Tuesday, December 07, 2010

Selepas Satu Ribu Empat Ratus Tiga Puluh Dua Tahun....

Assalamu'alaikum,


Terlebih dahulu ucapan Selamat Tahun Baru kepada semua. Ini merupakan tulisan pertama untuk tahun 1432H. Bangun pagi hari ini tiba-tiba terfikir sudah satu ribu empat ratus tiga puluh dua tahun zaman kita sekarang nih daripada tarikh penghijrahan penduduk Islam Mekah ke Madinah.


Apa yang aku fikirkan ialah, tarikh 1 Muharram dikatakan tarikh perpindahan umat Islam dari kota Mekah ke kota Madinah, dan ada juga mengatakan ianya tarikh perhijrahan Nabi Muhammad S.A.W. ke Madinah(mengikut kebanyakkan rujukan sejarah mengatakan perkiraan bermula dari penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W.). Maksud aku di sini ialah penghijrahan umat Islam dari Mekah ke Madinah pada waktu itu berjalan dalam pelbagai peringkat dan secara sembunyi kecuali Umar Al-Khatab yang berhijrah secara terang-terangan. Ini adalah strategi bagi mengelakkan sebarang perkara buruk berlaku kepada mereka yang berhijrah kerana kaum Quraisy ketika itu menghalang sesiapa sahaja yang sudah memeluk Islam untuk menginggalkan Mekah. Berbalik semula kepada penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W., beliau dan Abu Bakar As-Siddiq merupakan orang yang terkahir meninggalkan Mekah setelah sahabat-sahabat dan umat Islam yang lain pergi ke Madinah dahulu. Ini kerana beliau ingin memastikan bahawa semua sahabat dan umat Islam selamat keluar dari Mekah dahulu kemudian barulah giliran beliau (ini barulah namanya PEMIMPIN ;-)...jangan ada yang terasa pulak ye). Sewaktu penghijrahan beliau, banyak perkara yang berlaku. Antaranya adalah peristiwa Kaum Quraisy diketuai Abu Jahal ingin membunuh beliau tetapi diselamatkan ALLAH S.W.T., menggantikan beliau dengan Ali(Khalifah Islam ke-4). 

Laluan perjalanan beliau pertama adalah dari Mekah ke Gua Thur(selatan Mekah) untuk bersembunyi dahulu selama 3 hari bersama Abu Bakar. Di sinilah terjadinya peristiwa labah-labah dan cicak(sila betulkan jika tersalah fakta), di mana cicak telah memberikan isyarat kepada orang Quraisy yang memburu Muhammad S.A.W. dan Abu Bakar bahawa mereka berada di dalam gua manakala labah-labah telah menyelamatkan nabi kita dan sahabat beliau dengan membuat jaringan labah-labah dipintu gua maka orang Quraisy tadi menyangka tidak mungkin ada orang di dalam gua ini lalu beredar. Daripada peristiwa ini terfikir aku adakah orang barat yang menciptakan karakter "Spiderman" telah membuat kajian terhadap sejarah terlebih dahulu dan adakah orang yang menciptakan karakter superhero "Cicakman" tidak membuat kajian?(bukan mengutuk sekadar terfikir :-)..jangan ada yang terasa ye). Kembali semula ke topik kita, selepas 3 hari beliau meneruskan perjalanan menuju ke utara dari Gua Thur langsung ke Madinah dan antara peristiwa yang berlaku adalah peristiwa beliau memerah susu kambing Ummu Ma'bab yang tidak boleh mengeluarkan susu sehingga penuh berbalang-balang, peristiwa dikejar Suraqah dan ALLAH S.W.T. membenamkan kaki kuda Suraqah ke dalam pasir setiap kali beliau hendak memanah Nabi Muhammad S.A.W.

Mengikut rujukan aku serba sedikit, Nabi Muhammad S.A.W. tiba di Madinah(tiba di Quba terlebih dahulu sebelum masuk ke kota Madinah) pada 12 Rabiulawal bermakna perjalanan beliau mengambil kira-kira 71 hari (jika mengikut perkiraan sejarah 1 Muharram bertolak dari Mekah dan tiba di Madinah 12 Rabiulawal). Di sini pula tercatat peristiwa bersejarah dengan terbinanya Masjid Quba dan Masjid Nabawi(masjid yang ke-2 mulia selepas Masjidil Haram) yang sehingga kini tersergam indah dan bermulalah era penyebaran Islam dan penaklukan Islam di muka bumi ini sehinggalah hari ini di mana penaklukan berkurangan tetapi perpecahan bertambah.

Maka Saidina Umar mengambil hari penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W. dari Mekah(hari beliau meninggalkan Mekah) sebagai hari permulaan dalam Kalendar Hijrah(sila perbetul jika tersalah fakta).

Mungkin sudah berputar mata anda dan fikiran anda bila membaca "posting" ini. Tapi niat aku bukan nak peningkan anda semua tapi sekadar nak menulis dan berkongsi sambil tertanya-tanya di dalam hati "Ramai yang melaungkan bahawa kita patut melakukan penghijrahan dan perubahan pada setiap kali tibanya Maal-Hijrah, tetapi aku tertanya-tanya perubahan dan penghijrahan yang patut kita lakukan adalah berdasarkan apa?"Persoalan aku di sini bukan apa bentuk penghijrahan dan perubahan yang kita akan lakukan untuk tahun baru ini, tetapi "Apakah dasar dan berpandukan apa penghijrahan serta perubahan yang akan kita lakukan itu?"

Sekadar tulisan dan pendapat. Jika ada kesalahan fakta sila perbetulkan dan perjelaskan. Selamat Tahun Baru 1432H.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...