Thursday, February 24, 2011

Malaysia Bawah - 23 lwn Pakistan Bawah - 23

Assalamu'alaikum,

Rasanya dah lama aku tidak menaip "posting" mengenai bolasepak. Jadi aku nak cerita sikit pasal perlawanan semalam. Aku rasa perlawanan semalam ada satu macam aura sedikit berbanding perlawanan skuad senior dengan Hong Kong dua minggu lepas. Mungkin kerana ini adalah perlawanan untuk sesuatu kejohanan manakalah bertemu Hong Kong sekadar persahabatan tetapi ianya akan melibatkan kedudukan Malaysia dalam tangga dunia, entahlah apa-apa pun perlawanan dengan Pakistan semalam terasa macam lebih sedikit aura dia.
Mula-mula nak cerita pasal pemain dahulu, mereka pada aku bermain dengan sangat baik dan sangat menghiburkan. Nampak semangat dan jiwa Malaysia pada setiap 11 pemain di dalam padang. Walaupun ada kepincangan sedikit di sana sini, namun itu boleh diperbaiki lagi. Apa-apa pun jangan berasa selesa kerana selepas ini lawan yang lebih kuat bakal menanti. Teruskan usaha wahai Harimau Muda!!

Sekarang ini aku nak cerita pasal pemain ke-12 pula. Sepanjang 90 minit perlawanan sebenarnya mata aku tertumpu pada pintu 15,16,17 dan sekejap-sekejap ke padang, kemudian ke arah pintu 10. Kenapa? Sebabnya Pintu 15,16,17 letaknya Ultras Malaya manakala di pintu 10 pula letaknya kumpulan penyokong paling otai dan paling banyak berjasa dalam sukan Malaysia terutama bolasepak dalam iaitu SSFC.
Mata aku tertumpu pada gerakan, sorakan Ultras Malaya di pintu 15,16,17 kemudian pada paluan gendang SSFC di pintu 10. Aku amat tertarik dengan gaya revolusi corak sokongan yang dibawa oleh Ultras Malaya. Mereka cuba menerapkan budaya menyokong di dalam stadium pada setiap pemain ke -12 yang hadir. Nampaknya semalam seperti ada pertambahan orang dalam kawasan pintu 15,16,17 kerana nampak lebih ramai dari perlawanan dengan Hong Kong. Pergerakan dan sorakan mereka lebih kedengaran semalam berbanding perlawanan dengan Hong Kong. Ada seorang rakan aku berkata "Bayangkan kalau satu stadium buat macam tu". Aku pun terfikir "Boleh ke terjadi?"

Manakala paluan gendang SSFC juga menarik perhatian aku, kerana mereka sudah lebih kerap memalu gendang berbanding sebelum ini. Syabas diucapkan. Walaupun gaya dan corak sokongan mereka ini boleh kita panggil "ol skool" namun apa ada hal? Yang penting jiwa dan hati mereka untuk Malaysia.
Tetapi di sini aku ingin meluahkan sedikit pendapat aku(aku harap tiada yang terasa hati, kerana ini adalah kebenaran dan hakikat yang sebenar berlaku). Semalam setiap kali sorakan Ultras Malaya berkumandang pastinya gendang SSFC akan berbunyi seolah-olah mahu menenggelamkan sorakan Ultras Malaya. Mengapa terjadi begitu? Bukan hendak marah atau menidakkan hak anda memalu gendang, tapi paluan kalau diiringi dengan perasaan hasad dan dengki bercampur dengan bau tidak ikhlas, maka akan kedengaran perasaan-perasaan negatif itu di seluruh pelusuk stadium walaupun kita tidak dapat melihatnya. Perkara ini sebenarnya aku dah perhati dalam banyak perlawanan sebelum ini baik di Liga Super mahupun yang melibatkan Malaysia. Perkara ini bukan aku seorang sahaja yang perasan, tetapi aku dengar orang-orang sekeliling pun berkata sedemikian rupa.

Pendapat aku, SSFC adalah sebuah kelab penyokong yang dihormati ramai kerana jasa anda dan kehebatan anda, namun jangan kerana perasaan hasad dan dengki serta tidak ikhlas dalam menyokong akan menjatuhkan maruah anda. Anda semua sudah senior dan lama dalam dunia sokongan ini, jadi jangan kerana perasaan cemburu dan takut kehilangan kepentingan anda tidak akan dihormati lagi. Ilmu, pengalaman dan kenalan berkuasa yang ada pada anda bukanlah tiket untuk anda bersenang lenang dan boleh berbuat sesuka hati anda. Sepatutnya kerana anda lebih senior anda sepatutnya menunjukkan kematangan yang lebih dan sepatutnya menjadi penunjuk arah untuk generasi baru yang ingin merubah corak dan budaya menyokong di kalangan pemain ke-12 di stadium, bukannya mencaci mereka, menyekat mereka dan mengejek cara mereka.
Kepada Ultras Malaya, teruskan usaha anda dan semoga satu hari nanti sorakan dan budaya ini akan menyerap ke seluruh jiwa pemain ke-12 Malaysia. Mengapa pada awalnya aku bertanya "Boleh ke terjadi? adalah kerana sifat orang kita yang sesetengahnya ada perasaan hasad dan cemburu dengan kejayaan orang lain jadi jika ada sifat sebegitu dikalangan pemain ke-12 sudah pasti agak sukar bukan. Tetapi tidak mengapa, jika anda betul, pasti akan terpancar kebenarannya nanti. Cuma anda semua perlu ingat walaupun anda Ultras namun anda tetap orang Malaysia, jadi jangan lupa yang kita ini orang Malaysia dan buang perasaan-perasaan negatif(seperti gila kuasa, hasad dengki, cemburu, tidak jujur dan ikhlas, budaya mengampu dsbnya) dalam diri supaya budaya songsang orang Malaysia itu tidak menyerapi dalam diri anda semua :-). 


Aku tidak menyebelahi mana-mana pihak, tetapi ini adalah sekadar pandangan dari seseorang yang datang ke stadium tetapi tidak berbuat apa-apa, sekadar menonton perlawanan dan bersorak bila perlu.

Sekadar tulisan dan pendapat.

Tuesday, February 22, 2011

Kurbaan

Assalamu'alaikum,

Sekali lagi nak kongsi pasal filem. Sebuah filem hindi yang diarahkan oleh Rensil D'Silva dan diterbitkan oleh Karan Johar dengan dua pelakon utama Saif Ali Khan dan Kareena Kapoor. 
Pada aku filem ini berkisar mengenai Islam , dunia barat & pengganas. Filem ini cuba bersifat neutral dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak, baik Islam, pengganas dan juga dunia barat. Maka Islam yang cuba disampaikan dalam filem ini tidak menepati ajaran sebenar, atau sebenarnya filem ini ingin menunjukkan Islam mengikut kepercayaan dunia moden dan celik pandai di zaman sekarang. Pengganas dalam filem ini juga diberi peluang untuk menerangkan mengapa dan apa sebab musabab mereka melakukan tindakan sedemikian rupa terhadap dunia barat walaupun watak mereka dipersalahkan dalam filem ini, manakala dunia barat juga dipersalahkan mengapa pengganas-pengganas ini wujud di zaman sekarang walaupun akhirnya mereka memperoleh kemenangan.

Tapi apa yang aku nak kongsi dengan anda semua ialah satu babak di dalam filem ini yang amat menarik perhatian aku, antara babak yang paling aku suka.

video

Aku tidak tahu di mana dan bagaimana nak mencari DVD atau VCD filem ini di Malaysia, kerana sudah puas aku meneroka ke kedai-kedai video yang original mahupun yang cetak rompak namun semuanya tidak berhasil. Akhirnya aku memuat turun filem ini menggunakan uTorrent di http://www.newtorrents.info/down.php?id=10793 dan dapatlah aku menontonnya.

Aku rasa filem ini menarik untuk ditonton, namun aku tidak memahami apa yang cuba dibuktikan oleh pengarah mahupun penulis skrip melalui filem ini. Jika nak dikatakan memperlekehkan Islam, ada juga babak-babak yang memperjuangkan dan menerangkan, nak dikatakan ingin menunjukkan pengganas Islam itu salah, ada juga babak yang mempertahankan perjuangan mereka dan jika ingin membuktikan bahawa dunia barat itu adalah penyebab semua huru-hara ini berlaku tidak juga kerana diakhir filem ini kemenangan diperoleh oleh pihak mereka. Jadi seperti yang aku terangkan di atas, pendapat aku filem ini cuba bersifat neutral dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Cuma apabila kita menonton, cuba kita fikirkan, apakah dasar perjuangan kita dari saat kita mengenali dunia, mengenali agama yang kita anuti hinggalah ke saat ini.

Sekadar tulisan dan pendapat.

Monday, February 21, 2011

Hantu Kak Limah Balik Rumah

Assalamu'alaikum,

Kisah kali ini aku nak kongsi mengenai filem arahan Mamat Khalid. Walaupun sebenarnya aku agak terlewat untuk menonton filem ini, namun aku sebenarnya teringin sangat nak menonton kerana rakan-rakan semua kerap menggunakan petikan-petikan dari filem ini dalam perbualan harian mereka. Jadi hati aku meronta-ronta ingin menonton dan melihat sendiri babak-babak dalam filem ini seperti yang digambarkan oleh rakan-rakan yang lain.
Mungkin ramai yang sudah menonton filem ini sewaktu ianya ditayangkan di pawagam-pawagam atau di rangkaian ASTRO First, namun aku hanya berkesempatan menonton filem ini di rumah rakan aku En. Mohd Izham Bin Ehsan bersama dengan rakan-rakan yang lain. Girangnya hati aku pada malam itu tidak terkira kerana akhirnya berpeluang untuk menonton filem yang menjadi bualan ramai itu.

Ini filemnya,


Banyak petikan dalam filem itu yang menjadi pilihan ramai dalam perbualan harian mereka antaranya, " Cer Cite..Cer Cite" dan lagu yang akan aku kongsi dengan anda semua dalam "posting" ini adalah antara lagu "soundtrack" yang paling aku gemari. :-)

video

Ini adalah lagu nyanyian satu kumpulan berasal dari Scotland, Middle Of The Road yang berjudul Soley-Soley.
Filem ini juga banyak sindiran dalam diaolog-dialognya yang pada aku amat baik sekali cara penulis skrip ingin sampaikan sesuatu sindiran itu kepada khalayak ramai. Antara sindiran-sindiran yang menarik perhatian aku ialah; 

1) "Bala..bala, entah apa yang korang semua dah buat sampai bala datang kat kampung nih" oleh pegawai ambulan maksud yang ingin disampaikan adalah setiap kejadian buruk yang berlaku di muka bumi ini sebenarnya berpunca dari kita manusia itu sendiri ;-). 

2) "Itulah dah tua-tua masih nak memimpin lagi, bila ada masalah tak tahu nak selesai. Cuba lah bagi peluang kepada orang-orang muda untuk memimpin pula" kata Pak Jabit kepada Pak Abu maksudnya sepatutnya orang-orang yang senior patut lebih memberi peluang kepada golongan muda untuk menyinar bukannya dengan menyekat dan mengutuk mereka. 

3) "Black metal tu tak salah, yang salah adalah orang yang salah anggapannya pada black metal itu" kata mamat yang aku tak ingat nama watak dia maksudnya kadangkala sesuatu perkara itu tidak salah tetapi ianya menjadi salah apabila kita sendiri yang beranggapan begitu tanpa ada usaha untuk memahami perkara itu terlebih dahulu. 

4) Satu lagi sewaktu bomoh siam itu membaca mentera dengan menyebut "Pelawok..pelawok..pelawok" aku selidik rupanya maksud perkataan itu ialah penipu dalam dialek Terengganu. Maksud yang ingin disampaikan ialah orang kita ni selalunya suka percaya pada bomoh yang sebenarnya penipu. ;-) 

dan banyak lagi dialog-dialog yang sinis dan penuh dengan maksud tersirat.
Aku rasa cukuplah setakat ini aku menaip mengenai filem ini. Kepada sesiapa yang tidak menonton lagi bolehlah menonton jika ada kelapangan.

Sekadar tulisan dan pendapat.

Friday, February 18, 2011

Bosan

Assalamu'alaikum,

B.O.S.A.N. adalah satu perkataan yang kita akan gunakan apabila kita merasakan bahawa kita tiada idea untuk melakukan sesuatu, apabila hidup kita ini ditimpa sedikit masalah, apabila ada sesuatu perkara yang berlaku tidak kita gemari atau sesuatu berlaku tidak mengikut perancangan yang telah dirancang.
Pasti semua pernah menggunakan perkataan ini tidak kiralah dalam bahasa apa sekalipun, namun pasti ianya pernah digunakan oleh setiap manusia di muka bumi ini.

Pada aku, aku bosan dengan keadaan dunia sekarang ini, mungkin juga dunia sudah bosan dengan aku, aku bosan dengan dengan segelintir manusia yang hidup di atas muka bumi ini, mungkin juga mereka bosan dengan aku..ARGGGHHHH!!! Bosan bukan?

Mungkin anda pun dah bosan nak meneruskan pembacaan jadi aku tamatkan sahaja nukilan kali ini dengan harapan supaya DIA tidak akan bosan dengan aku, kerana kalau DIA sudah mulai bosan dengan aku, alamatnya hancur dan binasalah aku. :-)

Sekadar tulisan dan pendapat. 

Thursday, February 10, 2011

...Aman...

Assalamu'alaikum,

Kali ini aku nak kongsi tentang satu perkataan yang bermain di dalam fikiran aku. Perkataan itu adalah A.M.A.N. Dalam kamus yang aku rujuk, perkataan ini bermaksud "tenteram, damai, situasi yang bebas dari peperangan, huru hara dan keganasan".
Aku sering terdengar, terlihat, terbaca akan perkataan ini dalam  kehidupan seharian aku. Apa yang ingin aku kongsikan di sini ialah mengenai "Malaysia, Negaraku Yang Aman".

Kita sering dengar atau baca semua orang mengatakan bahawa Malaysia ini sebuah negara yang aman, damai dan tenteram. Bebas dari perang dan keganasan. Sering juga kita dengar bahawa keamanan dan ketenteraman sekarang ini adalah kerana pemerintahan kerajaan kita yang bijak & pandai. Pernah aku terbaca, jika kerajaan sedia ada tidak lagi memerintah maka kemungkinan keadaan aman dan tenteram ini mungkin akan lenyap. Tidak dinafikan negara Malaysia memang aman dan tenteram kerana rakyatnya sangat menjaga tatasusila dan tidak suka menimbulkan kekecohan. Aku juga begitu tidak gemar kekecohan sebaliknya menyintai keamanan dan kedamaian.
Tapi keamanan yang kita lihat di luar sana tidak mencerminkan keamanan dunia siber di Malaysia. Kerana banyak aku terlihat dan terbaca di Facebook, blog-blog dan sebagainya, rakyat kita menimbulkan kekecohan mengenai isu-isu semasa yang panas. Seperti contoh harga minyak naik, harga barang naik, semuanya melepaskan rasa tidak puas hati mereka di alam siber. Mungkin ada baiknya pemberontakan mereka dan ketidak puasan hati mereka itu dilemparkan dan diterjemahkan hanya dengan kata-kata di dunia siber. Bayangkan kalau mereka menterjemahkannya di dunia nyata, nah pastinya tidak aman lagi negaraku ini. Pasti akan huru hara negara kita yang tercinta ini seperti apa yang berlaku di Bangkok, Tunisia, Mesir dan di mana-mana negara yang rakyatnya menterjemahkan perasaan tidak puas hati mereka terhadap sesuatu isu di dunia nyata.

Apa yang bermain di fikiran aku ialah, bagaimana sesetengah individu boleh memanipulasi dan menggunakan hanya perkataan dengan 4 huruf ini A.M.A.N. untuk kepentingan dan keuntungan sesetengah pihak. Pada aku mereka begitu hebat, kerana dengan perkataan "aman" ini sahaja mereka bisa mengekalkan kuasa dan melakukan sesuka hati mereka untuk kepentingan mereka.
Kita pula sebagai rakyat jelata dan orang yang hanya mempunyai kuasa biasa hanya terpaksa menerima dan mengharungi apa sahaja keputusan dari pihak yang bertanggungjawab dalam membuat keputusan atas tiket "keamanan", kerana inginkan keamanan dan kedamaian maka kita semua merelakan diri kita diperlakukan sedemikian rupa dan atas tiket "aman" juga kita hanya melepaskan rasa tidak puas hati di dunia siber, tidak mahu menimbulkan huru hara di luar. Seperti aku juga, aku punya banyak sekali perkara yang aku tidak puas hati namun apakan daya, aku hanya mampu melepaskannya di sini, di dunia siber bukan di alam nyata.

Aku bukan ingin menggalakkan semua keluar dan menterjemahkan rasa tidak puas hati di dunia nyata dengan keganasan dan huru hara, tidak sama sekali, cuma aku pelik kerana kuasa kita sebagai rakyat tidak begitu kuat dan kita aku lihat hanya lebih suka merelakan sahaja apa pun yang berlaku atas alasan "aman" walaupun ditipu, dipermainkan seperti budak 10 tahun, diinjak-injak seperti kanak-kanak baru pandai membaca dan sebagainya. Maksud aku kita tidak pernah bersatu sebenarnya walaupun kita hidup dalam keadaan aman dan harmoni, hakikatnya kita tidak pernah bersatu.

Begitu kuatnya pengaruh perkataan ini dalam kehidupan seharian kita sehinggakan kita semua bagaikan dirantai dan hanya tunduk dan patuh walaupun hakikatnya di dalam kita membara bagaikan Gunung Merapi hendak meletus.

Apakah sebenarnya kita semua dilahirkan dengan hati, jiwa dan semangat yang kecil atau sememangnya kita berketurunan yang "Tidak Apa" dan "Biarlah" atau kita tidak mempunyai perasaan untuk mencuba sesuatu yang baru atau takut untuk mencuba atau tidak dibenarkan mencuba?
Sekadar tulisan dan pendapat.

Wednesday, February 09, 2011

Barang ciplak - Barangan tiruan - Barangan cetak rompak

Assalamu'alaikum,

Aku terfikir pasal perkara ini secara tiba-tiba, lalu aku nak kongsi dengan anda semua. Baca tajuk "posting" ini, itulah perkara yang tiba-tiba muncul di kepala otak aku ini.

Aku sedia maklum bahawa mencuri itu salah dari sisi undang-undang ALLAH dan juga undang-undang ciptaan manusia. Aku juga sedia maklum mengambil sesuatu yang bukan hak milik kita adalah salah dari segi undang-undang ALLAH dan undang-undang ciptaan manusia. Aku tidak arif akan hal-hal hukum-hakam ini baik hukum dari-NYA juga hukum-hakam ciptaan saudara-saudaraku. Jadi aku meminta bantuan jika ada sesiapa yang arif akan perkara hukum-hakam ini dapat menjelaskan dengan lebih jelas. :-)

1) Adalah salah untuk kita memiliki barang curi(e.g. memiliki  
   motosikal curi) di sisi undang-undang ciptaan manusia       
   walaupun kita membeli barangan itu tanpa mengetahui ianya  
   dicuri, berdosakah kita jika memiliki barangan curi(e.g.  
   motosikal curi) itu jika kita membelinya dari seseorang 
   tanpa mengetahui bahawa itu adalah barangan curi? 

Dan...
   
   Adalah salah untuk kita memiliki dan membeli barangan cetak  
   rompak disisi undang-undang ciptaan manusia, berdosakah kita      memiliki barangan cetak rompak walaupun sewaktu membelinya  
   kita sudah tahu bahawa barangan itu adalah barangan cetak 
   rompak?


Jadi...


   Bagaimana pula jika kita memiliki dan membeli barangan yang 
   diciplak atau barangan tiruan? Berdosakah kita?


Seperti yang semua sedia maklum, barangan tiruan dan cetak rompak ini adalah barangan yang dikeluarkan atau dihasilkan tanpa kebenaran dari pemilik asal atau pencipta asal atau pemegang hak barangan itu bermaksud kita mengambil hak atau milik seseorang itu tanpa kebenarannya dan kita cuba mengaut keuntungan daripadanya.


Rumit bukan? Hah..itulah persoalan yang tiba-tiba muncul di kepala otak aku ini. Kepada sesiapa yang arif untuk menjelaskan perkara ini dipersilakan... :-)


Sekadar tulisan dan pendapat.

Saturday, February 05, 2011

Medan Selera Ikan Bakar Kg. Telok, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan

Assalamu'alaikum,

Kali ni aku nak kongsi dengan anda semua tentang satu tempat makan di Port Dickson. Lokasi terletak di Kg Telok, Pasir Panjang. Kalau anda berada di sekitar Port Dickson atau kawasan yang sewaktu dengannya dan anda terasa nak makan ikan bakar, anda boleh cuba ke Medan Selera Ikan Bakar Kg. Telok, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Aku ke Port Dickson bulan lepas, dan aku nak cari tempat makan ikan bakar sebab keluarga aku semua teringin nak "pekena" ikan bakar. Aku cadangkan semua ke Umbai, Melaka tetapi jauh pula dari lokasi kami di Port Dickson. Aku pun seperti biasa menggunakan kecanggihan teknologi "Google Search" untuk mencari tempat "power" untuk ikan bakar di sekitar PD. Selepas menekan butang "Search" keluar banyak ulasan mengenai tempat ini lalu aku pun menelifon dan SMS rakan aku rakyat Negeri Sembilan, Kak Liza(bekerja di MPPD), Muzammil(budak Rantau) & Azlan(budak Seremban) untuk mengesahkan lagi mengenai ulasan-ulasan yang diberikan dalam internet mengenai tempat ini. Mereka semua mengesahkan bahawa tempat itu sesuai untuk menikmati ikan bakar dan boleh untuk aku serta keluarga pergi mencuba.

Jadi di sini ada sedikit petunjuk untuk ke sana. Dari Port Dickson anda pandu terus menghala ke Teluk Kemang, Tanjung Tuan dan terus sahaja sehingga anda tiba di Pasir Panjang dan apabila memasuki pekan Pasir Panjang, pastikan mata anda meliar mencari papan tanda Medan Selera Ikan Bakar dan anda ikut sahaja arah papan tanda itu, pasti anda akan tiba di lokasi yang disebutkan. Perjalanan akan mengambil masa sekitar 30-45 minit dari pekan Port Dickson.


Pada malam itu aku mencuba Gerai No. 5, Zakaria Ikan Bakar dan kami memesan 4 ekor ikan (Siakap 3 & Pari 1), Sotong Goreng Tepung 1kg, Sayur Kangkung Belacan 3, Udang Mentega(Butter Prawn), Air 3 Jug. Semuanya termasuk nasi putih dan nasi lemak berharga RM250.00. Pada aku harganya sangat murah, jadi kepada anda yang ingin mencuba aku rasa agak berbaloi kerana rasanya juga enak. Amat berbaloi perjalanan selama 30 minit dari Regency Tanjung Tuan untuk ke Pasir Panjang menikmati ikan bakar.


Aku sertakan sedikit foto untuk anda;


Gerai No. 5

Siakap Bakar & Masak 3 Rasa

Udang Mentega

Sotong Goreng Tepung

Ikan Siakap Bakar

Masak Tiga Rasa
Selamat Mencuba kepada anda semua!! :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...