Saturday, January 29, 2011

Kuasa

Assalamu'alaikum,

K.U.A.S.A, satu perkataan yang mempunyai impak dah kesan terhadap kehidupan sesetengah individu ataupun kita boleh kata setiap individu di muka bumi ini. Mungkin ada yang mengaitkannya dengan pangkat dan kedudukan yang dimiliki oleh seseorang, ada juga yang mengaitkannya dengan ilmu-ilmu samaada yang baik ataupun tidak, mungkin juga ada kaitan dengan keupayaan sesuatu perkara atau objek. Bagi aku, setiap makhluk yang bernyawa di muka bumi ini mempunyai kuasa yang mana mungkin sesetengah dari mereka ini tidak sedar akan kehadiran akan kuasa yang ada pada mereka.

Namun apa yang aku nak kongsi dengan anda semua bersempena dengan mulanya musim Liga Malaysia untuk tahun 2011 ini adalah mengenai kuasa yang ada pada setiap individu yang bergelar pemain ke-12. Mungkin kita tidak sedar yang kita ini sebenarnya mempunyai kuasa, walaupun kita tidak memegang sebarang jawatan dalam mana-mana persatuan bolasepak negeri atau kelab mahupun FAM. Walaupun kita ini tidak menyertai atau menganggotai mana-mana pertubuhan penyokong berdaftar ataupun yang tidak berdaftar namun hakikatnya semua pemain ke-12 ini mempunyai kuasa.

Sebelum datangnya hari ini, kita dapat lihat, dengar dan baca mengenai mereka-mereka yang mempunyai kuasa membuat keputusan-keputusan yang bijak demi memajukan bolasepak Malaysia. Antara semua keputusan yang bijak, yang paling menarik perhatian aku adalah penggantungan B.Sathianathan kerana mengkritik FAM. Bagi aku keputusan ini adalah yang paling bijak sekali, kerana jika kita nilai kritikan Sathia terhadap FAM, ianya tidak akan membawa kemajuan dalam bolasepak Malaysia malah akan menjatuhkan lagi kredibiliti liga tempatan terutamannya kredibiliti FAM sebagai penaung dan pemimpin bolasepak Malaysia makanya sememangnya mereka yang bijak pandai ini telah membuat satu keputusan yang tepat. Bagaimana mereka boleh membuat keputusan yang bijak dan tepat seumpama itu demi menjaga kepentingan bolasepak dan memajukannya?? K.U.A.S.A. itulah jawapannya, kerana mereka mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.


Jadi, kita sebagai pemain ke-12, apakah sumbangan kita dalam memajukan bolasepak Malaysia? Kita mungkin tidak mempunyai kuasa seperti FAM ataupun mereka-mereka yang bijak pandai dalam persatuan negeri mahupun kelab, namun itu tidak bermakna kita tidak mempunyai kuasa langsung. Sebenarnya kuasa yang ada pada kita bisa menggegarkan bolasepak Malaysia dan juga menggegarkan mereka-mereka yang bijak pandai dalam menguruskan dan mengendalikan bolasepak Malaysia. Apa yang penting adalah kita harus berpegang dan memahami maksud pepatah ini "Bersatu Kita Teguh...Bercerai Kita Roboh". Mungkin anda sudah biasa dengar akan peribahasa melayu itu dan cerita mengenainya yang apabila kita mempunyai sebatang dua lidi, memang mudah untuk dipatahkan namun jika kita cuba mematahkan segenggam lidi, ianya tidak bisa dipatahkan.


Apa yang ingin aku katakan di sini, ialah jika digabungkan kuasa setiap individu pemain ke-12 ini pasti akan bergegar dunia bolasepak. Kita ibarat rakyat dalam kerajaan bolasepak pimpinan FAM yang bijak lagi tersohor. Jesteru sebagai rakyat terhadap kerajaan bolasepak, sudah semestinya kita mempunyai kuasa terhadap kerajaan itu sendiri walaupun kerajaan itu tidak dipilih oleh rakyat bolasepak menerusi pilihanraya. Fikirkanlah.

Aku suka nak mengambil contoh mengenai pemain ke-12 Indonesia(kita tidak perlu melihat jauh, lihat sahaja jiran kita di sebelah), mereka mungkin kita anggap sebagai tidak bertamadun, berfikiran rendah dan kuno atau sebagainya tetapi walaupun kita kata mereka tidak bertamadun dan kuno, mereka telah menggunakan dan menggabungkan kuasa setiap pemain ke-12 mereka untuk bolasepak mereka. Lihat sahaja bagaimana kuasa mereka bisa menakutkan kita sehingga Stadium Gelora Bung Karno 99.99% dipenuhi tentera merah putih sewaktu perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2010 tetapi berbeza di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kuasa yang aku maksudkan di sini bukan dari segi keganasan tetapi cuba kita lihat bagaimanakah mereka ini dapat mengalahkan kuasa FAM, PBSI, AFF, AFC, FIFA, Penganjur Kejohanan untuk mereka menidakkan serta menafikan penyertaan pemain ke-12 Harimau Malaya di Bung Karno dengan hanya bersatu hati dan semangat mereka digabungkan. Kita jangan ambil kita rusuhan yang berlaku 2-3 hari sebelum perlawanan, itu adalah kerana kebijaksanaan kepimpinan PBSI serta masalah dalaman mereka dengan kerajaan bolasepak mereka. Persoalannya, bagaimana FAM yang sepatutnya mempunyai kuasa yang lebih besar jika dilihat dari kedudukan mereka serta peranan mereka dalam bolasepak namun tewas pada kuasa pemain ke-12 ini sehinggakan mereka sendiri tidak mempunyai kuasa lagi untuk mendapatkan kawasan untuk pemain ke-12 kita bertapak di sana. Tapi lihat pula di Bukit Jalil, bagaimana FAM, AFC, penganjur akur dengan PBSI untuk memberikan sejumlah tempat duduk kepada Sang Garuda bertapak di sini dan FAM tidak mempunyai kuasa untuk menghantar bantahan kepada AFF, AFC mahupun FIFA kerana diperlakukan sedimikian serta FAM hanya merelakan pemain-pemain menaiki Barracuda ke medan tempur(yang pada pendapat aku, kita sepatutnya mempunyai hak untuk tidak naik ke kereta perisai itu dan membuat bantahan terus kepada AFC atau FIFA kerana diperlakukan sedemikian rupa). Namun atas alasan "kita dah menang" ianya dilupakan begitu sahaja. Cuba kita fikirkan bagaimana kuatnya kuasa pemain ke-12 mereka ini terhadap bolasepak mereka sehinggakan mereka yang sepatutnya mempunyai kuasa mutlak pun bisa tewas.

Jadi kita sebagai pemain ke-12 di Malaysia apakah peranan kita dalam memajukan bolasepak kita? Apakah sumbangan kita? Apakah kita bisa lihat mereka yang bijak pandai dengan kuasa mereka membuat keputusan yang terlalu bijak untuk kita sebagai orang normal menerimanya atas alasan kemajuan bolasepak Malaysia?

Aku ingin berkongsi di sini, bahawa janganlah ada diantara kita pemain ke-12 ini menyalahgunakan K.U.A.S.A. yang ada pada kita, yang telah diamanahkan oleh kita pada diri sendiri untuk kepentingan peribadi dan kepentingan golongan tertentu. Gunakanlah kuasa kita sejujur-jujurnya dan demi kemajuan bolasepak Malaysia. Kita ambil iktibar dari kejadian Perlawanan Akhir Piala AFF Suzuki di Jakarta tahun lalu dimana kuasa yang ada tidak digunakan dengan cara yang betul dan untuk perkara yang sepatutnya, jadi hasilnya?? Siapa yang rugi??

Ayuh bangkit semua pemain ke-12, tukar mentaliti dan pemikiran anda untuk musim 2011 serta tingkatkan kuasa kita semua dan insyaALLAH kita gabungkan semua kuasa pemain ke-12 ini untuk perkara yang bermanfaat dan benar dengan cara yang betul. Ingat yang kita pemain ke-12 mempunyai kuasa!!! Jangan kita hanya tahu mencaci sesama kita, berperang sesama kita, bergaduh sesama kita, gunakan keganasan sesama kita, apa faedahnya semua itu? Jangan kita diperbodohkan oleh kuasa-kuasa yang tidak jujur yang tidak suka melihat kuasa kita digabungkan kerana mereka khuatir bahawa kuasa kita akan menewaskan kuasa mereka kelak. Aku amat berharap semua pemain ke-12 jujur dan ikhlas dalam menggunakan kuasa yang ada pada mereka. Biarkan mereka dengan kuasa tidak jujur mereka, kita pemain ke-12 bertapak dan bergerak dengan kuasa yang jujur lagi ikhlas demi kemajuan bolasepak Malaysia walaupun warna bendera kita berlainan tapi jika kita mendongak lebih tinggi sebenarnya warna bendera kita tetap sama iaitu Merah, Putih, Biru, Kuning, bulan dan bintang 14 segi.

AYUH!!! GABUNGKAN KUASA KITA!!! INGAT...CACI MAKI, KEGANASAN BUKANLAH CARA UNTUK MENUNJUKKAN KUASA!! KEJUJURAN & KEIHKLASAN ADALAH KUASA YANG BISA MENEWASKAN SEGALA KUASA YANG TIDAK BENAR!!


"Lu putih gua merah..lu hitam..gua kuning..lu hijau..gua biru..APA ADA HAL!!! Kita semua sama sahaja..kita semua pemain ke-12 yang jujur lagi ikhlas!! :-)

Sekadar tulisan dan pendapat.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...