Saturday, January 29, 2011

Kuasa

Assalamu'alaikum,

K.U.A.S.A, satu perkataan yang mempunyai impak dah kesan terhadap kehidupan sesetengah individu ataupun kita boleh kata setiap individu di muka bumi ini. Mungkin ada yang mengaitkannya dengan pangkat dan kedudukan yang dimiliki oleh seseorang, ada juga yang mengaitkannya dengan ilmu-ilmu samaada yang baik ataupun tidak, mungkin juga ada kaitan dengan keupayaan sesuatu perkara atau objek. Bagi aku, setiap makhluk yang bernyawa di muka bumi ini mempunyai kuasa yang mana mungkin sesetengah dari mereka ini tidak sedar akan kehadiran akan kuasa yang ada pada mereka.

Namun apa yang aku nak kongsi dengan anda semua bersempena dengan mulanya musim Liga Malaysia untuk tahun 2011 ini adalah mengenai kuasa yang ada pada setiap individu yang bergelar pemain ke-12. Mungkin kita tidak sedar yang kita ini sebenarnya mempunyai kuasa, walaupun kita tidak memegang sebarang jawatan dalam mana-mana persatuan bolasepak negeri atau kelab mahupun FAM. Walaupun kita ini tidak menyertai atau menganggotai mana-mana pertubuhan penyokong berdaftar ataupun yang tidak berdaftar namun hakikatnya semua pemain ke-12 ini mempunyai kuasa.

Sebelum datangnya hari ini, kita dapat lihat, dengar dan baca mengenai mereka-mereka yang mempunyai kuasa membuat keputusan-keputusan yang bijak demi memajukan bolasepak Malaysia. Antara semua keputusan yang bijak, yang paling menarik perhatian aku adalah penggantungan B.Sathianathan kerana mengkritik FAM. Bagi aku keputusan ini adalah yang paling bijak sekali, kerana jika kita nilai kritikan Sathia terhadap FAM, ianya tidak akan membawa kemajuan dalam bolasepak Malaysia malah akan menjatuhkan lagi kredibiliti liga tempatan terutamannya kredibiliti FAM sebagai penaung dan pemimpin bolasepak Malaysia makanya sememangnya mereka yang bijak pandai ini telah membuat satu keputusan yang tepat. Bagaimana mereka boleh membuat keputusan yang bijak dan tepat seumpama itu demi menjaga kepentingan bolasepak dan memajukannya?? K.U.A.S.A. itulah jawapannya, kerana mereka mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.


Jadi, kita sebagai pemain ke-12, apakah sumbangan kita dalam memajukan bolasepak Malaysia? Kita mungkin tidak mempunyai kuasa seperti FAM ataupun mereka-mereka yang bijak pandai dalam persatuan negeri mahupun kelab, namun itu tidak bermakna kita tidak mempunyai kuasa langsung. Sebenarnya kuasa yang ada pada kita bisa menggegarkan bolasepak Malaysia dan juga menggegarkan mereka-mereka yang bijak pandai dalam menguruskan dan mengendalikan bolasepak Malaysia. Apa yang penting adalah kita harus berpegang dan memahami maksud pepatah ini "Bersatu Kita Teguh...Bercerai Kita Roboh". Mungkin anda sudah biasa dengar akan peribahasa melayu itu dan cerita mengenainya yang apabila kita mempunyai sebatang dua lidi, memang mudah untuk dipatahkan namun jika kita cuba mematahkan segenggam lidi, ianya tidak bisa dipatahkan.


Apa yang ingin aku katakan di sini, ialah jika digabungkan kuasa setiap individu pemain ke-12 ini pasti akan bergegar dunia bolasepak. Kita ibarat rakyat dalam kerajaan bolasepak pimpinan FAM yang bijak lagi tersohor. Jesteru sebagai rakyat terhadap kerajaan bolasepak, sudah semestinya kita mempunyai kuasa terhadap kerajaan itu sendiri walaupun kerajaan itu tidak dipilih oleh rakyat bolasepak menerusi pilihanraya. Fikirkanlah.

Aku suka nak mengambil contoh mengenai pemain ke-12 Indonesia(kita tidak perlu melihat jauh, lihat sahaja jiran kita di sebelah), mereka mungkin kita anggap sebagai tidak bertamadun, berfikiran rendah dan kuno atau sebagainya tetapi walaupun kita kata mereka tidak bertamadun dan kuno, mereka telah menggunakan dan menggabungkan kuasa setiap pemain ke-12 mereka untuk bolasepak mereka. Lihat sahaja bagaimana kuasa mereka bisa menakutkan kita sehingga Stadium Gelora Bung Karno 99.99% dipenuhi tentera merah putih sewaktu perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2010 tetapi berbeza di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kuasa yang aku maksudkan di sini bukan dari segi keganasan tetapi cuba kita lihat bagaimanakah mereka ini dapat mengalahkan kuasa FAM, PBSI, AFF, AFC, FIFA, Penganjur Kejohanan untuk mereka menidakkan serta menafikan penyertaan pemain ke-12 Harimau Malaya di Bung Karno dengan hanya bersatu hati dan semangat mereka digabungkan. Kita jangan ambil kita rusuhan yang berlaku 2-3 hari sebelum perlawanan, itu adalah kerana kebijaksanaan kepimpinan PBSI serta masalah dalaman mereka dengan kerajaan bolasepak mereka. Persoalannya, bagaimana FAM yang sepatutnya mempunyai kuasa yang lebih besar jika dilihat dari kedudukan mereka serta peranan mereka dalam bolasepak namun tewas pada kuasa pemain ke-12 ini sehinggakan mereka sendiri tidak mempunyai kuasa lagi untuk mendapatkan kawasan untuk pemain ke-12 kita bertapak di sana. Tapi lihat pula di Bukit Jalil, bagaimana FAM, AFC, penganjur akur dengan PBSI untuk memberikan sejumlah tempat duduk kepada Sang Garuda bertapak di sini dan FAM tidak mempunyai kuasa untuk menghantar bantahan kepada AFF, AFC mahupun FIFA kerana diperlakukan sedimikian serta FAM hanya merelakan pemain-pemain menaiki Barracuda ke medan tempur(yang pada pendapat aku, kita sepatutnya mempunyai hak untuk tidak naik ke kereta perisai itu dan membuat bantahan terus kepada AFC atau FIFA kerana diperlakukan sedemikian rupa). Namun atas alasan "kita dah menang" ianya dilupakan begitu sahaja. Cuba kita fikirkan bagaimana kuatnya kuasa pemain ke-12 mereka ini terhadap bolasepak mereka sehinggakan mereka yang sepatutnya mempunyai kuasa mutlak pun bisa tewas.

Jadi kita sebagai pemain ke-12 di Malaysia apakah peranan kita dalam memajukan bolasepak kita? Apakah sumbangan kita? Apakah kita bisa lihat mereka yang bijak pandai dengan kuasa mereka membuat keputusan yang terlalu bijak untuk kita sebagai orang normal menerimanya atas alasan kemajuan bolasepak Malaysia?

Aku ingin berkongsi di sini, bahawa janganlah ada diantara kita pemain ke-12 ini menyalahgunakan K.U.A.S.A. yang ada pada kita, yang telah diamanahkan oleh kita pada diri sendiri untuk kepentingan peribadi dan kepentingan golongan tertentu. Gunakanlah kuasa kita sejujur-jujurnya dan demi kemajuan bolasepak Malaysia. Kita ambil iktibar dari kejadian Perlawanan Akhir Piala AFF Suzuki di Jakarta tahun lalu dimana kuasa yang ada tidak digunakan dengan cara yang betul dan untuk perkara yang sepatutnya, jadi hasilnya?? Siapa yang rugi??

Ayuh bangkit semua pemain ke-12, tukar mentaliti dan pemikiran anda untuk musim 2011 serta tingkatkan kuasa kita semua dan insyaALLAH kita gabungkan semua kuasa pemain ke-12 ini untuk perkara yang bermanfaat dan benar dengan cara yang betul. Ingat yang kita pemain ke-12 mempunyai kuasa!!! Jangan kita hanya tahu mencaci sesama kita, berperang sesama kita, bergaduh sesama kita, gunakan keganasan sesama kita, apa faedahnya semua itu? Jangan kita diperbodohkan oleh kuasa-kuasa yang tidak jujur yang tidak suka melihat kuasa kita digabungkan kerana mereka khuatir bahawa kuasa kita akan menewaskan kuasa mereka kelak. Aku amat berharap semua pemain ke-12 jujur dan ikhlas dalam menggunakan kuasa yang ada pada mereka. Biarkan mereka dengan kuasa tidak jujur mereka, kita pemain ke-12 bertapak dan bergerak dengan kuasa yang jujur lagi ikhlas demi kemajuan bolasepak Malaysia walaupun warna bendera kita berlainan tapi jika kita mendongak lebih tinggi sebenarnya warna bendera kita tetap sama iaitu Merah, Putih, Biru, Kuning, bulan dan bintang 14 segi.

AYUH!!! GABUNGKAN KUASA KITA!!! INGAT...CACI MAKI, KEGANASAN BUKANLAH CARA UNTUK MENUNJUKKAN KUASA!! KEJUJURAN & KEIHKLASAN ADALAH KUASA YANG BISA MENEWASKAN SEGALA KUASA YANG TIDAK BENAR!!


"Lu putih gua merah..lu hitam..gua kuning..lu hijau..gua biru..APA ADA HAL!!! Kita semua sama sahaja..kita semua pemain ke-12 yang jujur lagi ikhlas!! :-)

Sekadar tulisan dan pendapat.

Monday, January 24, 2011

Apa Ada Hal...

Assalamu'alaikum,

Tiba-tiba terasa nak kongsi akan hal ini. Ianya mengenai bolasepak, tetapi bukan mengenai jurulatih, taktikal, FAM, FIFA, BPL, LA LIGA, SERIE A, Piala AFF Suzuki, Gelora Bung Karno tetapi aku nak kongsi mengenai pemain, pemain ke-12.

Seperti anda sedia maklum pemain ke-12 ini adalah penyokong untuk setiap pasukan yang sedang bertarung. Seperti 11 pemain yang sedang bertarung itu, mereka mempamerkan skil, teknik permainan, larian dan taktikal di atas padang, pemain ke-12 ini juga turut serta mempamerkan skil, teknik sokongan, sorakan, teriakan dan taktikal dari luar padang.

Mengapa aku kata pemain ke-12 ini juga ada skil, ada teknik, ada taktikal? Kerana sememangnya untuk memberikan sokongan terhadap pasukan kesayangan masing-masing perlu ada perkara-perkara di atas namun seperti pemain juga, ada yang mempunyai gaya permainan begini, ada yang gayanya begitu. Pemain ke-12 ini juga tiada bezanya, ada yang corak sokongannya begini, ada yang coraknya begitu.

Senario pemain ke-12 di Malaysia ini tidaklah begitu hebat dan besar bagi kita kerana BUDAYA MENYOKONG (ambil kata-kata dari Hafizal Hamad) kita tidak sekukuh tiang konkrit Menara Berkembar KLCC lagi. Namun tidak dinafikan kita ada berbagai-bagai kumpulan dari pelbagai lapisan masyarakat dimana mereka ini bergabung idea, tenaga dan semangat demi pasukan tercinta mereka.

Aku nak berkongsi mengenai pemain ke-12 bolasepak Malaysia bukan pemain ke-12 Malaysia yang diimport tanpa gaji ke BPL, La Liga, Serie A dan sebagainya.

Seperti yang aku katakan di atas tadi, mengenai wujudnya berbagai-bagai kumpulan ini yang menggelar diri mereka dengan bermacam bentuk gelaran namun objektif mereka tetap sama walaupun nama mereka, skil mereka, teknik dan taktikal mereka berlainan.

Nama seperti Terengganu Fans Club, Ganusoccer.net, Ultras Tranung, Selangor FC(SFC), Selangor Supporters Fans Club(SSFC), Selangor Footbal Fans(SFF), UltraSel, Hijaukuning.com(HKC), Ultras Kedah, Kelate.net, The Red Warriors, The Red Mania, Ultras Taming Sari, Silver State Ultras, N9Futbol.com, Ultras No9ori, Sabahrhinos, Kelab Penyokong Singa Utara, Jengking Fan Club, Johorfc.com, Southern Troops Ultras dan banyak lagi kumpulan ataupun kelab penyokong yang mungkin aku tak tahu(yang aku tulis ini adalah dari sumber "google" & mana yang aku dengar akan kewujudannya) adalah mereka-mereka yang setia bersama pasukan masing-masing.

Apa yang aku nak katakan di sini bahawa ANDA SEMUA HEBAT!! Aku tabik dengan sehormat-hormatnya kepada anda semua kerana semangat yang ada pada hati dan jiwa anda untuk menyokong tanpa berbelah bahagi terhadap ORANG KITA. 

Inilah yang aku nak kongsi, baik anda Kelab Penyokong, E-penyokong(penyokong siber), Ultras atau sekadar untuk menonton dan menyokong sedikit, kita semua tetap sama dengan satu objektif, iaitu menyokong bolasepak Malaysia, menyokong orang kita dan menyokong serta sayang pada pasukan kita. Tidak kira anda dari mana, kerja apa, geng siapa sekalipun, objektif kita adalah untuk sama-sama menjadi pemain ke-12 untuk pasukan kita.

Jadi persoalannya mengapa perlu ada perasaan iri hati, caci mencaci sesama kita, bertengkar sesama sendiri, rasa tidak puas hati dengan cara sokongan orang ini dan cara sokongan orang itu. Macam yang aku katakan tadi, kita ada variasi pemain ke-12 dengan skil, teknik, taktikal sokongan yang berbeza, jadi mengapa ada perasaan dan perkara negatif seperti yang aku sebutkan di atas.

Kita ada Kelab Penyokong dengan sokongan gaya "ol skool" bersama paluan gendang dan sorakan, kita ada kelab e-penyokong yang majoritinya memberikan sokongan hebat di alam siber dan kita ada ULTRAS yang gaya sokongannya lebih agresif iaini sorakan, teriakan diberikan tanpa henti selama 90 minit diselitkan dengan acara nyalaan "flare" dan sebagainya, kita juga ada golongan yang sekadar datang menonton sambil makan kuaci tetapi turut memberikan sokongan sekadar seminima yang mungkin.

Jadi perlukah kita berasa iri hati atau tidak puas hati dengan satu sama lain hanya kerana skil, teknik dan taktik sokongan yang dibawa berlainan dengan kita? Perlukah ada caci maki antara satu sama lain hanya kerana gaya dan corak sokongan mereka berbeza dengan kita? Tidak bolehkan kita biarkan mereka yang datang dengan teknik "ol skool" dengan taktik sokongan mereka? Tidak bolehkan kita biarkan e-penyokong dengan skil menyokong mereka di alam siber? dan tidak bolehkah kita membiarkan ULTRAS dengan revolusi gaya dan corak sokongan mereka? Apa pun gaya dan corak sokongan anda bukankah objektif kita semua adalah sama iaitu ingin melihat pasukan kita berjaya dan kemajuan bolasepak tempatan?

Jadi kepada semua pemain-pemain ke-12 dari setiap negeri dan kelab yang akan memulakan musim 2011 pada Sabtu ini 25 Safar 1432(29hb Januari 2011) diharap anda dapat mengubah pemikiran dan minda anda terhadap satu sama lain. Tiada gunanya bertelagah sesama kita kerana jika semangat yang ada pada setiap pemain ke-12  itu jika digabungkan akan bisa menjadi satu kuasa besar dalam bolasepak Malaysia. Jadi tidak kira anda dari mana Kelantan, Kedah, Selangor, Terengganu, Perlis, Perak, Melaka, Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Felda United, MP Muar, Sime Darby, Selangor PKNS atau mana sahaja, gunakan kuasa dan semangat anda untuk kemajuan bolasepak tempatan bukannya untuk kejayaan dan kepentingan peribadi atau sesetengah individu.


Pentingnya kita sebagai pemain ke-12 ini adalah kerana, kitalah yang akan mencorakkan suasana dan ke mana arah liga dan pasukan kita akan berada kelak. Jadi jangan kita sia-siakan tanggungjawab yang kita telah amanahkan kepada diri kita sendiri. 

Untuk aku, aku adalah seorang penggemar bolasepak, penonton bolasepak dan dalam pada itu penyokong pasukan Selangor dan Malaysia. Walaupun aku tidak tergolong dalam mana-mana persatuan atau kelab penyokong, ataupun kelab e-penyokong, ataupun Ultras namun apa ada hal?? Semangat aku akan sentiasa ada bersama anda semua kerana bagi aku yang penting hanya satu, pasukan kita berjaya dan bolasepak Malaysia maju. Aku bukanlah seorang yang mampu untuk bersorak selama 90 minit, tiada skil untuk memukul gendang tetapi apa ada hal?? Aku dan rakan-rakan aku tetap akan hadir ke stadium(InsyaALLAH) untuk bersama-sama dengan anda-anda semua dalam memberikan sokongan. Aku tidak pernah berasa iri hati, caci mencaci akan penyokong-penyokong lain kecuali mereka telah melakukan sesuatu yang patut untuk aku memberontakkan akan isu itu ;-). APA ADA HAL KAN?????? teruskan sokongan anda!!

Sekadar tulisan dan pendapat.


SELAMAT MENYOKONG KEPADA SEMUA!!!

"YANG BERJUANG BUKAN ORANG LAIN...TAPI ORANG KITA"

Sunday, January 23, 2011

Ada Apa Dengan Cinta? -Bahagian 2-

Assalamu'alaikum,

Tiada niat untuk menyambung topik dari "posting" yang lalu, namun tiba-tiba terfikir "Hurmm..ada apa dengan cinta?"

Bagi aku CINTA adalah satu perasaan kasih dan sayang seseorang pada sesuatu, dimana sesuatu yang dimaksudkan itu adalah terdiri dari perkara-perkara atau objek-objek yang boleh dilihat dan dinilai dari mata kasar ataupun yang tidak boleh dilihat dan dinilai oleh mata kasar. Cinta sangat luas pengertiannya, membawa pengertian yang berbeza bagi setiap makhluk yang hidup di muka bumi ini. 

Cinta adalah perasaan yang bila ditanya "Kenapa awak sayang saya?" dan tiada jawapan aku boleh beri kenapa aku sayang kat seseorang.

Cinta yang menjadi persoalan di benak fikiran aku adalah dari kategori "Cinta kaum Adam pada kaum Hawa". Jadi persoalannya ialah "Apakah itu cinta dan apakah dasar dan panduan rasa cinta itu???

Adakah CINTA itu ....

... harus begini??
... perlu begini??
...mesti begini??
... rupanya begini?
... begini caranya?

... sebegini??
Adakah cinta itu perlu ada perkara-perkara yang aku lampirkan di atas?? Jika YA, maka persoalan yang timbul pula ialah, "Apakah dasar dan panduan cinta itu sekiranya semua perkara di atas perlu ada dalam sesebuah epik percintaan?"

Adakah dasar dan panduan cinta itu pada...

... ini??
... buku ini??

... ini??
Dalam keadaan dunia serba canggih dan moden ini, bermacam-macam kisah epik percintaan yang kita dapat lihat, dengar dan lalui.

Aku sering tertanya-tanya, apakah dasar dan panduan CINTA aku kepada seseorang? Argghhh!!! Beratnya perkara ini, semoga aku ditemukan dengan cinta yang benar dan sejati lagi indah. :-)

Sekadar tulisan dan pendapat.
Nantikan sambungannya jika ada..hehehe..

SELAMAT BERCINTA KEPADA SEMUA!!!

Tuesday, January 18, 2011

Ada Apa Dengan Cinta?

Assalamu'alaikum,

Aku bangun hari ini lalu terfikir Ada Apa Dengan Cinta? Aku teringat kembali kepada filem hasil kerja sama Rudy Soedjarwo, Riri Riza dan Mira Lesmana. Sebuah filem yang diperkenalkan kepadaku oleh seorang rakan dari Sabah, Encik Shahrizal Bin Osman. Dia SMS aku "Fad..kau cari VCD filem Ada Apa Dengan Cinta". Lalu aku pun mencari dan aku terjumpa akan VCD itu di Kedai Speedy Video, Giant Seksyen 13 Shah Alam. Aku membeli VCD itu dengan harga RM19.90.


Pada waktu aku membeli VCD itu, cerita ini tidak lagi menjadi HIT di Malaysia, ianya mula menjadi bualan dan tontonan rakyat Malaysia hanya selepas setahun aku memiliki VCD itu dan VCD yang aku miliki itu adalah "uncensored version" kerana selepas filem ini menjadi POPULAR maka pihak berwajib telah mengarahkan supaya di potong bahagian akhir di mana ada adegan cium antara dua watak utama iaitu Rangga & Cinta di Soekarno Hatta :-).


Aku telah menonton kisah Ada Apa Dengan Cinta? sebanyak lebih dari 10 kali dan tidak terkira berapa kali aku berulang kali menontonnya. Pernah ada satu ketika aku menonton filem ini setiap hari sehingga aku dapat menghafal dan memahami dialognya kerana pada waktu itu VCD aku tidak mempunya sarikata (sarikata hanya ada pada VCD yang diterbitkan setelah ianya popular).


Namun itu semua DULUUUUUU... :-) sekarang VCD itu sudah hilang dari simpanan aku. Bagaimana ianya hilang aku tidak tahu, aku terlupa siapa yang meminjam VCD itu kali terakhir, maka ianya telah lesap dan aku agak terkilan kerana VCD yang aku miliki itu adalah versi yang pertama sekali dijual di Malaysia (tanpa di potong dan tiada sarikata).

Jika VCD itu masih ada pasti aku akan menontonnya lagi. Aku tidak mempunyai sebab dan alasan mengapa aku menyukai filem ini namun ianya dapat menarik perhatian aku yang berumur 21 tahun ketika itu, mungkin juga pelakon wanita utama dalam filem itu juga Dian Sastrowardoyo yang menjadi penarik, entahlah.


Harapan aku sewaktu menulis "posting" ini adalah semoga dikembalikan VCD Ada Apa Dengan Cinta? aku kembali kepada aku. Harap-harap siapa yang meminjam itu ingat kerana aku telah lupa siapa yang meminjam. :-)





Friday, January 14, 2011

Laksa Jelapang Padi & Karipap Pusing "Mantop"

Assalamu'alaikum,

Hari ini aku dijemput ke satu kenduri doa selamat sempena pembukaan kedai makan seorang rakan dari utara tanahair. Aku ke sana selepas Maghrib tadi dan mengambil masa hampir satu jam untuk sampai ke Restoran Laksa Jelapang Padi yang terletak di 1138-3 Jalan Kedai Makan Besar, Kg Bahagia Bangi Lama, Bangi, Selangor Darul Ehsan.

Apa yang aku ingin kongsi di sini ialah tentang kelazatan dan kesedapan laksa utara di kedai ini. TUUUU DIAAAA!!! Memang Sempoi. Pertama kali aku makan laksa dengan sekoq ikan duk kat dalam mangkuk aku. TUUUU DIAAAA!!! Memang Sempoi. Kalau hangpa tak caya hangpa tengok lah gambaq kat bawah ni naa;

Ikan sekoq TUUU DIAAA!!

Hah!! Sekarang hangpa percaya dah?? Selain dari laksa, karipap pusing dia pun "mantop" gak. Restoran yang serba "sempoi" ini dimiliki oleh seorang jejaka berasal dari negeri jelapang padi yang berhijrah ke Bangi dan kini menjadi seorang usahawan yang berjaya. Tahniah "tauke"..!! Saya amat kagum dengan semangat yang ada pada anda, mungkin anda tiada pangkat dalam komuniti, mungkin anda tiada wang berguni, rumah berpintu-pintu, kereta bersusun namun anda punya hati & jiwa yang sangat kental dan besar serta lebih tinggi nilainya dari semua kemewahan di dunia ini. :-) sekali lagi "AKU KAGUM DENGAN KAU".

Kepada anda yang hendak ke sini, sila ambil Jalan Bangi Lama menghala ke Pekan Bangi dan selepas melepasi Agensi Nuklear Malaysia (MOSTI) di sebelah kiri jalan, anda perlahankan kenderaan dan perhatikan di sebelah kanan anda setelah anda memasuki kawan Kg Bahagia, cari satu kedai makan yang "sempoi" dengan kain rentang "Laksa Jelapang Pada" tergantung. Itulah kedai yang aku maksudkan dalam cerita ini.

Inilah kain rentang Laksa Jelapang Padi
Semoga makin dipermudahkan rezeki Encik Wahazir Wahabi..Amin. :-)

Thursday, January 13, 2011

Perbelanjaan

Assalamu'alaikum,

Kali ini aku ingin berkongsi mengenai kos perbelanjaan aku sewaktu aku ke Jakarta. Saja aku nak kongsi supaya senang untuk mereka nak ke sana nanti untuk perlawanan-perlawanan akan datang. Boleh sedia kumpul duit siap-siap terutama untuk Sukan SEA 2011 November nanti. Aku berkongsi ini bukan untuk berlagak atau menunjuk-nunjuk jauh sekali untuk menyinggung perasaan orang.

KOS PERBELANJAAN

Kos Penerbangan termasuk insurans(pergi-balik)      RM480.00     -AIR ASIA-
 
Kos Penginapan(hostel sahaja) untuk 2 orang/malam   RM 50.00

Kos Pengangkutan(Teksi, Bas, Ojek, Bemo, Angkutan
Kota dsbnya)                                        RM150.00

Makan dan minum                                     RM 50.00

Duit kecemasan                                      RM100.00


JUMLAH KESELURUHAN                                  RM830.00

Bajet di atas adalah kiraan untuk 2 hari 1 Malam di Jakarta kerana pengiraan diambil dari ketibaan aku pada 29hb Disember 2010 & 30hb Disember 2010 setelah selesai perlawanan. Perlu diingat juga kos tiket penerbangan bergantung pada harga naik turun dari Air Asia. Harga yang aku bayar adalah tempahan saat akhir. Pembelian dibuat secara online 11 jam sebelum waktu berlepas.

Namun aku di Indonesia selama 4 hari 3 Malam tetapi aku tidak memasukkan kos selama aku di sana kerana ianya tidak berkaitan dengan objektif aku ke sana untuk menonton perlawanan akhir. Pengiraan di atas adalah sangat minimum di mana ia merangkumi keperluan asas untuk ke sana sahaja, tidak termasuk perkara-perkara dan keperluan-keperluan peribadi mengikut individu seperti mahu berjimba-jimba, hotel ada kolam renang + sarapan, bilik tidur dilengkapi WiFi dan lain-lain keperluan-keperluan lain yang mungkin anda memilikinya di Malaysia tetapi di Jakarta anda perlu membayar untuk perkhidmatan atau keperluan itu. Pengiraan sangat asas dimana Terbang-Tiba-Bilik-Makan-BOLA-Makan-Bilik-Makan-Terbang.
 
Ayuh kita mula kumpul duit untuk Sukan SEA 2011, semoga Harimau Malaya akan menggegarkan sangkar garuda sekali lagi.



Wednesday, January 12, 2011

...Dating...

Assalamu'alaikum,

Aku nak tinggalkan cerita mengenai bolasepak buat seketika. Kali ini aku nak kongsi pasal I-City Shah Alam, Selangor. Pada 25hb Disember 2010 aku telah ke I-City "berdating" bersama dengan ibu, nenek, keluarga mak saudara dan bapa saudara aku. Mereka ingin melihat I-City jadi ibunda ku meminta aku membawa mereka ke sana, lalu aku pun bersetuju kerana aku sendiri pun tidak pernah ke sana walaupun lokasinya terletak dalam lebih kurang 20 minit perjalanan dengan kenderaan beroda yang dipandu sendiri dari perkarangan rumah aku.

Ini ada sedikit panduan untuk anda semua yang ingin ke sana(mana tahu nanti ada orang "google search" cara-cara nak ke I-City Shah Alam), nah sedikit sebanyak aku dapat membantu mereka bukan. I-City terletak di Seksyen 7 Shah Alam, jadi dari lebuhraya persekutuan(dari Kuala Lumpur) anda cari papan tanda Padang Jawa kemudian keluar di susur keluar itu dan anda akan bertemu dengan lampu isyarat, seterusnya belok ke kanan dan *terus sehingga jumpa simpang kiri pertama selepas stesen minyak ESSO(sebelah kiri anda) kemudian anda hanya perlu terus dan terus sehingga jumpa papan tanda I-City. Jika anda dari arah Klang menggunakan lebuhraya persekutuan, begitu juga selepas Plaza Tol Sungai Rasah(RM1.00) susur keluar pertama anda ke kiri dan ikut panduan* seperti di atas. Tiba di sana anda perlu menyediakan RM10 untuk dibuat wang hantaran sebelum anda dapat memasuki ke kawasan I-City. Bayaran sebanyak RM10 dikenakan ke atas setiap kereta, kalau motorsikal saya kurang pasti.

Pada pandangan aku, kemudahan yang disediakan di situ tidak begitu sesuai untuk pengunjung yang sudah berumur seperti nenek aku dan budak kecil seperti sepupu aku dan anak saudara aku. Kawasan tempat letak keretanya hanya beralaskan batu-batu kecil yang boleh membahayakan keselamatan pengunjung dan kenderaan pengunjung. Sewaktu aku berjalan, satu batu terpelanting dan hampir mengenai kereta di sebelahnya gara-gara, pemandu itu menekan pedal minyaknya bagi membolehkan keretanya naik melewati satu bonggolan tinggi di situ. Untuk berjalan kaki dari tempat letak kereta ke kawasan lampu limpah amat tidak selesa jika orang yang sudah berumur untuk berjalan dan juga budak kecil. Jadi aku turunkan yang lain di pintu masuk ke kawasan lampu limpah dan aku pergi mencari tempat untuk meletakkan kereta.

Masuk ke kawasan lampu limpah aku terus membidik foto dengan senjata Canon 550D aku kerana itu adalah salah satu sebab mengapa aku ingin ke sini, saja-saja nak cuba menembak ;-). Kami merayau hampir 2 jam di situ dan setelah nenek aku mengatakan yang kakinya sudah letih maka kami sekeluarga mengambil keputusan untuk pulang.


I-City bagi aku bukanlah suatu tempat yang mesti dilawati, namun bagi mereka yang gemar akan fotografi, seni cahaya ianya adalah tempat yang mesti anda lawati. Lokasi ini sesuai bagi mereka yang mempunyai anak kecil untuk dibawa bersantai pada hujung minggu, kerana anak-anak kecil mungkin tertarik pada lampu limpah yang dipaparkan disegenap pelusuk kawasan jajahan I-City itu. Jadi aku nak kongsi sedikit gambar yang aku ambil sewaktu di sana. Gambar-gambar ini adalah gambar yang asli tanpa "editing" dan manipulasi. Harap kalau ada ada "otai-otai" yang terbaca boleh beri komen dan tunjuk ajar sedikit. ;-)


Jalan sesak selepas jam 8:00pm






Sahara Binti Abdul Rahman(nenek gua yang gua panggil mak)

Azra(sepupu) & Khaisya (anak saudara)


Bapa saudara aku & isteri

Dari Kiri; Ayah Man, Kak Za, Azra, Mummy, Mak, Khaisya, Amoi & Ibu
Aku akan kembali ke sini untuk menembak lagi ;-)


Sekadar tulisan dan pendapat.

Thursday, January 06, 2011

...Tahanan Yang Aman...

Assalamu'alaikum,

Tatkala aku mempunyai masa hari ini kerana cuti berniaga, aku mempunyai urusan yang harus aku selesaikan di MBSA berkenaan permit pasar malam.

Jalur merah putih, bulan dan bintang 14 segi serta warna biru kemegahan kita berkibar di Gelora Bung Karno sehingga semua mata tertumpu padanya termasuk pengawal-pengawal keselamatan dan juga anggota polis yang bertugas. Agak gawat ketika itu penyokong-penyokong Indonesia kerana tidak dijangkakan akan ada bendera Malaysia dikibarkan di gelanggang keramat mereka, begitu juga pihak keselamatan yang bertugas, mereka seolah-olah tergamam dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Bagi tentera merah putih pula, hanya caci maki dan balingan objek ditujukan kepada aku.

Seterusnya, ada seseorang yang berteriak dan menyuruh pengawal yang bertugas menarik aku, dan kelam kelibut mereka semua menarik aku membawa aku pergi dari tempat aku berdiri. Bendera masih teguh di genggaman namun aku tidak dibenarkan mengibarkannya atas alasan keselamatan. Aku berkata kepada mereka "Aku hanya mahu celebrate dengan team aku" dalam loghat Bahasa Indonesia. "Kata kami dijaga" teriak aku lagi. "Aku mahu bersama pasukan aku" tambah aku lagi. Namun tanpa diendahkan aku terus ditarik ke bawah laluan bilik persalinan dan ketika di situ datang pengurus pasukan Indonesia Andi Darussalam marah-marah kepada aku "Kami sudah aman di sini, ngapain kamu bikin provokasi terhadap kami? Rupanya bukan penyokong Indonesia yang merusuh, penyokong Malaysia yang merusuh". Aku menjawab "Saya tidak merusuh, saya cuma mahu celebrate kemenangan pasukan saya". Lalu dia mengangkat tangan seolah mahu melempang aku namun dileraikan anggota keselamatan yang dekat 20 orang semuanya mengawal aku. Bendera Malaysia masih di tangan ketika mereka memegang aku dengan kawalan ketat seolah-olah aku menimbulkan kekacauan.

Seorang pegawai keselamatan yang aku kenal dengan panggilan Glenn datang dan menyuruh aku dibawa ke pintu kuning, lalu aku pun di bawa berjalan di hadapan ribuan penyokong Indonesia dengan bendera Malaysia masih aku genggam walaupun tidak dibenarkan berkibar dan setibanya aku di sebuah bilik di pintu kuning aku di letakkan bersama dengan tahanan-tahanan lain yang ditahan atas kesalahan menyeluk saku, mencuri dan sebagainya. Di bilik itu juga merupakan tempat pesakit-pesakit yang pengsan dan sebagainya dirawat.Kemudian datang seorang pegawai dan dia merupakan Ketua Keselamatan AFF untuk perlawanan malam itu dan aku berjabat tangan dengannya tetapi aku lupa namanya siapa. Dia berkata kepada aku "You are not a criminal, so you don't have to stay in this room, you can sit at the front desk. We need to assure your safety" dan aku menyahut "Terima kasih bapak". Aku duduk di sebuah meja berhampiran pintu masuk ke bilik rawatan dan bilik tahanan itu. Aku memberitahu mereka bahawa aku ada seorang rakan bersama dan meminta mereka mencari teman aku dan pastikan keselamatannya. Lalu Glenn menanyakan namanya dan aku menunjukkan foto rakan aku kepadanya kerana disaat ini aku sudah terpisah dari rakan aku Kem.

Sepanjang aku berada di meja itu ramai yang datang bertanyakan kepada aku, kenapa aku buat begitu? Tidak takut dipukulkah? Aku hanya senyum kerana tidak terjawab aku waktu itu, adakah mereka akan faham bahawa aku ingin meraikan kejayaan pasukan aku? Jadi jawapan aku kepada mereka hanyalah satu senyuman dengan harapan mereka faham yang aku ke sini bukan untuk membuat provokasi. Pihak polis Jakarta memang baik layanan mereka terhadap aku dan mereka juga memberikan aku makanan nasi bungkus tetapi aku menolak. Kemudian masuk Kapten Siregar dengan satu bendera Malaysia yang telah dibakar oleh penyokong Indonesia. Dia menunjukkan bendera itu kepada aku, namun apa yang aku boleh lakukan, aku hanya membuat mimik muka sambil mengangkat kedua-dua bahu aku menandakan aku tidak bersetuju dengan angkara penyokong Indonesia.


Hampir 2 jam aku berada di dalam bilik itu, kemudian barulah aku disuruh mengikut Kapten Siregar ke Ibu Pejabat Polis Jakarta Pusat untuk diambil keterangan. Aku di bawa menaiki Trak Tahanan Polis bersama tahanan yang lain tetapi Pak Siregar telah membenarkan aku duduk disebelahnya lalu aku pun menurut.

Pada ketika ini rakan aku Kem telah diletakkan bersama dengan pasukan Malaysia untuk keselamatan kerana penyokong Indonesia selepas selesai penyampaian trofi, mereka memasuki padang dan cuba untuk masuk ke kawasan bilik persalinan pemain. Syukur rakan aku selamat dan dia dapat bergembira bersama dengan pasukan Malaysia. Banyak foto-foto hasil bidikannya membuatkan aku cemburu..haha ;-).





Kejuaraan milik kita

Kita gergasi Asia Tenggara

Tahniah Harimau Malaya!!

Perjalanan masih jauh...

Kita adalah juara!!

Bangga aku dengan mereka...

King Raja & Kem

Kem bersama Razman dan pembantu skuad Malaysia
Dan gambar yang paling aku cemburu sekali ialah ini;

Rakyat Malaysia pertama yang memegang Piala AFF Suzuki bersama kapten Safiq Rahim
Ya, rakyat Malaysia pertama(tidak dikira pemain dan pegawai serta pak menteri) serta penyokong pertama yang memegang Piala AFF Suzuki itu.

Kem terpaksa menanti sehingga pasukan Malaysia hendak pulang dan dia keluar bersama-sama mereka ke baracudda. Glenn menemani Kem untuk mencari kenderaan yang boleh dia naiki untuk ke Ibu Pejabat Polis Jakarta Pusat bagi menemui aku. Dia terpaksa memegang "walkie talkie" untuk menyamar seolah-olah dia seorang pekerja keselamatan di Bung Karno. Glenn berjaya mendapatkan ojek untuk Kem dan dia terus ke Ibu Pejabat Polis Jakarta Pusat.

Harimau Malaya dalam perjalanan pulang

Barracuda Harimau Malaya

Sementara itu aku menempuh jalan sesak dari Gelora Bung Karno ke Ibu Pejabat Polis bersama dengan tahanan lain dan Kapten Siregar. Dalam perjalanan aku berbual bersama beliau tentang banyak perkara. Kemudian beliau menunjukkan aku Istana Presiden, Istana Wakil Presiden, Rumah Gabenur Jakarta dan Monumen Nasional dalam perjalan ke "kantor" beliau. Hampir satu jam lebih perjalanan kami dan sesudah tiba di lokasi, beliau mengarahkan aku mengeluarkan semua tahanan dan disuruh berbaris. Aku hanya menurut dan aku membukan pintu tahanan di trak kemudian mengarahkan mereka turun dan berbaris kemudian menyuruh mereka berjalan mengikut Kapten Siregar(macam polisi pulak gaya aku waktu itu..haha). Sampai di pejabat, beliau membawa aku berjumpa dengan Komander beliau dan kemudian beliau mengarahkan rakannya mengambil keterangan aku, cap jari serta foto untuk rekod. Jadi Encik Binur Simbolon telah mengambil keterangan aku mengenai mengapa aku ke Jakarta, apa motif aku mengibar bendera Malaysia dan sebagainya. Kemudian foto dan cap jari direkodkan. Semuanya itu mengambil masa hampir satu jam.


Pada waktu itu aku menerima SMS dari Kem mengatakan yang dia sudah berada di luar Ibu Pejabat sedang menikmati makanan di gerai berhampiran. Aku membalas "Tunggu jap". Setelah selesai semua perkara pihak polis meminta Kem untuk datang mengambil aku di pejabat sebelum aku boleh dibebaskan atas alasan supaya dia menjadi saksi bahawa tiada apa yang berlaku kepada aku sewaktu dalam tahanan. Aku bersalaman dengan semua termasuk tahanan-tahanan sebelum aku meninggalkan Ibu Pejabat Polis Jakarta Pusat dan Kapten Siregar meminta jersi Malaysia(yang tulen NIKE) untuk dibuat kenangan dan beliau tertarik kepada jersi Kem yang baru itu lalu aku pun memberikan kepadanya. "Kena pow la pulak" bisik hatiku.Hehe..


Terima kasih kepada Glenn dan pihak keselamatan semua serta anggota polis terutama Kapten Siregar dan Pak Binun Simbolon kerana memahami bahawa aku berbuat demikian atas dasar meraikan kemenangan pasukan aku dan bukan untuk provokasi terhadap penyokong Indonesia. Pada pendapat aku tidak semua penyokong Indonesia berfikiran kolot, namun terdapat segelintir yang masih rendah akalnya. Itu kita tidak boleh lari dari hakikat kerana ianya berlaku disemua negara di dunia ini.


Selesai semuanya aku dan Kem menahan teksi Bluebird untuk pulang ke bilik menginap kami namun satu tragedi berlaku dimana aku dan dia terlupa di mana kami menginap. Bilik yang kami sewa itu terletak di celahan kota Jakarta berhampiran Senayan jadi kami terlupa untuk merekodkan jalannya mungkin kerana terlalu ghairah hendak ke Bung Karno. Lalu kami menaiki teksi berbekalkan kunci bilik yang tertera tulisan Wisma Tirta lalu aku berkata "Pak, kami mahu ke Wisma Tirta tapi ngak tahu dimana jalannya". Pemandu teksi itu membalas " iya kalau ngak tahu jadi gimana nih??". Aku memandang Kem dan Kem menerangkan yang tempat itu terletak berhampiran Senayan. Lalu kami pun berpusing-pusing sehinggalah pemandu itu meminta bantuan rakan-rakan teksi yang lain dan tahulah dia bahawa Wisma Tirta terletak di Jl. Pejompongan. Hampir satu jam kami di dalam teksi akhirnya tibalah kami di Wisma Tirta, Jl. Pejompongan dan masuk ke bilik, kami membersihkan badan sebelum tidur.


Itulah kisah kami berdua sepanjang berada di Gelora Bung Karno. 


Harapan aku seterusnya adalah agar sokongan ini tidak terhenti di sini sahaja, Liga Malaysia akan kembali untuk Musim 2011 dan diharapkan media-media dapat memberi liputan yang terbaik untuk anak Malaysia yang berjuang. Penyokong-penyokong pasukan masing-masing teruslah menyokong walaupun kita mengutuk pemain dan sebagainya tetapi sokong tetap sokong. Kepada pihak pentadbiran yang berkaitan dalam bolasepak Malaysia, harap hati anda ada pada bolasepak bukan pada perkara lain.


TAHNIAH SKUAD MALAYSIA!!!
Tahniah kepada semua warga Malaysia yang HATI & JIWA mereka telah pulang ke tanahair setelah sekian lama berada di perantauan. Harap kepulangan ini adalah kepulangan yang kekal abadi. Ingat "YANG BERJUANG TU BUKAN ORANG LAIN..ORANG KITA JUGA!!!"

WooooooOOOOOOooooo!! MA...LAY...SIA!!!

...Nekad Ke Gelora Bung Karno - Bahagian 2...

Assalamu'alaikum,

Aku mencuri sedikit masa untuk menghabiskan ceritera aku di Gelora Bung Karno. Aku tidaklah sesibuk mana namun ada perkara-perkara yang perlu diselesaikan, campur tolak darab bahagi waktu tidur aku lagi, jadi ketat masa seharian aku :-).

Jadi selepas berakhir lagu negaraku, lagu Indonesia Raya pula dimainkan dan dapat aku rasakan bergema stadium dengan nyanyian lebih 85,000 penyokong yang membanjiri Bung Karno. Seperti juga kita di Bukit Jalil, bergema dan naik bulu roma apabila hampir 100,000 rakyat Malaysia bersama-sama melaungkan Negaraku. Selesai Negaraku aku dan Kem terus melangkah dan cuba mencari ruang kosong untuk kami "port" namun dari pintu ke pintu semuanya sudah penuh dan padat. Dalam putaran kami mengelilingi Bung Karno mencari ruang untuk menyelit, kami mengambil keputusan untuk menonton perlawanan di skrin gergasi dari perkarangan dalam stadium. Sewaktu Indonesia mendapat sepakan penalti aku dan Kem hanya berpandangan sesama lain membelakangi sorakan dan teriak gembira dari penyokong garuda di dalam mahupun di luar stadium. Namun apabila Firman gagal menyempurnakan sepakan itu, aku hanya mengetis-ngetis kaki Kem tanda gembira. Aku rasa ada seorang dua penyokong Indonesia yang perasan tetapi mereka hanya buat "dunno jek". Syukurlah begitu kalau tidak haru jadinya ;-).


Keadaan di luar stadium sewaktu permainan sudah bermula

Nyalaan "flare" di luar stadium
Barracuda yang dinaiki Harimau Malaya
Kami memulakan kembali langkah kami untuk mencari ruangan untuk menyelit, separuh masa pertama perlawanan habis dan kami masih tidak dapat masuk ke tempat duduk kerana semuanya sudah padat. Separuh masa ke-2 bermula dan aku merencana strategi bagaimana hendak meraikan kemenangan Malaysia nanti kerana aku yakin dan pasti bahawa Harimau Malaya akan mengaum di sangkar Garuda setelah separuh masa pertama masih berkeputusan 0-0. Objektif aku sekarang bukan untuk menonton perlawanan tetapi hati sudah membara semangat untuk menyarung jersi Malaysia dan mengeluarkan bendera Malaysia dan bertambah semangat lagi setelah aku mendapat SMS dari ibundaku di Shah Alam mengatakan bahawa Kelab Penyokong yang ke Jakarta hanya menonton dari kedutaan(merupakan perancangan aku dan Kem jika tidak mendapat tiket). "Tinggal aku dengan kau je nih" kata aku kepada Kem. Dia hanya senyum.


Tiba-tiba keadaan di Gelora Bung Karno sepi, haaa...aku dan Kem berlari ke tempat yang boleh aku melihat skrin gergasi, "Yess!! Malaysia score" bisik aku dalam hati, aku senyum memandang Kem dan dia juga begitu sambil kaki aku mengetis kakinya tanda kami meraikan jaringan Safee Sali itu. Selepas jaringan itu banyak sang garuda terbang pulang dan ini adalah peluang untuk aku dan Kem ke tempat duduk. Aku dan Kem ke sektor 1 dan berdiri di celahan tentera merah putih yang lain. Sebelum itu aku telah menghantar SMS kepada seorang wartawan RTM iaitu Madi(merupakan rakan kepada Tapa, rakan kamcing aku). SMS aku berupa begini;


"Aku kat pintu kayu-kayu. Pintu media kot. Takpe, Aku cuba je cari jalan nak support. Janji angkat piala, bendera Malaysia InsyaALLAH keluar. Aku cuba."

Walaupun banyak yang terbang pulang, masih padat lagi Stadium Gelora Bung Karno, bayangkan betapa ramainya garuda yang memenuhi setiap inci stadium samaada di dalam atau di luar. Kami menonton sambil mata aku meliar mencari posisi yang sesuai untuk meraikan kemenangan Harimau Malaya nanti. Aku terpandang akan satu "port" betul-betul di tengah-tengah stadium di kawasan VVIP. Aku bisik kepada Kem dan dia mengerti, lalu kami menunggu hingga wisel penamat ditiupkan dan hanya berlayar mengikut angin Bung Karno. Dua gol dari pasukan Indonesia dan bergemalah Bung Karno seakan-akan mereka telah mendahului kita, "takpe, game kita punya, tunggu sikit je lagi nanti bergema lagilah Bung Karno" bisik hatiku. Semangat aku terus berkobar-kobar, kalau diikutkan hati, aku ingin menyarung jersi Malaysia terus dicelahan tentera merah putih itu. Namun aku terpaksa terima hakikat bahawa aku hanya seorang manusia biasa yang tiada kuasa untuk menahan terjahan puluhan ribu sang garuda nanti. Aku hanya berharap dan berdoa semoga ALLAH S.W.T. melindungi aku dan rakan. Tentera merah putih memang tidak henti-henti memberikan sokongan kepada timnas mereka dan itu membuatkan aku tabik kepada mereka kerana sokongan yang begitu padu walaupun hakikatnya mereka tewas sebenarnya. Langsung bertambah lagi semangat aku untuk Harimau Malaya, kerana kalau mereka kalah boleh memberikan sokongan padu begini, mengapa kita yang menang tiada sokongan. Aku nekad, jalur gemilang harus berkibar di Bung Karno kerana kesungguhan pemain-pemain untuk menjadi juara ASEAN dan juga aku sudah di Bung Karno, jika tidak berbuat apa-apa, lebih baik aku tengok di rumah sahaja ;-).


Harimau Malaya dan Garuda beraksi

Tentera Merah Putih mereka padat!!

Padat!!!

Dimanakah penyokong subsidi??
Pritttt....Pritttt...Prriiiitttttttt..ittttttt..itu dia wisel penamat sudah dibunyikan namum tiada teriakan atau sorakan untuk pasukan Malaysia, "aduh!! Tak kan menang macam nih, ini tak boleh jadi man..ini mesti mau kena jugak man" kata aku pada diri sendiri. Semangat aku semakin membara, aku terus turun menempuh arus penyokong Indonesia yang akan pulang untuk aku terus ke "port" yang telah aku intai sebentar tadi. Kem menuruti di belakang. Kami mencari tempat yang sesuai dan merencana strategi bagaimana jika kami di serang. "Kem, standby jek, apa-apa lari je keluar padang. Kasut ikat ketat-ketat dah." kata aku kepada Kem. Kami melihat sekeliling dan ternampak Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Shabery Cheek. Disaat itu Bung Karno diriuhkan dengan sorakan "Nurdin Bodoh" dari penyokong Indonesia. Mereka mahukan Nurdin Presiden PSSI meletak jawatan.


Podium penyampaian piala disediakan oleh petugas-petugas, setelah itu seorang demi seorang orang kenamaan dari Malaysia dan Indonesia dipanggil untuk ke podium bagi memberikan hadiah. Seingat aku dan yang aku ingat dari Malaysia adalah Datuk Shabery Cheek, Tan Sri Annuar Musa dan Tengku Ahmad Rithauddeen, dan dari Indonesia adalah presiden mereka Nurdin Halid yang telah dibooooooo sepanjang masa oleh penyokong. Mereka tidak menyukai Nurdin kerana telah terlalu lama ditampuk pemerintahan PSSI dan beliau merupakan seorang politik yang bermain politik bukan cintakan bolasepak(ini bukan aku reka, tetapi aku bertanya kepada orang Indonesia sendiri mengapa mereka membenci Nurdin sewaktu dalam tahanan). Sambil menanti saat penyerahan piala, aku dan Kem hanya berdiri dan bergambar sekeping dua sambil memerhati sekeliling bagi mengetahui suasana dan untuk merencana strategi menyelamatkan diri jika diserang kelak.


Sambil menanti saatnya...

Gembiranya dia Malaysia juara..
Safee Sali dipanggil untuk naik ke podium bagi menerima Anugerah Penjaring Terbanyak Piala AFF Suzuki 2010 (5 gol dalam 4 perlawanan). Kemudian giliran Firman Utina untuk naik menerima Anugerah MVP Piala AFF Suzuki 2010. Nama timnas Indonesia dipanggil untuk naik ke podium bagi menerima medal naib juara Piala AFF Suzuki 2010 dan tepukan serta sorakan gemuruh mengiringi mereka. Lagi membaralah semangat aku untuk melaksanakan tugas. Aku nak bersorak cuma berdua sahaja, kalau sorak pun mungkin abang security dan orang sekeliling sahaja dengar, nak tepuk pun begitu juga, apa yang aku boleh buat untuk sama-sama dengan pasukan bolasepak Malaysia yang telah berjuang hanyalah dengan mengibarkan jalur gemilang supaya mereka tahu bahawa ada yang menyokong mereka dan bersama-sama dengan mereka sewaktu mereka bertempur tadi. Jadi zip beg sandang dibuka, bendera disediakan untuk keluar, aku bisik kepada Kem "standby, apa-apa lari je"


"AFF Suzuki Cup 2010 Championnn..MALAYSIAA!!!!" Boooooo..Boooooo.. itulah sorakan yang mengiringi pasukan Malaysia naik ke podium dan pada saat itu jugalah, tangan kanan aku mencapai bendera di dalam beg dan terus naik kedua-dua belah tangan aku memegang dan mengibarkannya tanda aku meraikan kemenangan dan semangat juang pemain-pemain. Aku nak mereka tahu yang mereka masih ada sokongan dari rakyat Malaysia, aku nak mereka tahu yang ada rakyat Malaysia yang bersama-sama sewaktu pertempuran selama 90 minit tadi, aku nak semua tahu yang bolasepak Malaysia belum mati lagi. Yang berjuang bukan orang lain...tapi orang kita juga!!

Jalur Gemilang bersedia untuk berkibar

Satu-satunya Jalur Gemilang yang berkibar di Gelora Bung Karno

Inilah dia...Tanah Tumpah Darahku!!
Sewaktu dengan berkibar megahnya bendera Malaysia di Gelora Bung Karno, bergema lagi tempat keramat itu dengan jeritan booo disusuli botol-botol dan segala objek-objek berterbangan ke arah aku. Aku hanya mampu tahan dan terus menadah segala objek, teriakan maki hamun dari sang garuda. Aku tidak pasti samaada aku terkena balingan mereka atau tidak kerana waktu itu aku tidak lagi fokus kepada mereka, aku fokus kepada bendera dan juga para pemain yang di atas podium."AAAHHH..pedulikan mereka..kita dah menang..kena baling sikit tu biasalah..adat lah..di Malaysia pun ada baling-baling botol" bisik hatiku untuk menguatkan semangat.

Jalur Gemilang berkibar megah di Gelora Bung Karno semegah Harimau Malaya mengangkat trofi kejuaraan....

                                                    ...bersambung

Tuesday, January 04, 2011

...Nekad Ke Gelora Bung Karno...

Assalamu'alaikum,

Pasti anda menantikan sambungan dari "posting" aku yang berjudul "Dari Shah Alam ke Senayan".Ceh!! macam lah ada orang nak tau sangat..perasan ;-). Tak mengapa nak baca atau tidak tapi aku tetap aku menulis tentang satu peristiwa yang pada aku antara peristiwa yang bersejarah dalam hidup aku.


Aku dan Kem terjaga dalam lebih kurang jam 3:30pm(waktu tempatan) dan kami terus bersiap-siap untuk ke Gelora Bung Karno, ya memang kami dah sepakat untuk ke sana walaupun tiada balas SMS dari Kelab Penyokong yang akan ke Bung Karno dengan harapan kami akan bertemu mereka di dalam stadium dan bersama-sama mereka untuk memberi sokongan kepada harimau yang bakal bertarung.

Setelah kami berdua siap, kami bergerak keluar dari bilik dengan pakaian biasa tanpa mengenakan jersi Malaysia atau apa-apa pakaian atau benda yang ada lambang Malaysia(macam perisik la plak..haha). Aku dengan t-shirt warna hitam serta jeans manakala Kem dengan t-shirt warna ungu dan jeans. Segala perkakas perang(bendera & jersi Malaysia) semua kami himpunkan dalam beg sandang aku. Kami melangkah dan keluar dari perkarangan Wisma Tirta dan mata meliar mencari ojek untuk ditunggangi ke Bung Karno. Setelah mendapatkan ojek, kami terus dipandu ke Gelora Bung Karno. Sepanjang perjalanan yang mengambil masa kira-kira 20 minit(kerana sesak) aku dapat lihat ramai sekali rakyat Indonesia keluar untuk ke GBK bagi memberikan sokongan kepada Sang Garuda. Ada yang berjalan berbatu jauhnya, ada yang menaiki bemo(teksi sapu van) sehingga duduk di bumbung bemo bermain gendang dan berbagai lagi aksi yang menarik perhatian aku.

Pakaian perang aku (boxer mesti LOVE)

Perkakas Perang dalam beg tu

Dalam perjalanan ke GBK

Suasana sesak di semua jalan ke GBK

Aku di atas "OJEK"
Kami diturunkan di persimpangan lampu merah Jl. Gerbang Pemuda & Jl. Gelora Bung Karno. Pemandu ojek itu berpesan kepada kami supaya berhati-hati, jaga dompet dan passport kerana ramai penyeluk saku di stadium. Mereka seolah-olah tahu yang aku dan rakan aku dari Malaysia walaupun kami tidak menyatakan yang kami dari Malaysia, mungkin loghat perbualan kami apabila berbual dengannya membuatkan mereka perasan. Aku sangat terharu dengan pesanan dari pemandu ojek itu kepada kami. Setelah itu perjalanan diteruskan lagi menyusuri Jl. Gelora Bung Karno menuju ke stadium. Kami melangkah tanpa sepatah perkataan keluar dari mulut kerana khuatir mereka akan menyedari yang kami berdua dari Malaysia. Sambil melangkah kami sempat mencuri masa untuk merakamkan gambar kami di Bung Karno. 

Gaya seorang Malaysia

Gaya Seorang Malaysia

Lautan tentera Merah Putih

Kami terus melangkah meredah lautan merah yang dipenuhi garuda-garuda kelaparan untuk mencari Pintu XI seperti yang tertera di tiket kami dan kami difahamkan bahawa disitulah kesemua penyokong Malaysia akan ditempatkan. Dengan hati yang gembira kerana sangkaan kami akan bertemu dengan penyokong yang lain, kami percepatkan langkah namun setelah masuk ke kawasan tempat duduk kami melihat semuanya berwarna merah. "Mana penyokong Malaysia" bisik aku kepada Kem. "Mata kami terus meliar memerhati sekeliling stadium namun tiada kelibat warna kuning dan juga bendera Malaysia di Bung Karno. Kami keluar dan berlegar seketika di perkarangan Pintu XI, dan kami menghantar SMS kepada rombongan bertanyakan dimanakah mereka berada namun sehingga saat ini tiada balasnya. Aku dan Kem pergi menanyakan kepada "Pak Polisi" dimanakah tempat duduk bagi penyokong Malaysia, namun mereka juga tidak tahu, dan kami memohon untuk dibawa ke kawasan Sektor 1 kerana ianya berhampiran VIP dan masih kekosongan(kami lihat dari tempat duduk Pintu XI). Permintaan kami itu tak diendahkan malah mereka menyuruh kami terus duduk di Pintu XI walaupun tempat itu sebenarnya sudah dipenuhi oleh penyokong Indonesia. "Gila apa nak suruh kita duduk sini, aku tak nak" kata aku. Kami berdua pun merangka strategi baru, dan keputusannya ialah kami mahu keluar dari Pintu XI dan kami mahu mencari penyokong Malaysia yang lain.


Agak tegang juga keadaan ketika itu dengan pihak polis yang bertugas kerana mereka seolah-olah tidak mahu memberi kebenaran untuk kami keluar. Kami nekad untuk keluar walaupun kami tidak akan boleh masuk lagi kerana tiket kami sudah dikoyak. Setelah berjaya keluar, kami terus berjalan ke arah Sektor 1 berhampiran dengan Pintu VVIP namun tidak berjaya untuk masuk kerana dikawal serta tiket kami bukan untuk pintu tersebut. Kami berlegar di kawasan luar Sektor 1 dan Pintu VVIP dan masih lagi cuba menghubungi rombongan Kelab Penyokong namun tiada hasil. Aku semangat mahu menukar baju aku ke jersi Malaysia namun apakah dayaku dikelilingi ratusan ribu garuda. Kami berdiri di situ dan sempatlah kami melihat Wakil Presiden dan Presiden Indonesia tiba ke Gelora Bung Karno dengan kawalan yang sangat ketat. 

Aku buntu, Kem juga buntu, lalu kami merencana strategi yang terbaru, iaitu tunggu dan terjah bila keadaan tenang dan tiada kawalan. Saat itu pun tiba dan kami terus masuk ke kawasan VIP dan naik ke Sektor 1 melalui pintu di sebelah pintu VIP. Setelah berjaya masuk kerana kami memberitahu kepada pengawal pintu yang kami dari Malaysia berdua sahaja dan dia membenarkan kami masuk di situ. Waktu ketika itu sekitar jam 6:45pm waktu tempatan dan dalam masa 15 minit lagi perlawanan akan disepak mula. Keadaan di Gelora Bung Karno sangat gamat dengan jeritan, laungan, nyanyian oleh penyokong-penyokong Indonesia. Semua tempat duduk sudah penuh jadi bagaimana mungkin aku dan Kem untuk menyelit, ketika berjalan mencari tempat duduk yang boleh kami selit, kedengaran lagu Negaraku dimainkan dan penyokong Indonesia mem"boooo" dengan sekuat-kuat dan segamat-gamatnya(kita juga melakukan perkara yang sama di SNBJ terhadap lagu Indonesia Raya). Aku dan Kem berhenti dan berdiri seperti biasa sahaja kerana takut mereka perasan yang kami penyokong Malaysia. 


Perasaan aku ketika itu bercampur, ada cuak, ada bengang, ada semangat yang membara....


                                                    ...bersambung

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...