Wednesday, December 29, 2010

-Gelora Bung Karno-

Assalamu'alaikum,

Sudah 5 hari aku tidak menaip di ruangan ini. Agak ketat jadual aku untuk beberapa hari ini. Aku mencuri sedikit masa di sini untuk menaip ketika ini di LCCT Kuala Lumpur sementara menanti penerbangan AK 380 KUL - CGK.

Hari ini 23 Muharram 1432 aku akan ke Jakarta untuk menyaksikan Perlawanan Akhir Piala AFF Suzuki antara Indonesia lwn Malaysia yang akan berlangsung malam ini (24 Muharram 1432 - 29hb Disember 2010) di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

AK 380 Berlepas jam 0700(maaf gambar gegar dipagi hari)

"Self Check-In" katanya


Aku tidak pernah ke sana dan perancangan untuk ke sana di buat di saat akhir kerana aku terbaca artikel di mana Kelab Penyokong Bolasepak Selangor membuat rombongan ke sana, lalu aku menelifon salah seorang dari penganjur dan mereka katakan yang mereka sudah berada di lapangan terbang. Aku agak kecewa tapi aku terus ke komputer riba aku dan aku melayari laman sesawang Air Asia dan aku dapati harga tiket mampu untuk aku ke sana, lalu aku menghubungi rakan-rakan tentera hitam kuning yang lain namun hanya seorang sahaja yang dapat menuruti aku ke Jakarta kerana yang lain sudah ada perancangan lain, maklumlah perancangan saat-saat akhir.

Operasi aku hari ini setibanya di Jakarta ialah untuk mencari tiket perlawanan(yaaa..memang aku tiada tiket ke GBK). Namun aku akan berusaha untuk mendapatkan 2 keping tiket buat aku dan rakanku. Jika tidak aku akan ke Kedutaan Malaysia bagi menyaksikan perlawanan itu di layar gergasi di situ.

Mungkin ada yang akan mengatakan ia merupakan kerja bodoh, tetapi aku tetap hendak ke Gelora Bung Karno buat pertama kalinya dalam sejarah hidup aku dan aku ingin menyaksikan sendiri dengan mata kepala aku sejarah dicipta oleh barisan Harimau Malaya kita di situ. Sebuah epik sejarah yang bakal di kenang dan dijadikan bualan hingga ke anak cucu aku nanti.

Semoga aku dapat mencapai objektif perjalanan aku. Amin!!

WOOOOOOOOOO!!! MA...LAY...SIA!!!!!!

Inilah barisan kita,
Yang ikhlas berjuang,
Siap sedia berkorban,
Untuk ibu pertiwi,
Sebelum kita berjaya,
Jangan harap kami pulang,
Inilah sumpah pendekar kita,
Menuju medan bakti,
Andai kata kami gugur semua,
Taburlah bunga di atas pusara,
Kami mohon doa,
Malaysia berjaya,
Semboyan telah berbunyi,
Menuju medan bakti.

WOOOOOOOO!!! MA...LAY...SIA!!!

Friday, December 24, 2010

Tiket ke Stadium Nasional Bukit Jalil...

Assalamu'alaikum,

Hari ini satu tugasan yang agak berat sudah pun dapat aku selesaikan dengan jayanya. Tugasan itu adalah bagi membawa pulang 32 keping tiket untuk rakan-rakan yang akan menggegarkan Stadium Nasional kita pada hari Ahad ini di mana Malaysia akan menentang Indonesia dalam Perlawanan Akhir 1 Piala AFF Suzuki 2010.

Harapan aku, biasalah semua peminat dan penyokong pasti akan mengharapakan kemenangan dari pasukan mereka tetapi apa yang aku harapkan ialah agar perkara ini tidak terhenti di sini sahaja. Perkara yang di maksudkan ialah sokongan peminat, sokongan media massa, permainan yang bersemangat dari pemain-pemain, pentadbiran yang bijak lagi membangun dan macam-macam lagi. Jangan kita hangat-hangat taik ayam sudah, bila pasukan kebangsaan kalah maka segala kritikan, maki hamun dilemparkan semula dan sokongan berkurangan. Kalau nak maki, maki juga tapi sokong tetap sokong barulah jiwa "Tanah Tumpah Darahku". Jangan jadi "kaki borak" yang konon bijak pandai dalam hal bolasepak tetapi tiada sebarang reaksi dan sokongan diberikan, itu umpama "Cakap Tak Serupa Bikin".


Suasana di Stadium Nasional sekitar jam 2:30pm

Gerai menjual barangan Malaysia

Gerai menjual barangan Indonesia

Keadaan kaunter tiket sekitar jam 3:00pm

32 keping tiket semuanya :-)

Tugasan aku itu hanyalah satu perkara kecil saja yang aku boleh lakukan untuk memenuhkan stadium dengan sokongan padu rakyat Malaysia. Kenapa aku kata begitu? Kerana rakan-rakan aku yang lain semua bekerja dalam waktu pejabat tetapi aku berkerja dengan waktu aku sendiri jadi aku boleh jadi "runner" untuk membeli tiket perlawanan. Aku tak kisah janji semua ada semangat, hati dan jiwa untuk orang sendiri kerana yang berjuang bukan orang lain tapi orang kita juga.


Kepada semua, Ahad 20 Muharram 1432(26hb Disember 2010) ini sama-samalah kita ke Stadium Nasional bagi yang mampu dan punya jiwa untuk menyokong di sana, namun bagi yang punya jiwa tapi tiada kemampuan untuk ke sana berilah sokongan di depan kaca televisyen anda jam 8:00pm. Tengok TV sahaja kerana tiada syarikat-syarikat gergasi yang berlumba-lumba untuk menaja atau menganjurkan pesta-pesta atau keramaian skrin gergasi yang menayangkan perlawanan akhir Malaysia lwn Indonesia seperti yang berlaku untuk Kejohanan Piala Dunia, Piala Eropah ataupun Kejohanan Kelab-Kelab Eropah. Tidak mengapa biarkan mereka mengejar keuntungan tetapi tiada untungnya jika tidak mempunyai hati. Ayuh kita memberi sokongan. :-)


Sekadar tulisan dan pendapat.


Tuesday, December 21, 2010

Roti Jang

Assalamu'alaikum,

Pada hari Ahad lepas 13 Muharram 1432(19hb Disember 2010), produk Roti Jang telah ditempah untuk Majlis Aqiqah sebuah keluarga di Kg. Sungai Pinang, Klang.

Produk Roti Jang ini adalah ciptaan dan milik syarikat MUZFADANN SEBELAS di mana ianya telah pertama kali diperkenalkan pada bulan Ramadhan yang lalu dan kini telah di perhebatkan lagi resipi dan rasanya.

Roti Jang sedang dimasak di atas kuali

Roti Jang sedang dibungkus

Kami memang menyediakan perkhidmatan tempahan Roti Jang untuk apa jua majlis(sambutan hari lahir, kenduri, karnival, mensyuarat, dsbnya). Selain itu pada hari biasa kami ada menjualnya di pasar malam.


Jika anda berminat nak tempah, nak cuba boleh cari kami;


Pasar Malam


Isnin - Pasar Malam Seksyen 18 Shah Alam(berhampiran Giant dan  
        Mydin Seksyen 18) 
        Jam 4:30pm - 9:30pm

Selasa - Pasar Malam Seksyen 6 Shah Alam (di perkarangan Pasar   
         Besar Seksyen 6)
                      Jam 4:30pm - 8:00pm

Rabu - Pasar Malam Seksyen 24(berhampiran lot kedai hadapan  
       kolam pancing udang)
       Jam 4:30pm - 9:30pm

Jumaat - Pasar Malam Seksyen 6 Shah Alam (di perkarangan Pasar   
         Besar Seksyen 6)
                     Jam 4:30pm - 8:00pm

Untuk tempahan anda boleh hubungi kami di rotijang@gmail.com

Produk kami;

Roti Jang Biasa         Roti Jang Luar Biasa
- Ayam                  - Ayam
- Daging                - Daging

Mini Roti Jang Biasa    Mini Roti Jang Luar Biasa
- Ayam                  - Ayam
-Daging                 - Daging

Berlainan sekali penulisan kali ini ya. Saja ingin mempromosikan perniagaan aku.

Facebook Roti Jang 

Sekian. "Bukan Harganya...Tapi Rasanya"



           

-Suratkhabar-

Assalamu'alaikum,

Mungkin agak terlewat untuk aku menceritakan tentang hal ini tetapi aku tak peduli, aku nak kongsi juga. Pada hari Sabtu yang lalu 12 Muharram 1432(18 Disember 2010) buat pertama kalinya setelah bertahun-tahun lamanya aku melihat majoriti suratkhabar tempatan baik yang berbahasa Malaysia atau yang berbahasa Inggeris telah menjadikan cerita mengenai skuad bolasepak kebangsaan sebagai tajuk utama berita sukan di muka belakang. 

Wahhh!! aku berteriak dalam hatiku sambil berkata "barulah rasa macam suratkhabar Malaysia, kalau tidak rasa macam suratkhabar England". Aku agak gembira pada hari itu kerana akhirnya aku rasakan yang mereka-mereka yang berada di balik suratkhabar itu rupanya masih ada "Hati Malaysia Tanah Tumpah Darahku".

Aku akan sertakan foto yang aku ambil menggunakan kamera telefon bimbit aku di mana menunjukkan akhbar Harian Metro, STAR, Berita Harian, News Straits Times & Utusan Malaysia semuanya menjadikan skuad bimbingan K.Rajagobal sebagai tajuk utama;

Harian Metro, STAR & News Straits Times

Berita Harian & Utusan Malaysia
Aku amat berharap perkara ini tidak akan terhenti di sini sahaja, Liga Malaysia akan bermula tidak lama lagi, aku amat berharap supaya ianya mendapat liputan seperti ini. Bagaimana hendak menaikkan sokongan peminat terhadap bolasepak Malaysia? Inilah jawapannya, media cetak mahupun elektronik harus memainkan peranan mereka dalam mempromosikan bolasepak Malaysia dari pasukan kebangsaan hinggalah ke pasukan-pasukan dalam Liga-M, dari pemain-pemain kebangsaan hinggalah kepada setiap pemain yang bermain dalam Liga-M.

Jangan kita sesekali menggunakan alasan berita Liga-liga Eropah(terutama BPL) boleh menjual suratkhabar. Tidak dinafikan berita-berita itu dinantikan oleh majoriti rakyat Malaysia(pelik kenapa kita begitu taksub dengan "orang putih"-istilah orang kita merujuk kepada orang luar dari negara barat-), namun masih ramai juga yang dahagakan berita-berita bolasepak tempatan, berita-berita "hero-hero" Malaya dan salah seorang daripada kumpulan itu adalah aku. Aku sesungguhnya telah lama menantikan bilakah suratkhabar kita akan berubah dan kembali hati mereka ke negara Malaysia semula. Berita dan cerita tidak semestinya disiarkan atau ditulis hanya ketika waktu kegemilangan tetapi pada waktu kejatuhan juga peminat ingin tahu perkembangannya.

Tiada gunanya untung beribu ringgit sehari dari hasil jualan jika hati kita tiada secebis rasa bangga akan negara kita. Aku bukan ingin menjadi patriotik di sini, namun ini adalah hakikatnya, ramai antara kita tidak mempunyai hati, tetapi mempunyai kedudukan tinggi dalam komuniti, mempunyai pendidikan tinggi, mempunyai harta kekayaan tetapi tidak mempunyai hati.

Apa gunanya Diploma, Degree, Masters atau PHD jika kita tiada hati? Apa gunanya wang berjuta, kereta bersusun, rumah berpintu-pintu jika kita tiada hati? Ingat yang berjuang itu bukan orang lain, ORANG KITA juga.

Tahniah aku ucapkan kepada editor-editor, penulis-penulis, wartawan-wartawan atas kepulangan hati mereka ke tanahair semula setelah sekian lama berada di perantauan. Amat diharapkan kepulangan ini adalah kepulangan yang kekal dan abadi. :-)

Sekadar tulisan dan pendapat.

p/s :- Ayuh ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad ini 20 Muharram 1432(26hb Disember 2010) untuk kita sama-sama saksikan dan menyokong Malaysia yang akan menerima kunjungan Indonesia dalam perlawanan akhir Piala AFF Suzuki.

 

Monday, December 20, 2010

Cuba-mencuba...

Pada suatu malam yang indah ketika majoriti penduduk Malaysia sedang dibuai mimpi yang indah atau yang ngeri, aku telah menggerakkan hati dan jari untuk mencuba perkara ini. Sila lihat hasil aku yang pertama, tidak hebat langsung namun itulah hasilnya, terimalah;


Itu sahaja untuk kali ini, pendek bukan penulisan ini, bukan bermaksud malas tetapi memang ini sahaja yang hendak dicoret. :-)

Sekian. :-)

Friday, December 17, 2010

Jumaat...Al-Jumu'ah...Friday...Vendredi...Venerdi...Viernes...Xīngqí wǔ...יום שישי

Assalamu'alaikum,

Hari ini 11 Muharram 1432, hari Jumaat merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh majoriti penduduk di muka bumi ini. Ada apa dengan Jumaat??

Hari "Jumaat" dalam bahasa melayu kita mungkin lahir dari bahasa arab yang memanggil hari ini sebagai Al-Jumu'ah(ada surah Al-Jumu'ah di dalam Al-Quran yang menceritakan mengenai penghulu segala hari ini), bermakna penggunaan "Jumaat" dalam bahasa melayu adalah berdasarkan dari perkataan arab iaitu Al-Jumu'ah yang diambil dari surah Al-Jumu'ah yang menceritakan tentang hari Jumaat. Pada pendapat aku adalah sangat bagus apabila perkataan dalam bahasa melayu kita diambil berdasarkan perkataan dalam bahasa arab yang berpandukan kepada Al-Quran. :-)


Friday(Jumaat dalam Bahasa Inggeris) pula diceritakan berasal dari Freyja day(hari Freyja) di mana Freyja adalah dewa cinta bagi orang-orang Jerman di mana dalam bahasa Latin dipanggil Veneris diambil sempena dengan dewa cinta Venus. Lalu dari situ terlahirlah Vendredi(Bahasa Perancis), Venerdi(Bahasa Itali), Viernes(Bahasa Sepanyol) dan sebagainya(terdapat banyak bahasa yang lahir dari ibunya iaitu Bahasa Latin). Pokok pangkalnya di sini semua perkataan di atas tadi diambil namanya berpandukan Dewa Cinta dalam kepercayaan orang-orang Rom iaitu Venus(salah satu dari "Roman Goddess").


Kita tinggalkan dahulu asal usul nama Jumaat, Friday dan sebagainya dan mari kita lihat pula apa yang ada pada hari Jumaat. Menurut rujukan saya ada beberapa peristiwa yang terjadi dan akan terjadi pada hari Jumaat dan banyak keistimewaannya antaranya(ada banyak, aku nyatakan sebahagian);


1) Nabi Adam dijadikan pada hari Jumaat,
2) Nabi Adam diturunkan ke bumi pada hari Jumaat,
3) Nabi Adam wafat pada hari Jumaat
4) Hari kiamat akan berlaku pada hari Jumaat,
5) Sesiapa yang meninggal pada malam dan siang Jumaat, rohnya  
   terselamat dari seksa kubur
6) Dimakbulkan doa diantara 2 khutbah(apabila imam duduk)


Mengikut kepercayaan Kristian pula, hari Jumaat adalah hari di mana Jesus telah disalib oleh orang Yahudi.Oleh itu mereka memperingati hari itu dengan sambutan Good Friday dalam perayaan Easter.


Begitu banyak peristiwa yang berlaku dan keistimewaan hari Jumaat. Kesimpulannya di sini, biarlah namanya Jumaat, Friday, Vendredi, Venerdi, Viernes, Xīngqí wǔ, יום שישי(sheeshee-Bahasa Hebrew) mahupun Al-Jumu'ah namun maknanya dan harinya tetap sama iaitu hari ke-6 mengikut kalendar hijrah dan hari ke-5 mengikut kalendar yang popular di dunia. Tetapi apa yang membezakan nama tersebut adalah dari mana ia datang dan berdasarkan serta berpandukan apa nama itu diberi. :-)

Sekadar tulisan dan pendapat. Sekiranya terdapat kesilapan fakta sila perbetulkan dan perjelas.

Wednesday, December 15, 2010

Cubaan Pertama...


Assalamu'alaikum,

Dah 5 hari tak menaip di sini, agak sibuk dan terikat dengan banyak perkara jadi apabila sampai di rumah badan sudah letih, otak sudah tepu, bantal kata mari, katil kata sini. Jadi hari ini aku agak bebas sedikit kerana tiada kerjaan yang perlu di selesaikan hanya menunggu petang untuk bersiap-siap ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan Malaysia lwn Vietnam, Separuh Akhir 1 Piala AFF Suzuki.

Apa yang ingin aku kongsi bukanlah sesuatu untuk anda berfikir atau sebagainya, sekadar ingin berkongsi cubaan pertama aku menembak di majlis akad nikah dan majlis persandingan orang. Aku bukanlah seorang jurufoto, nak kata jurufoto sambilan pun bukan. Aku hanya gemar mengambil gambar dan berminat ingin mencuba DSLR(perasaan dan rasa minat datang secara tiba-tiba). Jadi aku ingin kongsi sedikit hasil bidikan aku untuk hari minggu yang lepas menggunakan senjata CANON 550D aku; 

PERNIKAHAN HUSNA ARIEFF & YANG ZAITI

(f4.5,1/60,ISO200,32mm)
(f4,1/13,ISO400,50mm)

(f4,1/8,ISO400,18mm)

(f2.2,1/20,ISO800,50mm)

(f1.8,1/30,ISo400,50mm)

(f1.8,1/30,ISO400,50mm)lampu denyar(flash) siapa pulak yang terpercik kat muka pengantin :-)

(f3.5,1/6,ISO400,19mm,Flash)

PERSANDINGAN WAN & YANA

(f10,1/20,ISO100,38mm,Flash)

(f10,1/20,ISO100,29mm,Flash)

(f10,1/10,ISO100,39mm)

(f10,1/20,ISO100,24mm)
(f3.5,1/1250,ISO100,18mm)
(f3.5,1/80,ISO100,18mm)

(f10,1/10,ISO100,18mm,Flash)

(f3.5,1/250,ISO100,50mm)

(f10,1/40,ISO100,62mm)

(f5.6,1/125,ISO100,106mm) objek yang menarik perhatian aku di majlis itu :-)

Aku rata-rata tidak berpuas hati dengan hasil aku sendiri kerana aku tidak dapat ketajaman gambar yang aku harapkan. Tangan aku juga ada ketikanya bergerak ketika aku memicu butang dan akibatnya hilang "sharpness" sesetengah gambar. Penggunaan "White Balance", Aperture, Kelajuan Pengatup (Shutter speed) serta ISO aku juga ada kalanya salah dan tidak tepat. Kecewa tetapi tidak mengapa, aku akan cuba perbaiki mana yang patut. Kepada pembaca, jika ada pendapat sila kemukakan dan harap aku dapat mempelajari sesuatu. :-) Terima kasih saya kepada rakan, Tuan Haji Rostam Zulkhairi Bin Said kerana sudi menghulurkan bantuan lensa-lensa untuk menembak tempoh hari. :-)
Sekadar tulisan dan pendapat.

Friday, December 10, 2010

Malaysia ke separuh akhir....

Assalamu'alaikum,

Pasukan bolasepak Malaysia telah melangkah ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2010, setelah membenam Laos 5-1 hasil jaringan Amri Yahya 2 gol, Amirulhadi, Idlan Talaha dan gol sendiri dari pemain Laos dibantu dengan kemenangan Indonesia ke atas Thailand 2-1. Bambang Pamungkas telah membalas jasa negara yang pernah menjadi tempat beliau mencari rezeki dahulu (bekas pemain Selangor) dengan 2 gol dari sepakan penalti.

Namun apa yang hendak diperkatakan di sini ialah tentang perlawanan separuh akhir pertama yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Muharram 1432 (15hb Disember 2010). Adakah kita akan dapat memenuhi stadium yang berkapasiti 100,000 orang itu? atau paling tidak 50% dari jumlah kapasiti itu?

Apa yang aku lihat di siaran langsung Kumpulan A di Jakarta, Indonesia tempoh hari ialah rakyat Indonesia masih memberikan sokongan yang penuh dan setia kepada pemain-pemain kebangsaan mereka walaupun Indonesia tidak pernah layak ke pusingan akhir Piala Dunia apatah lagi memenanginya, tidak layak ke Sukan Asia 2010, tidak memenangi emas pada Sukan SEA 2009 namun Stadium Gelora Bung Karno tetap penuh sepanjang 3 perlawanan pasukan Indonesia.

Di sini, di negara tanah tumpahnya darahku seringkali dijadikan alasan bahawa bolasepak Malaysia mundur, pemain tidak bagus dan sebagainya, tapi jika kita lihat di Indonesia dan rekod pasukan mereka untuk 2 tahun ini lebih teruk dari pencapaian pasukan Malaysia namun rakyat mereka tetap berada di belakang pemain-pemain yang berjuang. Kita hanya tahu mengkritik dan mengkritik tanpa memberikan sokongan, jika menang atau melangkah ke separuh akhir sesuatu kejohanan pun stadium tetap tidak akan penuh seperti mana di Stadium Gelora Bung Karno yang saya saksikan di kaca televisyen. Satu lagi alasan yang sering didengari adalah saingan Liga Perdana Inggeris dan liga-liga eropah yang lain menyebabkan peminat bolasepak tempatan kurang berminat untuk ke stadium menonton bolasepak tempatan, dengan alasan mereka "buat apa tengok Malaysia main, buang masa jek. Baik layan Torres, Rooney, Drogba dan sebagainya".

Sewaktu menaip tulisan ini, terlintas difikiran lirik lagi Rajawali Terbang Tinggi oleh M.Nasir. Bait lirik yang berbunyi;

Aku tak mahu dijadikan hamba lagi,
Aku tak mahu dijajah lagi,
Biar terkubur jasad terbujur,
Tak rela aku berpisah,
Dari cintaku yang satu. 


Lalu terfikir sejenak, mengapa ini boleh berlaku, Malaysia sebuah negara yang dicanang maju, malah lebih maju dari Indonesia yang rata-rata penduduk di ibu negara mereka lebih teruk sosio-ekonomi mereka berbanding dengan kita yang berada di Kuala Lumpur ibu negara Malaysia, namun apa guna semua itu jika kita lupa seperti bait-bait lirik di dalam lagu Sesat di Kuala Lumpur;

Mungkin ada jalan di Kuala Lumpur,
Jalan bahagia,
Mungkin kita akan kecewa,
Mungkin kita akan jadi alpa serta lupa,
Mungkin kita akan terpedaya,
Mungkin kita akan jadi kaya serta lupa,
Dan mungkin kita lupa pada asalnya,
Mungkin kita lupa pada asalnya,
Mungkin kita lupa pada asalnya...



Mungkin juga kita terlupa, mungkin juga aku terlupa...


Sekadar tulisan dan pendapat. :-)
Ayuh ke Stadium Nasional pada Rabu 15hb Disember 2010. Bukan orang lain pun yang main, orang kita juga. Nak ke Anfield, Old Trafford, Stamford Bridge, Nou Camp, San Siro, Emirates Stadium kan banyak belanja tu, jadi ke Stadium Nasional lebih mudah, murah dan jimat jadi AYUH!!!!

Tuesday, December 07, 2010

Selepas Satu Ribu Empat Ratus Tiga Puluh Dua Tahun....

Assalamu'alaikum,


Terlebih dahulu ucapan Selamat Tahun Baru kepada semua. Ini merupakan tulisan pertama untuk tahun 1432H. Bangun pagi hari ini tiba-tiba terfikir sudah satu ribu empat ratus tiga puluh dua tahun zaman kita sekarang nih daripada tarikh penghijrahan penduduk Islam Mekah ke Madinah.


Apa yang aku fikirkan ialah, tarikh 1 Muharram dikatakan tarikh perpindahan umat Islam dari kota Mekah ke kota Madinah, dan ada juga mengatakan ianya tarikh perhijrahan Nabi Muhammad S.A.W. ke Madinah(mengikut kebanyakkan rujukan sejarah mengatakan perkiraan bermula dari penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W.). Maksud aku di sini ialah penghijrahan umat Islam dari Mekah ke Madinah pada waktu itu berjalan dalam pelbagai peringkat dan secara sembunyi kecuali Umar Al-Khatab yang berhijrah secara terang-terangan. Ini adalah strategi bagi mengelakkan sebarang perkara buruk berlaku kepada mereka yang berhijrah kerana kaum Quraisy ketika itu menghalang sesiapa sahaja yang sudah memeluk Islam untuk menginggalkan Mekah. Berbalik semula kepada penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W., beliau dan Abu Bakar As-Siddiq merupakan orang yang terkahir meninggalkan Mekah setelah sahabat-sahabat dan umat Islam yang lain pergi ke Madinah dahulu. Ini kerana beliau ingin memastikan bahawa semua sahabat dan umat Islam selamat keluar dari Mekah dahulu kemudian barulah giliran beliau (ini barulah namanya PEMIMPIN ;-)...jangan ada yang terasa pulak ye). Sewaktu penghijrahan beliau, banyak perkara yang berlaku. Antaranya adalah peristiwa Kaum Quraisy diketuai Abu Jahal ingin membunuh beliau tetapi diselamatkan ALLAH S.W.T., menggantikan beliau dengan Ali(Khalifah Islam ke-4). 

Laluan perjalanan beliau pertama adalah dari Mekah ke Gua Thur(selatan Mekah) untuk bersembunyi dahulu selama 3 hari bersama Abu Bakar. Di sinilah terjadinya peristiwa labah-labah dan cicak(sila betulkan jika tersalah fakta), di mana cicak telah memberikan isyarat kepada orang Quraisy yang memburu Muhammad S.A.W. dan Abu Bakar bahawa mereka berada di dalam gua manakala labah-labah telah menyelamatkan nabi kita dan sahabat beliau dengan membuat jaringan labah-labah dipintu gua maka orang Quraisy tadi menyangka tidak mungkin ada orang di dalam gua ini lalu beredar. Daripada peristiwa ini terfikir aku adakah orang barat yang menciptakan karakter "Spiderman" telah membuat kajian terhadap sejarah terlebih dahulu dan adakah orang yang menciptakan karakter superhero "Cicakman" tidak membuat kajian?(bukan mengutuk sekadar terfikir :-)..jangan ada yang terasa ye). Kembali semula ke topik kita, selepas 3 hari beliau meneruskan perjalanan menuju ke utara dari Gua Thur langsung ke Madinah dan antara peristiwa yang berlaku adalah peristiwa beliau memerah susu kambing Ummu Ma'bab yang tidak boleh mengeluarkan susu sehingga penuh berbalang-balang, peristiwa dikejar Suraqah dan ALLAH S.W.T. membenamkan kaki kuda Suraqah ke dalam pasir setiap kali beliau hendak memanah Nabi Muhammad S.A.W.

Mengikut rujukan aku serba sedikit, Nabi Muhammad S.A.W. tiba di Madinah(tiba di Quba terlebih dahulu sebelum masuk ke kota Madinah) pada 12 Rabiulawal bermakna perjalanan beliau mengambil kira-kira 71 hari (jika mengikut perkiraan sejarah 1 Muharram bertolak dari Mekah dan tiba di Madinah 12 Rabiulawal). Di sini pula tercatat peristiwa bersejarah dengan terbinanya Masjid Quba dan Masjid Nabawi(masjid yang ke-2 mulia selepas Masjidil Haram) yang sehingga kini tersergam indah dan bermulalah era penyebaran Islam dan penaklukan Islam di muka bumi ini sehinggalah hari ini di mana penaklukan berkurangan tetapi perpecahan bertambah.

Maka Saidina Umar mengambil hari penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W. dari Mekah(hari beliau meninggalkan Mekah) sebagai hari permulaan dalam Kalendar Hijrah(sila perbetul jika tersalah fakta).

Mungkin sudah berputar mata anda dan fikiran anda bila membaca "posting" ini. Tapi niat aku bukan nak peningkan anda semua tapi sekadar nak menulis dan berkongsi sambil tertanya-tanya di dalam hati "Ramai yang melaungkan bahawa kita patut melakukan penghijrahan dan perubahan pada setiap kali tibanya Maal-Hijrah, tetapi aku tertanya-tanya perubahan dan penghijrahan yang patut kita lakukan adalah berdasarkan apa?"Persoalan aku di sini bukan apa bentuk penghijrahan dan perubahan yang kita akan lakukan untuk tahun baru ini, tetapi "Apakah dasar dan berpandukan apa penghijrahan serta perubahan yang akan kita lakukan itu?"

Sekadar tulisan dan pendapat. Jika ada kesalahan fakta sila perbetulkan dan perjelaskan. Selamat Tahun Baru 1432H.

Sunday, December 05, 2010

Kalendar Hijrah lwn Kalendar Gregorian; Mengapa Kalendar Gregorian lebih popular?

Assalamu'alaikum,

Perkara ini sudah lama aku fikirkan, cuma sekarang aku hanya sekadar ingin meluahkan benda yang lama terbenam dibenak fikiran aku. Pasti ramai yang sudah tahu apa itu Kalendar Hijrah dan juga Kalendar Gregorian, cuma persoalannya mengapa Kalendar Gregorian lebih popular dah diterima ramai berbanding Kalendar Hijrah atau Kalendar Cina atau Kalendar Hindu ataupun kalendar-kalendar lain yang wujud dimuka bumi ini.


Mengikut rujukan aku yang serba sedikit ini, Kalendar Hijrah telah dahulu diguna pakai sebelum lahirnya Kalendar Gregorian, kerana Kalendar Hijrah lahir sekitar tahun 635M(13H)-645M(23H) atas usaha Khalifah Umar Al-Khatab sewaktu pemerintahan beliau sebagai Khalifah ke-2 selepas Saidina Abu Bakar sedangkan Kalendar Gregorian yang diasaskan oleh Pope Gregory XIII hanya timbul pada tahun 1582M walaupun perkiraan tahun Masehi lebih dahulu lahir daripada perkiraan tahun Hijrah dan asas Kalendar Gregorian ini telah lama wujud dari bangsa Mesir hinggalah ke zaman Julius Ceasar(46SM).

Persoalannya sekarang bukanlah yang mana dahulu dan yang mana kemudian, tetapi mengapa yang satu lebih popular dan diterima ramai dari yang satu lagi. Persoalan yang masih belum terjawab lagi kerana tiada bahan rujukan buku atau rujukan di internet(mungkin aku yang tak jumpa) mengenai bagaimana Kalendar Gregorian yang pada awalnya ditolak oleh kebanyakkan negara pada mula ia diperkenalkan tetapi kini telah menjadi satu kalendar rasmi untuk seluruh dunia.

Bercerita mengenai kedua-dua kalendar ini, masing-masing mempunyai persamaan dan perbezaan. Persamaannya adalah kedua-duanya mempunyai 12 bulan. Perbezaannya pula, perhitungan permulaan hari bagi Kalendar Hijrah berdasarkan perhitungan pergerakan dan kedudukan bulan manakala Kalendar Gregorian memang sejak sekian lama bergantung pada pergerakan dan kedudukan matahari. Perkiraan tahun Hijrah pula berdasarkan tahun penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W. ke Madinah manakala perkiraan tahun Masehi pula berdasarkan atas kelahiran Jesus, bilangan hari dalam setiap bulan Hijrah adalah 29 dan 30 hari mengikut kiraan pergerakan dan kedudukan bulan manakala bagi kalendar gregorian pula adalah 30 dan 31 hari serta ditambah 1 hari bagi setiap tahun lompat untuk bulan yang ke-2 dan perbezaan yang paling ketara ialah Kalendar Hijrah ini tidak pernah ditokok tambah atau diubah sejak ianya diperkenalkan oleh Saidina Umar sehinggalah ke hari ini tetapi Kalendar Gregorian telah diubah perkiraan hari dan bulan sejak asalnya dari Mesir, hingga diubah oleh orang Rom sebelum digubal lagi oleh Julius Caesar yang kemudian ditokok tambah oleh Augustus dan akhir sekali oleh Pope Gregory XIII(ini tidak termasuk perubahan-perubahan kecil yang dilakukan sana sini oleh pemimpin-pemimpin kecil sebelum ianya termaktub pada zaman Pope Gregory XIII).


Topik kali ini agak berat sedikit kerana ini adalah perkara yang sudah lama berlegar di dalam fikiran aku.Ingin dijelaskan di sini bahawa aku bukan ingin mengatakan kalendar ini salah dan kalendar itu betul, tapi sekadar ingin mengajak anda semua pun berfikir sebentar sahaja dan tanya diri kita sendiri(tak perlu tanya orang lain ;-)) "Apakah dasar kepercayaan kehidupan kita selama kita telah hidup di muka bumi ini?"


Sekadar tulisan dan pendapat.Jika ada kesalahan fakta dalam penulisan ini diharap dapat diperbetulkan dan diperjelas. :-)











Saturday, December 04, 2010

Malaysia (0) lwn Thailand (0)

Balik je dari bola Taman 11 lwn Seksyen 16 FC di Padang Goodyear terus tengok perlawanan Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Thailand yang tinggal dalam lebih kurang 30 minit masa permainan. Terlupa pula, keputusan di Padang Goodyear Taman 11 (0) lwn Seksyen 16 FC (1), tetapi di sini aku saja nak borak bola mengenai perlawanan Malaysia. 

Aku tak dapat tengok sepenuh masa, tapi mengikut ulasan dan pendapat yang tidak profesional, kata ibunda aku, Malaysia bermain dengan hebat dan semangat tapi bila sampai depan gol semua "kantoi". Apa yang aku lihat dalam masa 30 minit akhir itu pula, betullah memang bila sampai depan gol tiada penyudah. Tapi tidak mengapa,kita lihat keputusan perlawanan antara Indonesia & Laos nanti dan kita congak kembali strategi.

Mengenai pemilihan pemain pula,pada pendapat aku memang kita agak longgar di bahagian pertahanan, bukan kerana Muslim Ahmad dan Fadli Shas tidak hebat tetapi cuma mereka kurang pengalaman bila bersaing dengan pemain-pemain yang lebih senior dari negara lain. Pada aku K.Rajagopal patut pertimbangkan pemain seperti Shukor Adan (pilihan aku),Victor Andrag (dan beberapa pertahanan senior lain yang aku tak terfikir) untuk bersama-sama dengan pemain muda dalam mengemudi benteng negara. Sekurang-kurangnya dapat mengisi tempat Aidil, Nasriq dan Hafiz Zamani yang cedera kerana apa yang aku lihat tiada komander di benteng pertahanan kita dan itu antara penyebab kenapa ia sedikit rapuh.Walau apapun ia merupakan pendedahan yang berguna buat Muslim dan Fadli. Pemain lain yang patut dipertimbangkan adalah Badri Radzi, Farhan dan Shakir kerana prestasi kedua mereka sedang ditahap tinggi sekarang ini jika ingin dibandingkan dengan Amri Yahya dan Safee Sali. Bukan mereka tidak hebat cuma prestasi semasa mereka agak menurun jika dibandingkan dengan 3 trio dari Kelantan itu tadi.

Namun kredit harus diberikan kepada Rajagopal, kerana ada peningkatan pada pemain kebangsaan di bawah kendalian beliau cuma FAM perlu tekankan aspek ketahanan mental kerana itu adalah kelemahan yang paling ketara buat semua pemain-pemain Malaysia. Rajagopal pula perlu lebih terbuka dalam pemilihan pemain, kerana pada pendapat aku ada antara pemain pilihan beliau sepatutnya tidak layak dipanggil bukan kerana mereka tidak hebat tetapi berdasarkan prestasi semasa.

Teruskan menyokong bolasepak kita kerana yang berjuang bukan orang lain, orang kita juga. :-) Sekadar tulisan dan pendapat.


England berang!!

Perkara yang menarik perhatian aku ketika membaca akhbar dan berita online serta menonton berita sukan hari ini adalah berkenaan dengan Keputusan Pengundian Tuan Rumah Piala Dunia 2018 & 2022 di mana Russia akan menjadi tuan rumah pada tahun 2018 manakala Qatar akan menerima kunjungan berjuta peminat bolasepak pada tahun 2022, Malaysia??mungkin belum sampai akil baligh lagi untuk menjadi tuan rumah. ;-) Apa yang ingin aku kongsi di sini ialah kegagalan England dalam cubaan untuk membida negara mereka sebagai tuan rumah di mana England telah terkeluar pada pusingan pertama pengundian setelah hanya berjaya memperolehi 2 undian (tempat terakhir). Menariknya,kontinjen England, akhbar & tabloid mereka serta rakyat mereka BERANG kerana negara mereka tidak terpilih bagi menganjurkan sukan berprestij itu. Mulalah terkeluar cerita yang mengatakan undian telah diatur terlebih dahulu bagi memastikan Russia menang dan sebagainya. Pada pemerhatian aku, England kerap mencari kesalahan pihak lain bagi membolehkan mereka menunding jari untuk setiap kegagalan mereka. Kalau dah dunia tidak sudi untuk bertuan rumahkan kamu sudahlah, tidak perlulah mencanang satu dunia bahawa undian tidak adil atau sebagainya,terima sajalah keputusan yang tidak memihak kepada anda dengan hati terbuka. Sikap menunding jari ini pernah berlaku pada Piala Dunia 2010 yang lepas di mana England tewas di tangan Jerman pada perlawanan pusingan ke-2 (4-1) dan jari seluruh warga England ditujukan kepada pengadil perlawanan, tetapi bagi aku memang pengadil itu membuat keputusan yang salah, tapi apa yang aku lihat, permainan pasukan England(pretasi keseluruhan pemain berada di tahap yang rendah) ketika itulah yang menjadi penyebab kekalahan mereka tetapi kerana sikap turun temurun mereka yang merasakan mereka hebat dan unggul itulah yang menjadi sebab mereka tidak boleh menerima kekalahan mereka lalu mencari kambing hitam untuk dipanggang bagi menutup malu mereka. Pada tahun 1966 ketika mereka menjulang Piala Dunia, tidak pula mereka kecoh mengenai gol jaringan Geoff Hurst yang apabila dilihat ulang tayang sememangnya bola itu tidak melepasi garisan gol tetapi dikira sebagai gol kerana apa? Jawapannya kerana keputusan berpihak kepada mereka. Sudah-sudah lah tu wahai warga Inggeris sekalian, belajarlah untuk menerima kesilapan dan kekalahan anda. Jangan asyik menunding jari kepada orang lain bagi setiap kegagalan anda. Mungkin suatu ketika dahulu anda hebat, tetapi dunia berputar dan kini mungkin giliran pihak lain pula untuk menjadi hebat. Sekadar tulisan dan pendapat. ;-)

Permulaan...

Assalamu'alaikum,

Buat pertama kalinya dalam sejarah aku mencuba untuk menyertai dunia blogger yang sebelum ini hanya aku dengar dari percakapan dan perbualan orang, di dada akhbar dan juga "update" di Facebook rakan-rakan. Tetapi pada tanggal 28 Zulhijjah 1431 bersamaan dengan 4hb Disember 2010 jam 1:29am, telah tertarik jariku ini untuk klik ke "google search" dan menaip "How to create a blog?" dan inilah dia hasil nukilan pertama aku untuk blog aku. InsyaALLAH niat aku hanya untuk mengisi masa yang terluang sambil berkongsi apa sahaja perkara yang terbenam di benak fikiranku dan juga apa sahaja idea-idea yang timbul di permukaan fikiranku. :-) 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...