Monday, January 03, 2011

...Dari Shah Alam ke Senayan...

Assalamu'alaikum,

Penulisan aku yang terakhir adalah pada 5 hari lepas sebelum aku berlepas ke Jakarta. Ini merupakan "posting" yang pertama sekembalinya aku dari negara seberang dan ia merupakan kesinambungan dari "posting" yang terakhir walaupun tajuknya berbeza namun perjalanan ceritanya adalah berkaitan.

Aku ingin berkongsi pengalaman aku bersama rakan aku selama kami berada di Stadion Gelora Bung Karno bagi menyaksikan perlawanan antara Indonesia lwn Malaysia bagi merebut Piala AFF Suzuki 2010. Di dalam penulisan aku yang terakhir aku menceritakan perjalanan aku dari LCCT langsung ke Jakarta dan ianya terhenti di situ sahaja. Nah, ini adalah sambungan dari kisah itu.

Aku dan rakan aku Kem tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Soekarno Hatta jam 8:00am waktu tempatan(jam 9:00am di Malaysia) dengan pesawat AK 380 Air Asia. 

Tiket Air Asia pergi dan balik kami

Jejak sahaja kaki kami di bumi garuda terus kami menahan sebuah teksi Bluebird setelah menanti hampir 30 minit dan mengarahkan pemandunya membawa kami terus ke Kedutaan Malaysia di Indonesia, 1-3 Jl. HR Rasuna Said, Jakarta Capital Region. Perjalanan mengambil masa kira-kira 40 minit dari Soekarno Hatta kerana jalan agak lengang pada hari itu mungkin ramai yang sedang bercuti hujung tahun. Setibanya kami di Kedutaan Malaysia sekitar jam 10:00am, kami terus mendaftarkan diri di pos pelawat dan kami nyatakan kepada pengawal bahawa kami ingin mencari tiket ke Bung Karno, lalu mereka menelefon langsung ke pejabat dan tiada siapa yang dapat memberikan jawapan yang kami kehendaki(iaitu "tiket ada"). Terus aku menghantar kiriman SMS ke Datuk Paduka Dr. Junaidy yang mana aku mendapat nombor dari seorang teman wartawan RTM yang merupakan rakan kepada Tapa(rakan kamcing aku) dan jawapan yang aku terima dari beliau adalah seperti yang aku dan rakan aku inginkan iaitu "Sila naik ke pejabat saya". Aku dan Kem dengan senyuman sehingga ke telinga berjalan ke pejabat Datuk dan kami membeli tiket itu dengan harga RP200,000(sekitar RM60)untuk menyaksikan Harimau Malaya bertarung dengan Sang Garuda di medan perang Gelora Bung Karno. "TERIMA KASIH DATUK!!!!!!!" itulah ucapan kami berkali-kali kepada Datuk Paduka Dr. Junaidy sebelum meninggalkan "kantor" beliau. Sekali lagi Terima Kasih Datuk!! kerana membantu kami disaat tiada yang ingin membantu. :-)

Kem bersama tiketnya

Aku bersama tiket aku

Aku akan simpan sebagai kenangan bersejarah untuk aku dan tanah tumpah darahku

Dengan hati yang gembira bagaikan baru lepas bernikah, kami meninggalkan Kedutaan Malaysia dan berjalan kaki ke sebuah pusat membeli-belah berhampiran untuk mencari sesuatu supaya boleh diisi ke dalam perut yang kosong ini. Kami ke Mall Ambassador di Jl. Prof. Dr. Satrio Kuningan dan lantas ke tingkat 4 di mana letaknya medan selera. Kami memesan nasi pecel dan teh botol(kebiasaan bagi warga Malaysia yang ke Indonesia memesan teh botol sebagai minuman ;-) ). Sambil makan kami menonton TV di situ dan semua stesen televisyennya menjadikan perlawanan akhir Indonesia dan Malaysia sebagai topik dan mereka melibatkan selebriti-selebriti mereka dan juga penyokong bagi menaikkan semangat pemain-pemain untuk berjuang walaupun sudah ketinggalan 0-3 kepada kita. Aku tabik media mereka atas usaha mempromosikan bolasepak tempatan mereka dan pemain tempatan mereka. 

RCTi sedang berlintas langsung dengan keadaan di GBK pada jam 12:00pm

Nasi Pecel + Ayam Bakar + Telur Asin + Tempe Goreng + Cucur Jagung

Selepas selesai kami mencari WiFi bagi memudahkan kami untuk mencari tempat untuk bermalam. Lalu kami ke Dunkin Donuts namun WiFi nya rosak, "ahh..macam-macam pulak waktu kita nak menggunakannya" detik hatiku, kami ke Chowking kerana di situ kami diberitahu mempunyai perkhidmatan WiFi. Di sini kami berkenalan dengan Mas Ferry Coy dan Mas Nawawi Priuk, berbual kami sambil berinternet. Hampir kurang lebih satu jam kami mencari di laman sesawang namun hasilnya tidak berpihak kepada kami dan kami mengambil keputusan untuk berjalan di sekitar Jl. Prof. Dr. Satrio Kuningan bagi mencari B&B Boutique Hostels(hostel terdekat yang kami dapat cari di internet) namun tidak berjaya. 

Perjalanan mencari tempat menginap di celahan kota Jakarta

Tentera Hitam Kuning di Jl. Prof. Dr. Satrio Kuningan

Bantuan ya Pak Polisi...kami dari Malaysia.. ;-)

Setelah berjalan hampir 1 jam dan tiada satu pun bilik yang kosong kami mengambil keputusan untuk menaiki "Ojek"(teksi motorsikal) dan mereka membawa kami ke sebuah tempat bernama Wisma Tirta Jl. Pejompongan, Jakarta Central Region(berhampiran Senayan). Kami menyewa sebuah bilik dengan harga RP150,000/malam(sekitar RM50) dengan sebuah katil "queen" dan bilik mandi di dalam. Masuk ke dalam bilik kami pun berehat sambil merancang strategi bagaimana hendak ke Bung Karno kerana yang aku ada cuma dia dan yang dia ada cuma aku, kerana kami cuba menghubungi Kelab Penyokong yang ke Jakarta melalui beberapa SMS namun tiada jawapan. Keputusannya "Nekad ke Gelora Bung Karno"...lalu kami terlelap seketika kerana keletihan...

                                                    ...bersambung

5 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...