Assalamu'alaikum,
Hari ini hari Ahad dan semalam adalah hari Sabtu. Kenapa topik ini? Kerana sebenarnya dah lama terfikir cuma baru hari ini terasa ingin berkongsi kerana semalam ianya menjadi topik perbualan antara aku dan keluargaku. :-)
Seperti yang anda sedia maklum, di negeriku yang tercinta ini, pada setiap hari Sabtu adalah hari tanpa beg plastik, bermaksud di sini, "Kempen Hari Tanpa Beg Plastik" bukanlah satu hari di mana tiada beg plastik digunakan tetapi hanyalah satu hari di mana tiada beg plastik akan diberikan kepada pelanggan di pasaraya-pasaraya atau kedai-kedai yang terlibat apabila setiap pembelian dibuat. Jadi pada aku ianya tidak mencapai objektif "HARI TANPA BEG PLASTIK" itu.
Aku tengok negara kita ini terlampau banyak kempen, semua benda perlu ada kempen tapi semuanya tidak menyelesaikan apa-apa ataupun tidak memberikan kesan atau impak kepada rakyat negara ini sebenarnya. Kenapa aku kata begitu, kerana semua kempen ini tidak pergi betul-betul kepada akar sesuatu permasalahan itu, jadi mana mungkin ianya berkesan, teknik kempen di negara ini adalah dengan cara mencantas dan menebas sedikit-sedikit ranting-ranting atau pohon-pohon sahaja.
Mereka melaung-laungkan kempen merokok itu merbahaya, tapi masih berleluasa penjualan rokok. Mereka melaung-laungkan kempen keselamatan jalanraya, namun masih tidak selamat jalanraya kita. Mereka melaung-laungkan kempen Cintailah Bahasa Kita, Cintailah Sungai Kita, Cintailah Negara Kita dan sebagainya namun masih tiada yang cinta.
Pada aku ini semua hanyalah untuk wang ringgit. Maksud aku di sini, mereka berkempen tetapi demi wang ringgit atau dalam konteks orang bijak pandai, demi ekonomi dan untuk menjana ekonomi negara, mereka sanggup untuk tidak mengikut dan membelakangkan sesuatu kempen. Contoh; Kempen "TAK NAK", aku rasa orang yang membuat atau memasang banner atau billboard itu sendiri masih merokok, penjualan rokok masih berleluasa. Kempen "Cintailah Bahasa Kita", kerajaan menyuruh rakyat menyintai bahasa sendiri namun mereka sebagai orang yang bertanggungjawab memperkenalkan kempen tersebut tidak pula bergerak seiringan dengan kempen tersebut. Contoh; anda lihat papan tanda di lebuhraya, mereka menggunakan "EXIT A201" dan sebagainya, mengapa tidak gunakan susur keluar. Mereka menggunakan "Presint" 1,2,3 dan seterusnya di Putrajaya untuk membezakan sesuatu kawasan, mengapa tidak gunakan "Kawasan" 1 atau 2 atau 3? Anda ke KLIA, pasti anda biasa melihat perkataan "Bon Voyage" bukannya "Selamat Jalan" ataupun "Welcome To Malaysia" bukannya "Selamat Datang Ke Malaysia" dan banyak lagi contoh-contoh sebenarnya, terlalu banyak untuk disenaraikan di sini.
Berbalik kepada topik, Kempen Hari Tanpa Beg Plastik, mereka kata Hari Tanpa Beg Plastik, sepatutnya bermaksud pada hari tersebut tiada satu beg plastik pun digunakan namun tidak, seperti juga kempen-kempen yang lain, tidak mencapai objektifnya. Contoh; anda ke pasaraya untuk membeli-belah, dan anda boleh membayar sebanyak RM0.20 untuk satu beg plastik jika anda mahu menggunakannya, membawa maksud di sini, jika anda mempunyai wang, anda boleh mencemarkan alam sekitar. Bermaksud selama ini yang mencemarkan alam sekitar sebenarnya adalah wang ringgit, bukan beg plastik itu. Kalau betul hendak menjaga alam sekitar atau menghijaukan bumi, sepatutnya haramkan sahaja penggunaan beg plastik, pasti pengguna akan membawa beg sendiri untuk membeli-belah, barulah objektif akan tercapai. Mungkin ianya terlalu drastik namun kadangkala untuk sesuatu kebaikan, tindakan drastik itu perlu.
Dari setiap pembelian beg plastik itu, sejumlah RM274,000(sumber dari The Star Jumaat, 18hb Mac 2011) telah dikutip dan akan disalurkan untuk aktiviti-aktiviti menghijaukan bumi. Bukan aku nak membangkang usaha murni mereka ini, namun aku tidak faham, mengapa memerlukan duit untuk menghijaukan bumi dan menjaga alam sekitar sedangkan selama ini duitlah yang menjahanamkan alam sekitar. Bagaimana nak menjaga alam sekitar jika kempen itu sendiri mengajar rakyat, jika anda punya wang anda boleh mencemarkan alam sekitar(beg plastik mencemar alam sekitar, jadi anda punyai RM0.20, anda dipersilakan mencemarkan alam).
Pendapat aku, kempen-kempen di Malaysia ini hanyalah sekadar untuk menghabiskan wang peruntukan, sebagai satu cara untuk segelintir mereka menunjukkan keupayaan dalam mentadbir namun kempen-kempen ini semua sebenarnya disasarkan bukanlah untuk mencapai objektifnya. Semua ini demi wang ringgit sahaja, mengapa? Kalau diberhentikan penjualan rokok, maka pendapatan negara akan berkurangan, jadi tidak boleh. Mengapa tidak diharamkan sahaja penggunaan beg plastik, dan gantikan dengan pengunaan medium-medium lain? Ini semua hanyalah satu kitaran ekonomi di mana semua ingin mengaut keuntungan di atas sesuatu bukanlah untuk tujuan murni itu semata-mata. Oleh sebab itu ianya tidak berjaya kerana usaha itu murni namun niat itu. :-)
Demi wang ringgit, demi kekayaan apa sahaja boleh. Jika anda kaya, anda mempunyai wang, anda boleh mencemarkan alam yang indah ini. Itulah apa yang aku dapat faham dari "Kempen Hari Tanpa Beg Plastik".
Sekadar tulisan dan pendapat.
No comments:
Post a Comment