bahawa pedagang-pedagang dari India singgah berlabuh di Tanah Melayu pada ketika itu, tidak mustahil perkataan “GURU” dalam Bahasa Malaysia sekarang ini diambil dari perkataan “GU” dan “RU” dari Bahasa Sanskrit dan diberikan makna serta maksud tersendiri oleh pakar-pakar bahasa di Malaysia.
Sambutan hari guru disambut setiap tahun pada tanggal 16hb Mei di Malaysia dan diberi nama Hari Guru manakala di negara lain ianya dipanggil mengikut bahasa rasmi negara tersebut dan ianya disambut pada tarikh yang berlainan bagi setiap negara. Mengapa tanggal 16hb Mei? Adalah bersempena dengan Laporan Razak yang dibentangkan dan disokong oleh “Federal Legislative Council of the Federation of Malaya” pada 16hb Mei 1956 berkenaan dengan pelajaran di Malaysia.
Jadi itu serba sedikit mengenai asal usul hari guru di negara kita dan juga maksud perkataan guru itu serba sedikit. Apa yang aku ingin kongsi ialah mengenai sambutan hari guru di Malaysia. Rata-rata kita beranggapan bahawa hari guru hanyalah untuk mereka yang bergelar cikgu, ustaz, ustazah dan mengajar di sekolah rendah, menengah ataupun tadika. Manakala mereka yang mengajar di peringkat lebih tinggi seperti di universiti seperti pensyarah atau profesor tidak disambut pada hari tersebut. Pelik bukan?? Atau mungkin pensyarah dan profesor yang mengajar di universiti yang tidak mahu mereka diberi taraf yang sama seperti cikgu,ustaz atau ustazah kerana mereka berpendapat bahawa mereka mempunyai kelayakan serta taraf lebih tinggi dari orang yang mengajar di sekolah . Wallahu’alam.
Pada pendapat aku, tidak kira apa gelaran anda, cikgu, ustaz, ustazah, pensyarah, profesor, sifu, tok guru dan sebagainya, anda sebenarnya adalah guru jika anda pernah menurunkan atau mengajarkan sesuatu ilmu pada seseorang. Contoh; jika seorang tukang jahit mengajar seseorang yang lain tentang cara-cara menjahit, maka secara otomatik dia bergelar seorang guru walaupun dia tidak mengajar di sekolah dan tidak mempunyai sijil begitu juga jika jiran anda mengajar anda membaca Al-Quran, maka jiran anda adalah guru anda walaupun dia tidak pernah lulus SPM dan tidak pernah memasuki Maktab Perguruan Sultan Idris.
Jadi mengapa sambutan hari guru ini hanya dikhususkan kepada mereka yang mengajar di sekolah-sekolah sahaja. Sepatutnya perkara ini ditanamkan kepada semua umat manusia di tanah Malaysia ini pada setiap sambutan hari guru di Malaysia. Jangan hanya ditanamkan dalam minda kita bahawa 16hb Mei adalah sambutan hari guru untuk mereka-mereka yang mengajar di sekolah-sekolah sahaja. Kalau hendak begitu, lebih baik ditukar sahaja kepada sambutan “Selamat Hari Guru Sekolah Rendah, Menengah & Tadika” sahaja. Jadi pada pendapat aku semua yang bergelar “GURU” tidak kira dibawah gelaran cikgu, ustaz, ustazah, pensyarah, profesor, tok guru, guru silat atau sebagainya, seharusnya mereka ini semua diraikan pada tanggal 16hb Mei di Malaysia ini. Marilah kita semua sama-sama ingat kembali jasa-jasa guru-guru kita yang telah memberikan kita ilmu pengetahuan walaupun sebesar kuman sekalipun, dia tetap telah menjadi guru anda.
SELAMAT HARI GURU kepada semua guru di Malaysia.
Sekadar tulisan dan pendapat.
Thank you very much...
ReplyDelete