Friday, April 29, 2011

Stadium Sultan Muhammad ke-IV

Assalamu'alaikum,

Anda lihat dan baca sahaja topik itu pasti anda sudah tahu atau mungkin pernah terdengar mengenai tempat ini. Untuk yang tidak tahu ini adalah sebuah tempat yang dipanggil stadium untuk perlawanan bolasepak yang melibatkan pasukan negeri Kelantan Darul Naim. Stadium keramat bagi Pasukan Kijang dan penyokong mereka. Tempat ini bagi aku sangat gah walaupun struktur dan kemudahannya tidak seperti stadium-stadium lain yang nampak gah di Malaysia ini. 

Kenapa aku kata stadium mereka gah? Kerana stadium ini adalah nyawa dan jiwa bagi penyokong-penyokong Kelantan, mereka akan menjaga stadium mereka, mereka akan memenuhkan setiap ruang di dalamnya bagi menjaga maruah pasukan kesayangan mereka. Jika anda terus membaca anda akan mengerti mengapa aku mengklasifikasikan stadium yang tidak canggih dan moden ini sebagai hebat dan gah.

Aku berkesempatan ke sana pada tanggal 22 Jamadilawal 1432(bersamaan 26hb April 2011) bersama-sama dengan rombongan UltraSel untuk menyaksikan perlawanan Liga Super antara Kelantan dan Selangor. Aku tidak mahu berkongsi dengan anda semua tentang perjalanan kami dan juga tentang perlawanan kerana itu semua anda sudah tahu, tapi aku nak berkongsi dengan anda semua tentang sesuatu yang anda tidak tahu iaitu pengalaman merasai atmosfera yang menaikkan bulu roma di Stadium Sultan Muhammad ke-IV. 

sebelum masuk ke dalam, singgah ke The Red Warrior Cafe


Keadaan jam lebih kurang jam 6:45pm

belatar belakang The Red Warriors
Kami masuk dari Pintu I dan duduk di bahagian atas sekali supaya tidak mengganggu penyokong-penyokong lain bila hendak bersorak nanti. Dari saat kami masuk, semua penyokong Kelantan seolah-olah pelik dan terpegun mungkin kerana mereka tidak menyangka bahawa akan ada penyokong Selangor datang pada hari itu. Kami hanya menanti detik sepak mula dengan bergambar dan menikmati suasana dan keadaan sekeliling yang pada aku adalah sesuatu yang anda tidak akan dapat di mana-mana kecuali di SSM-IV sahaja.


PENUH!!!

PENUH!!!

PENUH!!!
Gambar di atas diambil sejurus sebelum sepak mula. Memang penuh dan gamat stadium itu dipenuhi anggaran sejumlah 20,000 orang. Setahu aku rekod kedatangan penyokong Kelantan jarang-jarang mengecewakan walaupun harga tiket tempat duduk biasa berharga RM12 dan pada aku harga tersebut agak tinggi untuk sebuah negeri yang dikategorikan sebagai mundur, tidak maju dan paling ramai penduduk miskin tetapi apalah gunanya jika ada stadium berkapasiti 80,000 orang ditengah bandaraya yang rakyatnya semua moden, berpendidikan tinggi, berpangkat, bergaji besar namun tiada jiwa. ;-)


Ultras Kelantan The Red Mania & UltraSel

Panji Merah Putih & Merah Kuning megah berdiri bersama-sama
Sewaktu wisel penamat dibunyikan kami dihujani dengan air minuman dan segala objek lain sama seperti ketika Norshahrul Idlan Talaha menanduk masuk gol kemenangan Kelantan. Apa kan daya, terima sahaja dengan hati terbuka kerana itu adalah sebahagian daripada pakej yang ditawarkan jika anda membeli tiket ke SSM-IV. Yang penting majoriti penyokong lain dikeliling kami marah kepada segelintir mereka yang melemparkan objek menunjukkan bukan semua penyokong Kelantan bersikap demikian, namun apakan daya, di dalam setandan pisang pasti ada sebiji dua yang busuk. Itu adalah lumrah kehidupan. Selesai perlawanan dan acara melontar objek, UKTRM dan UltraSel bergabung tenaga bersorak sambil diperhatikan oleh penyokong-penyokong yang lain. Ada yang mengambil gambar, ada yang merakam video dan sebagainya. Kami dari Selangor bersalaman dengan penyokong Kelantan tanda persahabatan.


Keadaan di Pintu Masuk Utama selepas bas pemain Selangor beredar

Bergambar bersama

Selangor Kelantan sama saja..apa ada hal
Sering kali kita baca, dengar dan lihat berita mengenai keganasan penyokong-penyokong Kelantan samaada ditempat sendiri mahupun di tempat lawan. Memang tidak dapat dinafikan ada segelintir mereka yang begitu namun apa yang aku dapat katakan hanyalah "Tak Kenal Maka Tak Cinta" jadi kenal dulu apa yang boleh mencetus kemarahan mereka, maka jangan dijolok kerana kita bertandang ke tempat mereka, begitu juga mereka apabila bertandang ke tempat orang. Yang penting pelawat hormati tuan rumah dan tuan rumah harus menghormati kehadiran pelawat meskipun memberikan layanan yang dingin. Apa-apa perkara yang berlaku jika boleh dielakkan dari berlarutan menjadi pertempuran kita elakkan. Gunakan sedikit akal fikiran untuk mengawal hati dan perasaan. Aku faham masing-masing mahu tunjukkan kecintaan terhadap pasukan masing-masing namun apa gunanya bertelagah sesama sendiri kerana aku dengan kau sama-sama memegang kad pengenalan warna biru, jadi apa ada hal??

Alhamdulillah kehadiran kami ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV diterima baik oleh penyokong Kelantan dan tiada insiden yang tidak diingini berlaku. Mungkin ada yang akan kata "Alah..Kelantan menang boleh lah, cuba kalah mesti gaduh" dan apa yang aku boleh kata "Tak Cuba Maka Tak Tahu". Bukan hendak mendabik dada bahawa aku telah ke SSM-IV dengan selamat, tidak, cuma apalah gunanya jika kita asyik mengata dan berpandangan negatif terhadap orang, sampai bila nak bersatu dan aman.

Pengalaman tempoh hari adalah pengalaman yang amat menarik sekali untuk aku namun aku percaya Stadium Sultan Muhammad Ke-IV sukar diramal. Hari ini mungkin begini, esok lusa tiada siapa yang tahu. Itulah kehebatan stadium keramat "The Red Warriors" dan stadium yang paling gah di Malaysia buat masa ini walaupun struktur binaan dan kemudahannya tidak canggih dan moden. Apabila ingin ke sana ingatlah bila masuk kandang kambing kita mengembek, masuk kandang harimau kita mengaum "AuuUUmmMM!!" dan bila masuk kandang kijang, "sendiri mau ingat lah".

Kepada semua penyokong Kelantan, "Sek-sek demo meme kemah-kemah dan hebak-hebak belako" dan kepada Ultras Kelantan The Red Mania terima kasih tidak terhingga kerana memudahkan urusan kami di sana. InsyaALLAH bertemu kita lagi.. :-)

Sekadar tulisan dan pendapat.

Sunday, April 24, 2011

-Suratkhabar Bahagian 2-

Assalamu'alaikum,

Tidak ada apa yang hendak aku perkatakan di sini sebenarnya atau mungkin sampai sudah tidak terkata apa-apa lagi. Anda lihat sahaja gambar keratan akhbar di bawah ini;


Suratkhabar Mingguan Malaysia bertarikh 24hb April 2011 bersamaan 21 Jamadilawal 1432. Apa yang menariknya, suratkhabar ini diberi nama "Mingguan Malaysia" tetapi apabila aku lihat sahaja mukasurat belakang(belum baca, baru lihat sahaja) aku rasakan bagaikan sedang memegang suratkhabar "Mingguan England".

Berita mengenai Barclay's Premeir League mengenai kemenangan Manchester United mendapat satu slot manakala berita mengenai Liga Super pula berkongsi slot di mana semua laporan mengenai perlawanan diletakkan di dalam satu laporan. Pelik bukan anak buah Ferguson menang 1-0 tetapi anak buah Azraai Khor menang 3-1 tetapi masih tidak dapat liputan meluas. Aku ingin tegaskan di sini bahawa aku bukan menyalahkan Manchester United dan BPL apatah lagi dengki dengan mereka, apa yang aku kecewa ialah dengan wartawan dan editor suratkhabar tersebut.

Apakan daya aku nak menukar apatah lagi menyuruh mereka untuk memberikan keutamaan kepada berita-berita liga tempatan seperti dahulu kala. Sekali lagi hanya boleh berharap agar perkara ini berubah. Anda sebagai sebuah suratkhabar utama negara, jadi mainkanlah peranan anda untuk membela negara. :-)

MEDIA OH MEDIA!!!! 

Sekadar tulisan dan pendapat.

Selangor lwn Perak

Assalamu'alaikum,

Sudah seminggu berlalu perlawanan ini sebenarnya yang mana berkesudahan kemenangan berpihak kepada Selangor. Ini adalah "Pertemuan Buku & Ruas" untuk pusingan pertama Liga Super 2011 kerana pada ketika itu, Selangor dan Perak masing-masing menghuni tangga pertama dan kedua liga.
Perlawanan agak seimbang, di mana kedua-dua pasukan bermain dengan berhati-hati, berbalas serangan namun nasib menyebelahi Selangor apabila selepas beberapa percubaan ke arah pintu gol Perak akhirnya Safiq Rahim berjaya memberikan kenangan yang terindah buat semua penyokong Gergasi Merah yang hadir pada malam itu. Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.

Namun yang menarik perhatian aku pada perlawanan itu selain dari awek-awek manis bagaikan sirap terlebih gula yang hadir pada malam itu adalah penyokong-penyokong Perak yang hadir memberikan sokongan kepada pasukan Seladang. Aku rasa apa yang mereka tunjukkan itu adalah "Budaya Menyokong" pinjam kata-kata Hafizal Hamad. Walaupun tewas namun mereka tidak meninggalkan stadium dan terus setia bersama pasukan Perak, bersorak untuk mereka.
Bagi pasukan yang menang pula iaitu pasukan yang memang aku sanjung, segelintir penyokong-penyokong telah pun mula mengangkat punggung meninggalkan stadium bila masa permainan tinggal dalam lebih kurang 5 minit sahaja lagi. Agak kecewa juga melihat sikap mereka ini, hendak dikatakan Selangor tewas tidak juga, mungkin alasan mereka ialah untuk mengelak kesesakan lalulintas apabila pulang nanti, bermakna jika mereka keluar awal tidak perlulah bersesak-sesak di luar sana. Tetapi adakah dengan sebab itu anda sanggup hendak pulang awal? Meninggalkan pasukan anda? Apabila harga tiket naik ke RM15 ramai yang bising, namun bila sudah bayar RM15 untuk 90 minit perlawanan mengapa menonton hanya 85 minit sahaja? Pelik sungguh mereka-mereka ini. 

Tidak mengapalah, biarlah mereka dengan sikap mereka kerana itu adalah sikap mereka yang sudah terpahat dalam jiwa dan raga mereka. Apalah daya kita untuk mengubah. Cuma apa yang kita boleh lakukan adalah hanya berharap supaya mereka berubah sikapnya. Satu lagi aku ingin mengatakan di sini bahawa "Aku tabik kepada semua penyokong Perak yang hadir ke Stadium Shah Alam pada 16hb April 2011. Teruskan sokongan hebat anda untuk Perak".
Sekadar tulisan dan pendapat.

Video -Bahagian 2-

Assalamu'alaikum,

Kembali lagi aku dengan video yang lain pula kali ini. Jom layan;






Aku rasa pemilik kedai ni adalah antara orang yang hebat dalam dunia ini walaupun dia hanya seorang pemilik kedai runcit. Aku amat berharap video ini mendapat liputan yang meluas dimedia-media tempatan bukan untuk apa, untuk kebaikan juga. :-)

"Hidup Bukan Tentang Apa Yang Kita Ada, Tetapi Apa Yang Kita Boleh Beri"

Friday, April 15, 2011

Video

Assalamu'alaikum,

Oleh kerana di Malaysia sekarang orang sedang sibuk dengan video, makanya aku pun hendak berkongsi dengan anda semua akan 2 video ini. Dari kita sibuk mencanang sana, riuh sana, riuh sini, tentang video 18SX. Aku tidak bersalah, mereka bersalah, dia tidak bermoral, yang ini bermoral..arghhh!! Tinggalkan semua yang tidak berfaedah itu dan kita layan 2 video kegemaran aku di bawah; :-)


dua orang budak ini menyanyikan lagu Bila Diri Disayangi dari Lela dengan penuh semangat dan ini;



lagu berjudul Punk Rock Jalanan yang tidak diketahui siapa penciptanya, mungkin juga mereka yang berada di jalanan menciptanya, apa pun agak menarik lagu ini.

Jom layan...

Sunday, April 10, 2011

Hari Tanpa Beg Plastik

Assalamu'alaikum,

Hari ini hari Ahad dan semalam adalah hari Sabtu. Kenapa topik ini? Kerana sebenarnya dah lama terfikir cuma baru hari ini terasa ingin berkongsi kerana semalam ianya menjadi topik perbualan antara aku dan keluargaku. :-)

Seperti yang anda sedia maklum, di negeriku yang tercinta ini, pada setiap hari Sabtu adalah hari tanpa beg plastik, bermaksud di sini, "Kempen Hari Tanpa Beg Plastik" bukanlah satu hari di mana tiada beg plastik digunakan tetapi hanyalah satu hari di mana tiada beg plastik akan diberikan kepada pelanggan di pasaraya-pasaraya atau kedai-kedai yang terlibat apabila setiap pembelian dibuat. Jadi pada aku ianya tidak mencapai objektif "HARI TANPA BEG PLASTIK" itu.

Aku tengok negara kita ini terlampau banyak kempen, semua benda perlu ada kempen tapi semuanya tidak menyelesaikan apa-apa ataupun tidak memberikan kesan atau impak kepada rakyat negara ini sebenarnya. Kenapa aku kata begitu, kerana semua kempen ini tidak pergi betul-betul kepada akar sesuatu permasalahan itu, jadi mana mungkin ianya berkesan, teknik kempen di negara ini adalah dengan cara mencantas dan menebas sedikit-sedikit ranting-ranting atau pohon-pohon sahaja.

Mereka melaung-laungkan kempen merokok itu merbahaya, tapi masih berleluasa penjualan rokok. Mereka melaung-laungkan kempen keselamatan jalanraya, namun masih tidak selamat jalanraya kita. Mereka melaung-laungkan kempen Cintailah Bahasa Kita, Cintailah Sungai Kita, Cintailah Negara Kita dan sebagainya namun masih tiada yang cinta.

Pada aku ini semua hanyalah untuk wang ringgit. Maksud aku di sini, mereka berkempen tetapi demi wang ringgit atau dalam konteks orang bijak pandai, demi ekonomi dan untuk menjana ekonomi negara, mereka sanggup untuk tidak mengikut dan membelakangkan sesuatu kempen. Contoh; Kempen "TAK NAK", aku rasa orang yang membuat atau memasang banner atau billboard itu sendiri masih merokok, penjualan rokok masih berleluasa. Kempen "Cintailah Bahasa Kita", kerajaan menyuruh rakyat menyintai bahasa sendiri namun mereka sebagai orang yang bertanggungjawab memperkenalkan kempen tersebut tidak pula bergerak seiringan dengan kempen tersebut. Contoh; anda lihat papan tanda di lebuhraya, mereka menggunakan "EXIT A201" dan sebagainya, mengapa tidak gunakan susur keluar. Mereka menggunakan "Presint" 1,2,3 dan seterusnya di Putrajaya untuk membezakan sesuatu kawasan, mengapa tidak gunakan "Kawasan" 1 atau 2 atau 3? Anda ke KLIA, pasti anda biasa melihat perkataan "Bon Voyage" bukannya "Selamat Jalan" ataupun "Welcome To Malaysia" bukannya "Selamat Datang Ke Malaysia" dan banyak lagi contoh-contoh sebenarnya, terlalu banyak untuk disenaraikan di sini.

Berbalik kepada topik, Kempen Hari Tanpa Beg Plastik, mereka kata Hari Tanpa Beg Plastik, sepatutnya bermaksud pada hari tersebut tiada satu beg plastik pun digunakan namun tidak, seperti juga kempen-kempen yang lain, tidak mencapai objektifnya. Contoh; anda ke pasaraya untuk membeli-belah, dan anda boleh membayar sebanyak RM0.20 untuk satu beg plastik jika anda mahu menggunakannya, membawa maksud di sini, jika anda mempunyai wang, anda boleh mencemarkan alam sekitar. Bermaksud selama ini yang mencemarkan alam sekitar sebenarnya adalah wang ringgit, bukan beg plastik itu. Kalau betul hendak menjaga alam sekitar atau menghijaukan bumi, sepatutnya haramkan sahaja penggunaan beg plastik, pasti pengguna akan membawa beg sendiri untuk membeli-belah, barulah objektif akan tercapai. Mungkin ianya terlalu drastik namun kadangkala untuk sesuatu kebaikan, tindakan drastik itu perlu.

Dari setiap pembelian beg plastik itu, sejumlah RM274,000(sumber dari The Star Jumaat, 18hb Mac 2011) telah dikutip dan akan disalurkan untuk aktiviti-aktiviti menghijaukan bumi. Bukan aku nak membangkang usaha murni mereka ini, namun aku tidak faham, mengapa memerlukan duit untuk menghijaukan bumi dan menjaga alam sekitar sedangkan selama ini duitlah yang menjahanamkan alam sekitar. Bagaimana nak menjaga alam sekitar jika kempen itu sendiri mengajar rakyat, jika anda punya wang anda boleh mencemarkan alam sekitar(beg plastik mencemar alam sekitar, jadi anda punyai RM0.20, anda dipersilakan mencemarkan alam). 

Pendapat aku, kempen-kempen di Malaysia ini hanyalah sekadar untuk menghabiskan wang peruntukan, sebagai satu cara untuk segelintir mereka menunjukkan keupayaan dalam mentadbir namun kempen-kempen ini semua sebenarnya disasarkan bukanlah untuk mencapai objektifnya. Semua ini demi wang ringgit sahaja, mengapa? Kalau diberhentikan penjualan rokok, maka pendapatan negara akan berkurangan, jadi tidak boleh. Mengapa tidak diharamkan sahaja penggunaan beg plastik, dan gantikan dengan pengunaan medium-medium lain? Ini semua hanyalah satu kitaran ekonomi di mana semua ingin mengaut keuntungan di atas sesuatu bukanlah untuk tujuan murni itu semata-mata. Oleh sebab itu ianya tidak berjaya kerana usaha itu murni namun niat itu. :-)

Demi wang ringgit, demi kekayaan apa sahaja boleh. Jika anda kaya, anda mempunyai wang, anda boleh mencemarkan alam yang indah ini. Itulah apa yang aku dapat faham dari "Kempen Hari Tanpa Beg Plastik".

Sekadar tulisan dan pendapat.

Friday, April 08, 2011

Pilih

Assalamu'alaikum,

P.I.L.I.H. adalah perkataan dengan 5 huruf yang membawa maksud menentukan sesuatu diantara dua atau lebih perkara atau benda. Perkataan ini sebenarnya adalah amat sinonim dan bergerak selari dengan setiap pergerakan dan hembusan nafas kita dari kita membuka mata dari lena sehinggalah kita memejamkan mata kembali untuk berlayar di alam mimpi.
Sebaik sahaja kita tersedar dari lena sebenarnya kita sudah perlu membuat pilihan, samaada hendak bangun terus atau hendak bergolek-golek lagi di atas katil selama 5 minit. Kemudian kita perlu memilih samaada hendak memberus gigi terlebih dahulu atau terus bersarapan. Begitulah seterusnya sepanjang hari sehingga tiba waktu hendak memejamkan mata, kita masih lagi perlu memilih samaada hendak terus tidur atau melayan FB dahulu atau menonton televisyen sebentar sebelum tidur. Nah, betul bukan bahawa perkataan ini sebenarnya bergerak seiring dengan kita, setiap saat dalam kita menjalani kehidupan seharian.

Tetapi apa yang aku nak kongsi di sini ialah satu perkara yang aku tiba-tiba terfikir, sejak aku akil baligh sehingga ke hari ini, apakah benar semua pilihan yang aku buat? Fikir punya fikir, aku rasa tidak kerana ada banyak pilihan yang salah sebenarnya yang aku telah pilih dalam sepanjang kehidupan aku sebagai seorang lelaki yang akil baligh. Tapi apa boleh buat, benda dah berlalu. Harapan selepas ini semua pilihan aku betul dan berdasarkan apa yang sepatutnya aku ikut sebagai dasar dalam kehidupan ini.

Susah bukan sebenarnya perkataan yang ada 5 huruf ini, nampak mudah sebenarnya perkataan ini namun jika kita fikir kembali apakah dasar pilihan yang telah kita lakukan selama ini, pasti kita terfikir dan pasti terdiam seketika dan pasti teringat serta terkenang kembali segalanya di zaman silam. Namun seperti yang aku katakan, benda dah berlalu dan berlaku, kita cuma boleh berharap agar pilihan kita pada masa akan datang ini biarlah berdasarkan apa yang sepatutnya...

Sekadar tulisan dan pendapat.

Sunday, April 03, 2011

Stadium Jalan Besar, Singapura -Bahagian 2-

Assalamu'alaikum,

Jam menunjukkan pukul lebih kurang 2:30pm apabila kami tiba di Imigresen Singapura, Tuas. Kegembiraan jelas terpancar disetiap wajah penumpang BJU 9633. Mereka gembira kerana ada diantara mereka yang pertama kali menjejakkan kaki diluar bumi Malaysia, ada yang gembira kerana pertama kali mereka ke kubu pihak lawan untuk menyokong Malaysia, ada yang gembira kerana dapat ke Singapura dan ada yang gembira kerana pasport siap pada pagi hari sebelum bertolak ;-). Namun yang penting semua gembira.

"Kalau rasa gembira tepuk MALAYSIA"
Selepas selesai semua pemeriksaan di kastam Singapura, bas kami pun meluncur membelah kota singa menuju ke Jalan Besar. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit le 1 jam dan kami tiba di Stadium Jalan Besar lebih kurang jam 4:00pm waktu Singapura. Tiba di sana, mereka terus mula sorakan seolah-olah perlawanan telah pun bermula, semua warga Singapura memerhati gelagat mereka, ada yang merakamkan gambar mereka, ada yang merakamkan video mereka, namun jelas terpancar riak wajah terkejut dan seronok di wajah warga Singapura ini apabila melihat makhluk-makhluk dari negara jiran mereka menyanyi, bersorak, menari kegembiraan bagaikan kemenangan sudah berpihak kepada Malaysia. :-)

Kami semua membuat satu pusingan mengelilingi stadium untuk memberitahu kepada sang singa bahawa harimau malaya telah tiba walaupun bukan sang singa menjadi lawan pada malam nanti. Tiba di pintu masuk utama, bas yang membawa pemain Malysia tiba secara kebetulan, dan semua berlari bagi menyambut ketibaan mereka.


video


Selesai semuanya kami pun pergi mendapatkan tiket yang berharga SD6 (lebih kurang dalam RM12) dan selepas itu kami semua ke kedai minum seberang jalan untuk membasahkan tekak sementara menanti waktu untuk masuk ke stadium. Lebih kurang jam 7:30pm kami pun menyerbu masuk ke dalam stadium.


video


Pada awalnya perancangan kami untuk duduk di tempat duduk bertentangan dengan astaka namun tidak dibenarkan oleh pihak pengurusan stadium. Atas alasan apa aku tak pasti, namun aku pasti alasannya adalah kerana anda berada di Republik Singapura. Kami turutkan apa jua arahan kerana kami tidak punya banyak wang untuk membayar denda. Selepas masuk dan kain rentang dipasang di tingkat 2, tiba pula arahan bahawa di stadium tidak dibenarkan memasang apa jua bentuk kain rentang. Atas alasan keselamatan orang di bawah kata mereka namun bagi aku alasan yang lebih tepat adalah kerana anda berada di Republik Singapura. Selesai menurunkan kembali kain rentang, tiba satu lagi arahan bahawa tidak dibenarkan berdiri dan bersorak sepanjang perlawanan, atas alasan apa aku tidak pasti, namun yang pasti mereka tidak menuruti arahan ini walaupun berada di Republik Singapura. 
Pendapat aku adalah sungguh tidak adil bagi rakyat Singapura yang terpaksa menghadapi situasi yang sungguh membosankan untuk mengharungi setiap perlawanan liga mereka kerana tidak dibenarkan untuk berbuat apa-apa sekalipun, mereka hanya sekadar dibenarkan datang duduk dan tonton...sungguh bosan!! Baru aku teringat, patutlah rakyat mereka pelik dan terkejut apabila melihat makhluk-makhluk dari negara jiran mereka berteriak, menyanyi, bergendang, menari dan bersorak sewaktu turun dari bas, sekarang aku faham mengapa. Walaupun aku ke stadium tidak berbuat apa-apa, namun suasana dan atmosfera itu perlu bagi menghidupkan sesuatu perlawanan. Tapi apa kan daya anda berada di Republik Singapura di mana segalanya adalah mustahil bagi anda. ;-)


Sebelum disuruh duduk

Dibenarkan berdiri kawasan tempat duduk sahaja

Ramai juga yang hadir memberi sokongan
Pemain Malaysia memanaskan badan di atas rumput tiruan

Barisan Harimau Malaya

Antara aksi perlawanan
Selesai perlawanan, aku terkejut lagi. Kali ini kami semua diarahkan keluar serta merta sesudah selesai perlawanan dan tidak dibenarkan untuk duduk seketika untuk bergambar dan bersorak kepada pemain sebelum mereka masuk ke bilik persalinan. Ini peraturan dipanggil "ekonomi", kerana mereka boleh tutup lampu stadium dengan cepat dan pekerja boleh pulang awal jadi jimat kos. ;-) Pelik...pelik tapi apa boleh buat kerana anda berada di Republik Singapura. 

Namun satu perkara lagi yang menarik perhatian aku adalah, sampah sarap di dalam stadium adalah agak sukar untuk aku temui sesudah selesai perlawanan, apa boleh buat anda berada di Republik Singapura.. ;-)

Sekadar tulisan dan pendapat.

Stadium Jalan Besar, Singapura

Assalamu'alaikum,

Sebenarnya diketika aku menaip ini, aku berada pada satu keadaan yang membosankan dan otak aku seolah-olah berhenti berjalan. Akan tetapi dengan tiba-tiba aku rasa semangat nak menaip. Memang niat dihati nak kongsi akan perkara ini sejak dari minggu lepas lagi, tetapi masa dan situasi tidak mengizinkan. Jadi inilah dia nukilannya;

Sabtu, 21 Rabiulakhir 1432(26 Mac 2011) aku telah ke sebuah negara pulau di bahagian selatan tanah tumpahnya darahku. Aku mengikuti rombongan Ultras Malaya yang pergi untuk menyaksikan perlawanan persahabatan antara Etoile FC dan Malaysia di Stadium Jalan Besar. Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1 di mana gol Malaysia telah dijaringkan oleh Fakhri Sharani. Permainan pasukan Malaysia agak memuaskan, ada persaingan dan semangat untuk menang itu ada dan dapat dirasai walaupun permainan agak kucar-kacir sedikit di separuh masa kedua mungkin disebabkan banyak pertukaran yang berlaku dan pemain-pemain baru dimasukkan tidak begitu serasi lagi. Namun tidak mengapa, itulah gunanya perlawanan persahabatan di mana pemain-pemain baru diuji dan diberi peluang menunjukkan kehebatan. Syabas Malaysia!!

Tetapi tidak syabas kepada FAM kerana tidak berjaya untuk mendapatkan walau satu negara sekalipun bagi perlawanan persahabatan bagi Harimau Malaya. Mungkin mereka mempunyai alasan yang tersendiri dan masalah-masalah yang aku tidak ketahui namun apa yang aku ingin persoalkan adalah, daripada 208 persatuan bolasepak negara yang berdaftar di bawah FIFA, adalah agak mustahil bagi kita untuk tidak boleh mendapatkan satu negara untuk menentang pasukan Malaysia. Mengapa aku berkata demikian? Adalah kerana ada orang-orang yang di dalam FAM mempunyai kuasa, pengaruh dan kenalan yang sangat kuat dengan orang-orang besar FIFA, mustahil mereka tidak boleh menggunakan kenalan, kuasa atau pengaruh mereka untuk mendapatkan satu perlawanan persahabatan untuk Malaysia sedangkan mereka boleh menggunakan kuasa, kenalan dan pengaruh untuk merebut jawatan Presiden dalam AFF :-). Aku tidak tahu prosedur bagaimana hendak mengatur perlawanan persahabatan antarabangsa, mungkin ada masalah teknikal timbul di saat akhir namun yang jadi persoalan mengapa tidak gunakan kuasa untuk kepentingan pasukan kebangsaan tetapi bijak pula mencari ruang untuk menggunakan kuasa dan kenalan untuk kepentingan sendiri seperti merebut jawatan Presiden AFF. Apa kes???

Sekadar tulisan dan pendapat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...